in

Iqbal Khan Penerima Kedua Anugerah Diraja Kewangan Islam

Iqbal Khan penerima kedua Anugerah Diraja Kewangan Islam

Tokoh banker Islam Iqbal Khan telah dinobatkan sebagai pemenang kedua Anugerah Diraja Kewangan Islam (Anugerah Diraja) yang penuh berprestij. Beliau menerima Anugerah tersebut dari Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni AlMarhum Sultan Badlishah, semasa Majlis Makan Malam Gala yang dianjurkan pada malam ini.

Anugerah Diraja tersebut dianugerahkan kepada Iqbal Khan di atas daya kepimpinan beliau yang luar biasa serta dedikasi yang ditunjukkan beliau untuk memacu pertumbuhan dan keperolehan bidang kewangan Islam secara global. Pemenang anugerah tersebut telah dipilih oleh panel yang terdiri dari tujuh orang juri antarabangsa bebas. Sejumlah 32 pencalonan telah diterima, yang terdiri dari para pemimpin berpengaruh dengan pelbagai latarbelakang di dalam industri kewangan Islam dari Timur Tengah, Eropah, Afrika, Amerika Utara dan Rantau Asia Pasifik.

Iqbal Khan Penerima Kedua Anugerah Diraja Kewangan Islam

Kriteria pemilihan anugerah menumpukan kepada kedua-dua aspek kualiti dan kuantiti bagi mengiktiraf sumbangan luar biasa seseorang individu terhadap pembangunan kewangan Islam secara global, di dalam bidang inovasi kewangan, kecemerlangan kepimpinan dan visi, yang bertindak sebagai sumber inspirasi dan mempengaruhi perkembangan serta pembangunan masa hadapan sektor ini.

Mengulas mengenai penerima Anugerah Diraja bagi tahun ini, Pengerusi Para Juri, Tun Musa Hitam berkata, “Para Juri telah melaksanakan proses pemilihan yang amat teliti serta ketat semasa menilai pencapaian serta merit para calon, di mana ianya telah memaksa perlaksanaan beberapa sesi perdebatan, diikuti oleh perbincangan yang hangat mengenai penilaian objektif yang kritikal bagi calon-calon yang tersenarai pendek sebelum keputusan muktamad dibuat. Anugerah tersebut mengiktiraf sumbangan Mr Iqbal Khan terhadap pembangunan kewangan Islam yang berfungsi sebagai sumber inspirasi bagi generasi masa hadapan.”

Iqbal Khan telah memainkan peranan yang penting dan muktamad di dalam usaha beliau untuk menyelaras, mempromosi serta menginovasikan bidang kewangan Islam pada skala global. Minat beliau di dalam penyediaan perkhidmatan kewangan yang beretika dan berteraskan kepada masyarakat telah menjadi asas yang menerajui beliau untuk memacu minat sama yang mendalam dikalangan institusi kewangan antarabangsa, pegawal perundangan dan para akademik untuk menuju ke arah sistem kewangan Islam.

Iqbal Khan juga telah memainkan peranan penting di dalam penubuhan beberapa institusi di dalam industri kewangan Islam, termasuklah Bank Pelaburan Islam Citi, Projek Kewangan Islam di Universiti Harvard, Meezan Bank, HSBC Amanah dan yang terkini Fajr Capital, di mana beliau merupakan Ahli Lembaga Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif.

Beliau juga memainkan peranan yang amat penting di dalam aktiviti mempromosi serta menginovasikan sukuk sebagai sebuah mekanisma untuk mendapatkan penerbitan modal bagi kerajaan yang berdaulat. Melalui kempimpinan dan dedikasi yang ditunjukkan beliau, Iqbal Khan telah mendorong kecemerlangan “sovereign sukuk” di peringkat global dan turut menerajui proses pemikiran Shariah ke arah pemahaman yang lebih mendalam mengenai konsep sukuk matawang asing secara global. Kejayaan beliau turut terbukti melalui penciptaan langkah perubahan penuh berevolusi dari sistem perbankan dan kewangan yang asasi kepada struktur produk yang lebih canggih, lantas menjadikan “sovereign sukuk” sebagai kaedah penerbitan dana yang utama pada masa kini untuk Negara-negara berdaulat.

Di dalam ucapan penerimaan beliau, Iqbal Khan berkata “Saya amat berbesar hati di atas penghargaan yang diberikan, tetapi usaha kita baru sahaja bermula. Industri kewangan Islam perlu mencipta model institusi and sistem ekonomi yang mampu memberi kesan yang dapat dilihat di seluruh dunia. Visi untuk memberikan sistem kapitalisma kompas atau panduan moral merupakan suatu komitment yang kita semua boleh laksanakan.”

Selain dari menerajui Fajr Capital Limited, Iqbal Khan juga turut menyandang jawatan selaku Pengerusi, Jawatankuasa Eksekutif dan ahli lembaga pengarah di Jadwa Investment di Arab Saudi.

Pada tahun 2006, beliau telah menerima Anugerah Euromoney bagi Sumbangan Cemerlang kepada Kewangan Islam (Outstanding Contribution to Islamic Finance), dan telah dicalonkan dan diundi oleh Islamic Financial New sebagai “Best Individual Islamic Banker” untuk tahun 2005. Beliau juga telah menerima pengiktirafan oleh Dewan Rakyat Amerika Syarikat (United States House of Representatives) pada tahun 2000 di atas sumbangan beliau di dalam bidang kewangan dan ekonomi. Pada tahun yang sama, beliau juga memenangi Anugerah LARIBA bagi Kecemerlangan dalam Divisi Amalan Perbankan Islam (Excellence in Islamic Banking Practitioner’s Division).

Anugerah Diraja ini telah diterajui oleh Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dan disokong oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Penerima Anugerah Diraja telah dipilih oleh juri antarabangsa bebas yang terdiri dari individu terkemuka dari pelbagai bidang, iaitu Tun Musa Hitam selaku Pengerusi Para Juri, Tun Abdul Hamid Mohamad, Professor Dr. Volker Nienhaus, Professor Dr. Abbas Mirakhor, Dr. Mohamed Ali Elgari, A. Riawan Amin dan Dr. Yahia Abdul-Rahman

Penerima pertama Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam pada tahun 2010 adalah Pengasas Kumpulan Dallah Albaraka, Shaikh Saleh Abdullah Kamel dari Arab Saudi.

Untuk mendapat maklumat lajut mengenai Anugerah Diraja, sila kunjungi laman web www.mifc.com/award.

Mengenai MIFC
Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) telah dilancarkan pada tahun 2006 dengan tujuan untuk membangunkan Malaysia sebagai hab antarabangsa kewangan Islam; tempat pertemuan diantara mereka yang mempunyai lebihan dana dan mereka yang ingin mendapatkan dana, dari seluruh pelosok dunia. Malaysia juga berfungsi selaku pusat inovasi dan kepimpinan pemikiran di dalam industri kewangan Islam. Inisiatif MIFC terdiri dari rangkaian komuniti pengawal perundangan kewangan Negara, termasuk Central Bank of Malaysia (Bank Negara Malaysia), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dan Kuala Lumpur Stock Exchange (Bursa Malaysia), Kementerian serta agensi berkaitan bersama dengan penyertaan dari pihak industri termasuklah institusi perbankan, takaful, pentakafulan semula, institusi modal pasaran, institusi pembangunan modal insan dan profesional dari syarikat perkhidmatan sampingan yang turut serta dan bekerjasama di dalam bidang kewangan Islam. Malaysia mengalu-alukan pengamal serta pakar industri untuk melaksanakan perniagaan kewangan Islam pada peringkat antarabangsa di sini, dan mengambil peluang untuk menikmati persekitaran perniagaan yang kondusif. Sebagai sebuah destinasi pelaburan kewangan, Malaysia menawarkan platform serta pintu masuk bagi peluang-peluang pelaburan berlandaskan Shariah melalui inisiatif MIFC. Pelbagai institusi kewangan antarabangsa yang ada di Malaysia menawarkan rangkaian kepakaran serta produk kewangan Islam yang meluas. Terdapat kesinambungan perniagaan yang kukuh terhadap setiap segmen yang berhubungan di dalam rangkaian industri kewangan berlandaskan Shariah, yang menyediakan peluang yang besar kepada institusi global, bakat, pelabur serta penerbit saham. Jawatankuasa Eksekutif MIFC (ExCo) terdiri dari kumpulan pegawai berjawatan tinggi dari pihak Kementerian dan agensi berkaitan, pengawal kewangan dan pasaran serta institusi kewangan. Ia bermatlamat untuk menyelaras hala tujuan dan perlaksanaan inisiatif MIFC dengan cekap dan berkesan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif MIFC, sila kunjungi laman web www.mifc.com

Mengenai Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM) telah ditubuhkan pada tahun 1959, di bawah Akta Bank Pusat Malaysia 1958 (perundangan baru telah digubal pada 2009). Bank pusat diamanahkan untuk memelihara kestabilan kewangan dan memantau sistem pembayaran Negara. Semenjak penubuhannya, BNM telah memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan sektor kewangan yang komprehensif, cekap dan berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan pengguna serta perniagan yang semakin canggih. Sektor kewangan Malaysia kini merangkumi kedua-dua perkhidmatan kewangan konvensional dan Islam. Dengan menumpukan kepada kewangan Islam, Malaysia telah berjaya membangunkan sistem kewangan Islam yang komprehensif dan semakin diterima di peringkat antarabangsa. Menerusi sistem kewangan ini, BNM turut meluluskan lesen untuk penubuhan Bank Islam Antarangsa dan Pengendali Takaful Antarabangsa dan turut menumpukan kepada pembangunan institusi, termasuklah penubuhan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCIEF) dan Akademi Penyelidikan Shariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) yang mempromosikan latihan, pendidikan dan penyelidikan bagi memacu pembangunan modal insan di dalam industri kewangan Islam. Sementara itu, Majlis Penasihat Shariah BNM memastikan perlaksanaan prinsip Shariah oleh pembekal perkhidmatan kewangan Islam yang berada di bawah pengawasan BNM dan bertindak selaku penasihat kepada BNM mengenai sebarang perkara serta perkhidmatan yang berkaitan dengan Shariah. Layari laman web www.bnm.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, merupakan badan berkanun yang berada di bawah pengawasan Kementerian Kewangan Malaysia. SC mempunyai tanggungjawab khusus untuk menyelia serta memantau kegiatan serta aktiviti institusi pasaran seperti syarikat bursa serta penjualan saham, dan semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Penekanan kepada perlaksanaan fungsi di atas merupakan matlamat utama SC bagi melindungi para pelabur. SC juga turut bertanggungjawab untuk mempromosi dan membangunkan pasaran sekuriti dan derivatif di Malaysia. SC turut memacu pembangunan pasaran modal Islam Malaysia (ICM) melalui penubuhan Majlis Penasihat Shariah (SAC) yang berfungsi untuk memberi khidmat nasihat di dalam perkara berkaitan dengan aktiviti serta produk pasaran modal Islam. Semenjak penubuhannya, SC telah berjaya membangunkan rangka kerja yang komprehensif untuk membantu pengurusan harta kekayaan serta dana Islam. Sebagai tambahan, SC juga turut memacu inovasi produk di dalam sektor ekuiti Islam dan Sukuk (Bon Islam); semua ini dilaksanakan disamping usaha sedia ada mereka seperti memberi khidmat latihan, pendidikan, khidmat nasihat dan penyelidikan untuk ICM. Layari laman web www.sc.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pelancaran Kempen #100RibuDominos Sempena Iftar Mia Sara Nasuha

Double Recognition for Impiana KLCC Hotel