in ,

Ifa Raziah Tuntut Ganti Rugi RM50 Ribu Dari Power Nest

Perbicaraan kes saman fitnah penyanyi Ifa Raziah diteruskan di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta hari ini. Ifa yang terkenal dengan lagu ‘Ser… Ser… Ser….’ mengemukakan tuntutan ganti rugi sejumlah RM50,000 terhadap syarikat pengeluar produk ‘Power Nest’, Sain Group Corporation Sdn. Bhd (defendan).

Kes ini pernah disebut buat pertama kalinya pada 11 September, 2008.Dalam prosiding mahkamah petang tadi, Ifa telah diwakili peguamnya Shamsul Anuar Kamarudin. Ifa, bagaimanapun tidak hadir.

Tuntutan ganti rugi itu dibuat selepas akhbar tabloid Mingguan Warta Perdana terbitan defendan bertarikh 29 Jun 2008, menerbitkan artikel yang bertajuk “Ifa Raziah bebas alahan” – ajak rakan artis minum Power Nest.

Peguam Ifa, Shamsul Anuar Kamarudin menunjukkan artikel ‘Ifa Raziah bebas alahan’ kepada pemberita di luar mahkamah. Turut kelihatan, peguam Sain Group Corporation Sdn Bhd, Boestamam Ahmad.

Dalam artikel tersebut, Ifa (plaintif) telah dikatakan mengeluarkan kenyataan berupa pengiklanan kepada wartawan akhbar berkenaan, M. Rozi Hassan. Bagaimanapun, Ifa dalam pernyataan tuntutannya menafikan yang beliau memberikan persetujuan atau sebarang kebenaran kepada akhbar tersebut.

Ifa juga menafikan beliau pernah memberikan kenyataan sepertimana yang tersiar dalam tabloid tersebut dan sebarang kenyataan yang disiarkan adalah kenyataan penerbit akhbar tersebut. Oleh yang demikian, plaintif (Ifa) menuntut daripada defendan wang ganti rugi reputasi berjumlah RM50,000 dan lain-lain kos yang adil dan sesuai.

Dalam kenyataan pembelaannya, Syarikat Sain Group Corporation Sdn Bhd, sebagai pihak defendan memohon mahkamah mengenepikan tuntutan defendan atas alasan “menyaman pihak yang salah”. Peguam Boestamam Ahmad yang mewakili Sain Group berkata, saman plaintif sepatutnya gagal kerana plaintif telah menyaman pihak yang salah. Ifa bersama suaminya, Muhd. Yani Abdul Rahman yang juga pengurusnya dalam satu majlis di ibu kota, baru-baru ini.

Dalam hujahnya, Boestamam berkata, “parti yang sepatutnya disaman ialah wartawan, akhbar Warta Perdana dan pengedarnya.”

Sementara itu, Shamsul Anuar ketika ditemui di luar mahkamah berkata, “Artikel itu dikeluarkan tanpa kebenaran Ifa.

“Gambar yang dikeluarkan dalam artikel tersebut diambil semasa pameran Power Nest di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bulan Jun tahun lalu. Apabila gambar itu dikeluarkan, ini bermaksud pengiklanan dibuat tanpa pengetahuan Ifa sendiri. Di situlah timbulnya tindakan sebenar. Saman dikeluarkan atas alasan fitnah (defamation suit). Kami menafikan semua yang ditulis dalam artikel itu. Ini bukanlah kenyataan Ifa tetapi akhbar itu sendiri, jadi kami tuntut saman ganti rugi,” kata Shamsul.

Pada masa yang sama, Shamsul berkata, anak guamnya Ifa mempunyai produk sendiri berjenama ‘Serifa’. Ekoran penerbitan artikel tersebut, beliau mendakwa produk Ifa sendiri merosot selepas artikel ini dikeluarkan.

Bagaimanapun, dakwanya, jualan produk Power Nest pula meningkat.

“Peminat keliru mana satu produk sebenarnya – Serifa atau Power Net? Dari situ, kita tuntut ganti rugi reputasi untuk RM50,000,” tambah Shamsul.

Shamsul juga memberitahu, pihak Ifa telah memfailkan satu lagi saman di Mahkamah Tinggi terhadap akhbar terbabit dan tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada tahun depan. Selepas mendengar hujah-hujah daripada peguam plaintif, Shamsul Anuar Kamarudin dan defendan Boestamam Ahmad, Hakim Mahkamah Sesyen, Jagjit Singh a/l Bant Singh telah menetapkan esok (30 September 2009) pukul 11.30 pagi untuk keputusan kes. [sumber]

ifa raziah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gossip Farawahida Bunuh Diri?

Trailer & Sinopsis Sorority Row