in

Ifa Raziah & Esma Danial dalam Cerita Satu Impian

TELEMOVIE CERITA SATU IMPIAN PAPAR GOLONGAN KURANG CELIK IT DI TV2

Seiring peredaran zaman masa kini, masyarakat kita sememangnya terdedah dengan pelbagai kemajuan termasuklah kemudahan IT yang turut dikecapi oleh penduduk luar bandar. Namun di sebalik penerimaan sesetengah golongan yang mahu ‘memajukan diri’ itu, ada juga sebilangan kecil daripada mereka yang belum ‘bersedia’ menerima situasi itu.

Bagi mereka, cukuplah sekadar mengekalkan tradisi lama yang mahu disanjung sampai bila-bila. Mereka terus-terusan mengetepikan antaranya kemudahan IT yang cuba diserapkan dalam kehidupan seharian seiring dengan kemajuan yang dirasai di bandar. Realiti kisah ini yang masih berlaku dikongsi sama dalam telemovie bertajuk Cerita Satu Impian pada 29 Oktober 2010 (Jumaat), jam 2.30 petang di TV2.

ifa raziah

Ifa Raziah

Kisah berkisarkan kehidupan dan impian masyarakat di luar bandar yang penuh suka dan duka dalam mengharungi sebuah kehidupan sebuah perkampungan moden dan telah lama menikmati kemudahan infrastuktur dan kemudahan sosial yang lainnya.

Bidan Maimon, seorang janda dan juga seorang pengamal perubatan serta penjagaan kesihatan secara tradisional menghadapi dilema apabila segala ilmu yang diamalkannya selama ini mungkin akan lenyap begitu sahaja berikutan tiada yang berminat untuk mempelajarinya.

Impiannya untuk mewariskan ilmunya itu kepada kedua anaknya, Nordin dan Nurul juga tidak kesampaian apabila Nordin lebih gemar menghabiskan aktivitinya berlumba haram di sekitar kampung bersama rakan-rakannya manakala Nurul pula tidak menunjukkan minat terhadap ilmu yang dimiliki ibunya.

Pada suatu malam di mana semasa Nordin dan kawan-kawan mat rempitnya sedang berlumba di jalan kampung berhampiran dengan surau. Nordin telah terlibat dalam kemalangan. Nordin yang ketakutan insiden itu sampai ke pengetahuan ibunya telah menyembunyikan diri di rumah rakannya Samad. Tindakan Nordin itu mengganggu emosi ibunya.

sementara itu, Rizal yang berminat dalam bidang perniagaan bercita-cita untuk membuka pusat siber di pekan berhampiran kampungnya. Namun Rizal menghadapi masalah kekurangan modal permulaan untuk membuka perniagaan tersebut.

Semasa berada di rumah neneknya, Nek Mah telah dapat menghidu masalah yang dihadapi oleh Rizal lalu Nek Mah bersetuju untuk membantu Rizal dalam mencapai impiannya dengan meminjamkan duit simpanan tabung Hajinya kepada Rizal untuk membuka pusat siber tersebut.

Ternyata usaha Rizal itu semakin mencapai matlamatnya apabila dalam mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Kampung mereka, Tok Haji telah meminta diadakan aktiviti yang sihat untuk belia kampung. Perkara itu memberikan peluang kepada Rizal mengetengahkan impiannya. Rizal mencadangkan agar seluruh kampung tidak kira tua atau muda mengikuti “Program Komputer dan Celik IT” secara percuma di pusat sibernya.

Namun cadangannya itu mendapat tentangan keras dari Pak Darus, seorang yang agak konservatif. Pak Darus berpendapat semua itu hanya akan lebih memburukkan lagi keadaan di mana kebimbangannya adalah mereka yang mempelajari IT hanya tahu bermain permainan video dan melayari laman web yang tidak sepatutnya.

Namun dengan sokongan majoriti ahli mesyuarat, impian Rizal mula menjadi kenyataan. Tetapi tidak semudah itu apabila Pak Darus berusaha menggagalkan rancangannya.

Sehinggalah pada suatu hari, Rizal mendapat tahu tentang impian Bidan Maimon untuk menurunkan ilmunya kepada sesiapa yang berminat. Rizal telah menggunakan kesempatan itu dengan melancarkan laman web khas untuk Bidan Maimon, “Program Penjagaan Kesihatan Secara Tradisional Bidan Maimon”. Bidan Maimon pada mulanya agak kurang yakin dengan niat ikhlas Rizal untuk membantunya.

Dengan bantuan Iqbal, Nurul dan Cikgu Suraya, Rizal berusaha merealisasikan impian Bidan Maimon dan impiannya sendiri untuk melihat orang kampungnya lebih berjaya maju. Begitu adakah impiannya menjadi kenyataan? Telemovie ini dibintangi oleh Munir, Maimon Mutalib, Esma Danial, Ifa Raziah, Aznah Hamid, Ruminah Sidek dan Kamarool Haji Yusoff.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Rakaman Pengumuman 12 Pemenang Anugerah FFM 23

HaiYun Charity Carnival