in

Idola Kecil Musim 3 Lebih Berbakat

GILIRAN SI CILIK MENAKLUK DUNIA HIBURAN!

Setelah mendapat sambutan yang amat mengagumkan sepanjang dua musim berturut-turut, kini Idola Kecil kembali lagi di TV9 untuk musim ketiga dengan lebih keseronokan dan cabaran yang pasti menghiburkan. Usia muda bukanlah penghalang bagi mereka untuk menempa nama dalam industri seni Malaysia dan TV9 percaya program realiti kanak-kanak No 1 Malaysia ini sudah pun mempunyai pengaruh tinggi dalam industri muzik tanahair dan ia akan terus melahirkan generasi penghibur yang berkualiti suatu hari nanti.

DSC_5961

Setelah menjalani ujibakat di serata Malaysia, 10 peserta berbakat besar telah dipilih untuk berentap di atas pentas Idola Kecil musim ketiga (IK3) yang bakal bersiaran di kaca televisyen pada setiap hari Sabtu, jam 9 malam, mulai 6 November ini.

Para peserta bukan sahaja dipilih berdasarkan bakat nyanyian mereka yang hebat, malah kehandalan dan kemahiran mereka dalam bidang tarian dan juga lakonan.

Menurut Pengurus Besar TV9, Cik Sherina Nordin, ”Kami amat kagum dengan bakat-bakat serta kebolehan adik-adik kecil ini terutamanya sepanjang sesi ujibakat yang telah diadakan selama dua bulan (Julai dan Ogos) yang lalu. Proses pemilihan Idola Kecil pada musim ini lebih sukar dan daripada hampir 1000 peserta, akhirnya 10 yang terbaik dipilih berdasarkan kebolehan seni mereka yang tidak kira usia mahupun jantina. Sememangnya ia merupakan keputusan yang amat sukar juga bagi kami kerana mereka semua berbakat. Dalam sepuluh peserta, kami juga berjaya mendapat seorang peserta dari Sabah dan seorang dari Sarawak. Harapan kami adalah semoga rancangan ini akan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton kami di sana.”

Tambah beliau lagi, ”Pada tahun lalu, Idola Kecil 2 berjaya menggegarkan dunia seni hiburan dan mendapat sambutan di luar jangkaan kami di mana jumlah penontonnya berjaya mencecah 2.3 juta pada konsert akhir Idola Kecil 2 sementara 1.2 juta bagi episod mingguan. Kesinambungan daripada itu, pada musim ini, kami berusaha untuk memberikan yang terbaik dengan meningkatkan lagi kandungan program supaya penonton terutamanya adik-adik di rumah lebih terhibur setiap hari, sepanjang minggu. Pada masa yang sama, kami juga telah menghasilkan Klip Mini Idola Kecil 3 dan juga Klip Ekstra Idola Kecil 3 supaya penonton dapat melihat dengan lebih dekat lagi setiap cabaran yang dilalui oleh kesepuluh peserta ini dalam menggapai cita-cita mereka.”

Berikut adalah barisan peserta Idola Kecil Musim Ketiga:

1. Nurhamilya Adiba Bt. Hamzaidi 10 tahun Adiba Perlis
2. Muhammad Afif B. Abdul Halim 10 tahun Kuala Lumpur
3. Farra Noradzlina Bt. Safwan 10 tahun Farra Kedah
4. Nor Harris Alif B. Nor Rashidi 11 tahun Harris Pulau Pinang
5. Angelica Paujin 11 tahun Angel Sabah
6. Abdul Hadi B. Abdul Mazlan 11 tahun Hadi Kuala Lumpur
7. Nor Balqis Bt. Ahmad Tajudin 11 tahun Balqis Terengganu
8. Nadeera Allysha Bt. Aminudin 11 tahun Deera Johor
9. Shazlin Bt. Salamat 12 tahun Shazlin Sarawak
10. Puteri Aszfaryna Khareeza 12 tahun Puteri Kuala Lumpur

Kebanyakan peserta cilik ini sudah pun mempunyai pengalaman dalam membuat persembahan dan ada juga yang pernah berganding dengan penyanyi-penyanyi popular Malaysia. Farra Noradzlina, yang baru sahaja berumur 10 tahun, pernah berkongsi pentas bersama dengan ratu rock Malaysia, Ella. Begitu juga dengan Puteri Aszfaryna Khareeza yang pernah berduet dengan penyanyi popular era 70an hingga 90an iaitu Salamiah Hassan.

DSC_5976

Bagi Nor Harris Alif pula, beliau pernah membuat persembahan di Hard Rock Café, Pulau Pinang, bersama kumpulannya sendiri. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa mereka semua mempunyai bakat luar biasa yang akan terus digilap dan sekaligus memperkukuhkan posisi program ini sebagai sebuah platform pencarian bakat utama di Malaysia. Malah ia menjadi satu landasan terbaik dalam pencarian bakat cilik di Malaysia.

Klip Mini Idola Kecil 3 akan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis selama 3 minit pada 7.00 petang manakala Klip Ekstra Idola Kecil 3 pula akan bersiaran selama setengah jam pada setiap hari Jumaat jam 9 malam. Klip Ekstra Idola Kecil akan dikendalikan oleh DJ HotFM, Ikhwan yang akan membawa penonton di sebalik tabir aktiviti-aktiviti peserta di luar kelas.

10 peserta IK3

Sementara itu, Alif Satar terus dikekalkan sebagai hos pada musim ini setelah berjaya menambat hati jutaan penonton setia Idola Kecil musim lalu. Kemesraan, keramahan dan kebijaksanaan Alif dalam menangani situasi kerenah peserta Idola Kecil 2 amat terserlah dan memuaskan semua pihak.

Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia binti Raja Haron turut dikekalkan sebagai juri tetap berdasarkan kepada pengalamannya yang pandai berkomunikasi dengan adik-adik ketika di atas pentas. Beliau juga menunjukkan sikap profesional di mana setiap teguran dan pendapat beliau amat bernas serta saksama. Setiap minggu Atilia akan berpasangan dengan seorang juri tempatan dalam menilai prestasi kesepuluh peserta Idola Kecil 3 ini.

Seperti biasa, rutin harian Idola Kecil tidak lengkap tanpa kelas-kelas vokal, tarian dan persembahan. Musim ini, tiga tenaga pengajar berpengalaman dibawa kembali untuk memberi ”sentuhan emas” mereka dalam membentuk penghibur yang versatil. Mereka adalah Cikgu Alfa Booty (komposer), Cikgu Delly (vokal) dan Cikgu Affizal (tarian) yang sudah pun menurunkan ilmu tidak ternilai mereka pada musim-musim sebelum ini.

Untuk mendapat maklumat terperinci berkaitan Idola Kecil 3 serta aktiviti-aktviti menghiburkan yang terdapat di dalam Idola Kecil 3 ini, jangan lupa untuk melayari laman web rasmi www.tv9.com.my/idolakecil3. Menangi hadiah menarik menerusi HotFM yang juga merupakan radio rasmi bagi Idola Kecil 3.

Idola Kecil 3 kali ini mencetus fenomena baru di kalangan penonton cilik TV9. Jangan lupa untuk menonton Idola Kecil 3 bersama keluarga tersayang pada setiap hari Sabtu, jam 9 malam, mulai 6 November ini, hanya di TV9, saluran Di Hatiku!

Selamat menonton!

alif satar - pengacara IK3

Hos Idola Kecil 3, Alif Satar

atilia

Juri tetap Idola Kecil 3, Atilia

DSC_6027

atilia dan tenaga pengajar IK3

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia X Arrives in Seoul

CRIMINAL MINDS musim ke-5