in ,

Hazama Hadiahkan AKU BUKAN DEWA Istimewa Untuk Peminat

“Walau Aku Bukan Dewa, Kalis Calar dan Luka, Bebas Dari Cedera, Namun Aku Masih Muda, Darahku Yang Merah Menyala, Buat Ku-Seperkasa”.. Berikut adalah bait lirik lagu single terbaru Hazama berjudul ‘Aku Bukan Dewa’.

Lagu yang mengangkat genre muzik progresif pop rock ini merupakan single kedua Hazama untuk tahun ini selepas ‘Aku Yang Sebenar’ yang dilancarkan pada bulan April lalu. Sama seperti ‘Aku Yang Sebenar’, single kedua Hazama ‘Aku Bukan Dewa’ ini turut mendapat sentuhan dari Ad Samad selaku penulis lirik dan Taja (Meet Uncle Hussein) & Hazama pula bertindak sebagai komposer.

Istimewanya lagi, Hazama turut bekerjasama dengan penyanyi rap tersohor tanah air, Altimet dalam menjayakan single ini.

Hazama feat Altimet - Aku Bukan Dewa

Hazama Hadiahkan AKU BUKAN DEWA Istimewa Untuk Peminat

Buah tangan terbaharu daripada Hazama ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan akan mula menemui peminat menerusi corong-corong stesen radio tempatan bermula pada hari ini. Selain dari itu, single ini turut boleh didengari di landasan penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Muzik video lagu ini pula dijangka bakal menemui peminat dalam jangka masa terdekat ini di saluran Youtube Rocketfuel Network.

Mengulas mengenai edisi terbaharu beliau ini, Hazama menjelaskan, “Saya sangat teruja kerana sekali lagi berpeluang untuk bekerjasama dengan nama-nama hebat di sebalik tabir penghasilan ‘Aku Bukan Dewa’ ini. Segah tajuk yang diberi, karya ini sekali lagi mempamerkan kehebatan Ad Samad dalam menghasilkan sebuah lirik yang cukup bermakna dan memiliki maksud yang begitu mendalam, diulit pula dengan keindahan muzik hasil sentuhan komposer terkenal Taja, dan pada masa yang sama rakan baik saya sendiri, Altimet, hadir menyumbangkan gegaran rap kreatif beliau bagi melengkapkan nukilan ini. Hasilnya, sempurnalah ‘Aku Bukan Dewa’, istimewa untuk peminat-peminat saya di luar sana.

‘Aku Bukan Dewa’ ini saya anggap sangat dekat dengan diri saya kerana ia menceritakan tentang semangat juang saya dalam industri muzik ini. Dari hari pertama saya bertapak dalam industri, pelbagai ranjau dan onak duri terpaksa saya tempuhi sebelum saya berada di sini; pada hari ini. Lagu ini sangat istimewa kerana muzik yang dipersembahkan seolah-olah memberi gambaran akan penceritaan dan ‘mood’ atau suasana yang ingin disampaikan. Ad Samad berjaya mengolah lirik lagu ini dengan baik sekali, dan Taja pula menyokong dengan menghidupkan elemen misteri dan teka-teki dalam lagu ini.

Menariknya lagi, pendekatan genre muzik yang saya ambil pada kali ini iaitu progresif pop rock, berlainan dari konsep pop balada yang saya bawa selama ini. Saya ingin lari dari ruangan selesa saya dan menampilkan kelainan dengan tampil menyampaikan lagu rancak. Ini sebenarnya adalah jiwa saya dan pada kali ini, saya akan membawa peminat menyelami aliran sebenar muzik, dalam dunia saya.”

Pertama kali tampil dengan genre muzik ‘Progresif Pop Rock’, Hazama lari dari zon selesa

Mengulas pula mengenai cabaran yang perlu Hazama lalui untuk menyiapkan single ini, Hazama berkata, “Sejujurnya, saya tidak mengalami sebarang kesulitan dari aspek vokal kerana saya begitu menyukai dan sangat teruja dengan lagu ini. Justeru, semangat untuk mempersembahkannya dengan sebaik mungkin dilihat hadir secara semulajadi (‘natural’). Tapi, saya merasakan, cabaran itu mungkin hadir di saat ingin memenangi hati peminat terutamanya mereka yang selama ini terbiasa dengan lagu-lagu saya yang berentak pop balada.

Seperti yang dinyatakan sebentar tadi, ‘Aku Bukan Dewa’ adalah sebuah lagu yang berentak rancak, tetapi sebagai seorang penyanyi, saya perlu tampil versatil dan terus berkarya dalam industri untuk kekal relevan. Saya ingin terus menghiburkan peminat yang sentiasa setia berada di belakang saya. Saya berharap, peminat saya mampu menerima kelainan ini dengan hati terbuka dan semoga terhibur dengan lagu ini.”

Aku Bukan Dewa Promo 3

Menurut Adam Lobo, Ketua Muzik Label, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd., “Hazama adalah satu nama yang tidak memerlukan pengenalan lagi dalam industri muzik tanah air. Selain daripada menyanyi, bakat beliau dilihat mendapat pengiktirafan sewajarnya apabila diberi peluang menjadi sebahagian dari tenaga pengajar atau mengisi kerusi juri profesional untuk sesebuah program terutamanya program yang berkaitan dengan nyanyian. Karekter diri beliau yang begitu bersahaja, kelakar dan mudah didekati turut menjadi penyumbang kepada kejayaan beliau pada hari ini.

Mungkin ramai sedia maklum, kami di Rocketfuel Entertainment baru-baru ini telah membuat sebuah eksperimen sosial yang menampilkan Hazama sebagai seorang gelandangan dan membuat persembahan di Bukit Bintang. Ternyata, pelantun lagu ‘Penglipur Lara’ ini masih tetap menjadi tumpuan orang ramai yang rata-rata dilihat terpegun dengan nyanyian beliau. Itulah Hazama. Bakat yang beliau miliki sangat istimewa dan kami yakin, sama seperti lagu-lagu beliau sebelum ini, ‘Aku Bukan Dewa’ ini bakal mendapat tempat di hati peminat.”

Lagu ‘Aku Bukan Dewa’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan. Layari saluran Youtube Rocketfuel Network untuk maklumat lanjut.

Aku Bukan Dewa Promo 1

###

Tajuk : Aku Bukan Dewa
Artis : Hazama feat. Altimet
Komposer Lagu : Taja
Lirik Lagu : Ad Samad (TariPerang Publishing, S/P Luncai Emas Sdn Bhd)

Kutunggangi Kelodan Melintas Di Depanku
Merentasi Rintangan Yang Berlurah Dan Liku
Adakala Kutahu
Mana Kutuju
Adakalanya Aku
Hanya Menduga Duga

Walau Aku Bukan Dewa
Kalis Calar Dan Luka
Bebas Dari Cedera
Namun Aku Masih Muda
Darahku Yang Merah Menyala
Buat Ku-Seperkasa

Kugelakan Amaran Pabila Dilontarkan
Jegilan Kuancaman, Pada Tiap Cabaran
Apa Pun Yang Kan Terjadi, Akan Terjadi
Hidup Ini Hanya Sebuah Bongkah Permainan

Walau Aku Bukan Dewa
Kalis Calar Dan Luka
Bebas Dari Cedera
Namun Aku Masih Muda
Darahku Yang Merah Menyala
Buat Ku-Seperkasa

-Rap-
Biar Putih Tulang Asal Tak Putih Mata
Kalau Jantan Hutang Budi Bayar Baliknya Jasa
Ada Turun Naik Malam Pasang Surut
Baik Mati Berdiri Dari Hidup Melucut
Aku Makin Kuat Lepas Aku Pasang Niat
Jatuh Bangun Aku Cuba Lagi Tiada Tunggu Dan Lihat
Tiada Tuding Jari Bila Tangan Sibuk Berkiat
Selagi Ada Kudrat Keringat Aku Untuk Zuriat

Apa Pun Yang Kan Terjadi, Akan Terjadi
Hidup Ini Hanya Sebuah Bongkah Permainan

Aku Bukan Dewa Promo 2

 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia Tawar Diskaun 50% Untuk Penerbangan Ke Indonesia

Ejen Ali & AirAsia Lancar Impian Dalam #MisiAspirasiAirAsia