in

Harry Fotografi

MELIHAT DARI LENSA HARRY
Cabaran demi cabaran yang mencuit hati

Pernah melalui pelbagai situasi memalukan, pelik dan melucukan ketika hendak mengambil gambar? Inilah yang dilalui oleh Harry setiap hari ketika menjalankan tugasnya sebagai seorang jurugambar dalam drama bersiri komedi terbaru ”Harry Fotografi” yang akan mula disiarkan menerusi slot Oh! Mari Gelak! (OMG) mulai 4 Februari, setiap Sabtu dan Ahad jam 7.30 malam di TV9.

Drama komedi 14 episod ini menggabungkan barisan pelakon serba boleh iaitu Zul Yahya, Putri Mardiana, Jehan Miskin, Sharifah Shahora dan Kumin. Ia mengisahkan tentang Harry (Zul Yahya) yang menjalankan bisnes fotografi bersama kakak andartunya iaitu Mary (Sharifah Shahora). Harry juga dibantu oleh D-Boy (Kumin) yang tidak tahu langsung tentang selok-belok penggambaraan dan sering menimbulkan masalah kepada Harry.

Setiap projek yang diambilnya pasti ditambah dengan seribu satu masalah dan cabaran. Memang sudah menjadi cita-cita Harry sejak kecil lagi untuk menjadi seorang jurugambar yang berjaya tetapi dapatkah dia mencapai cita-citanya dengan segala cabaran yang ada?

Bukan itu sahaja, malah Harry juga perlu melayan karenah tunangnya iaitu Arissa (Putri Mardiana) yang sangat dahagakan masa dan kasih sayang Harry. Sikap Arissa yang sentiasa inginkan perhatian Harry itu telah merumitkan lagi kerjayanya. Tiap-tiap hari ada sahaja yang menyukarkannya untuk menyiapkan projek.

Pada episod pertama, Harry mendapat projek perkahwinannya yang pertama di mana pasangan Iman (Bell Ngasri) dan Emma bertandang ke studionya untuk mengambil gambar mereka sebagai pengantin baru. Baru sahaja beberapa minit di studio tersebut, mereka sudah bertengkar bagaikan hendak runtuh bangunan! Pada masa yang sama, hari tersebut merupakan hari ulang tahun pertunangan Harry bersama Arissa. Arissa sudah begitu teruja untuk makan malam bersama Harry tetapi Harry masih belum boleh siapkan kerjanya. Bagaimana Harry mahu melengkapkan tugasnya jika Iman dan Emma tidak berhenti bergaduh?

Episod kedua pula menyaksikan Harry mendapat sebuah projek penggambaran bersama anak-anak seorang Datin berstatus tinggi… dan berhidung tinggi juga! Harry dan Mary begitu gembira kerana yakin projek ini senang dilakukan dan mudah mendapat bayaran yang tinggi. Rupa-rupanya “anak-anak” Datin tersebut adalah kucing-kucing belaannya. Harry dan Mary mula gelisah kerana kedua-dua mereka alah kepada kucing! Perlukah mereka membatalkan projek ini?

Berjayakah Harry menjadi seseorang yang disegani dalam industri fotografi? Lihat keletah Harry dan orang sekelilingnya dalam drama terbaru “Harry Fotografi” di bawah Fuze Productions diterbitkan oleh Azizi “Chunk” mulai 4 Februari ini pada hari Sabtu & Ahad jam 7.30 malam.

Selamat bergelak ketawa!

Harry Fotografi

Harry Fotografi

Harry Fotografi

Harry Fotografi

Harry Fotografi

Harry Fotografi

Harry Fotografi

Harry Fotografi

Harry Fotografi

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Best Of Britain App VisitBritain

Chris Brown’s Brand New Single Turn Up The Music