in ,

Harga Pakej Berbuka Puasa Rabbani Hotel Singgahsana 2010

Pada 21 Julai lalu, Budiey telah menyaksikan satu majlis mematerai perjanjian Ramadan 2010 bersama Rabbani dan Hotel Singgahsana. Ini adalah kali ke-19 di mana Rabbani akan buat persembahan di Hotel Singgahsana sepanjan bulan Ramadan di hotel ini. Selain Rabbani, kumpulan Rabbani FC dan kumpulan In Team juga akan perform.

Pada 13 Ogos 2010 ini, majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk Allahyarham Ustaz Asri akan diadakan sebelum berbuka puasa.  Artis, media dan peminat akan dijemput untuk hadir. Juga tak lupa sambutan merdeka akan diadakan pada 31 Ogos.

Sempena dengan kedatangan bulan paling berkat Ramadan Al-Mubarak bagi tahun Hijrah 1431 bersamaan 2010, Hotel Singgahsana Petaling Jaya sekali lagi buat persiapan melayari bulan yang mulia ini dengan menawarkan perisian berbuka puasa istimewa.

Wakil dari Hotel Singgahsana

Wakil dari Rabbani

Kali ini, pihak hotel mengadakan promosi berbuka puasa untuk meraikan tetamu-tetamu dengan mengutarakan tema iaitu Asam Garam Ramadan 2010 berkonsepkan hidangan di perkampungan nelayan. Hotel Singgahsana Petaling Jaya akan menyajikan lebih 200 jenis hidangan istimewa berbuka puasa yang begitu menyelarakan.

Antara hidangan menarik yang akan disediakan termasuklah, Nasi Singgah Berlabuh, Di Ulit Ulam Berkayuh (yang terdiri daripada pelbagai ulaman kampung dan ulaman laut serta sambal belacan), Nasi Kukus, Nasi Hujan Panas, Nasi Minyak, Nasi Lemak, Pais Ikan Segar, Satar, Umai, pelbagai masakan Ikan Patin (seperti ikan Patin Masak Asam Pedas dan Ikan Patin Masak Tempoyak), Ikan Sembilang Masak Lemak Cili Padi, Kembara Pelbagai Ikan Bakar, Ikan Rebus, Ikan Goreng Tepung, Ikan Pari Bakar Berempah, Pelbagai Masakan Udang, Ketam, Sotong, Hidangan Muara (Mentarang, kerang, lala, kupang), Makanan Laut Stim Boat, Kambing Panggang Atas Perahu, Ayam Belanda Golek, Daging Salai Masak Lemak Belimbing Buluh, Gulai Kawah, Burung Puyuh Berlada, Ayam Beriyani, Ayam Goreng Rempah Halia, Pulut Ikan Masin serta pelbagai hidangan pencuci mulut seperti Kuih Serabai, Bubur Kacang Durian, Sago Gula Melaka, Onde-Onde, Lepat Ubi dan Pisang, Manisan Buah Kabong disudahi dengan minuman segar air kelapa laut, air kelapa muda, kopi kampong, teh tarik dan banyak lagi.

Olahan menu ini diilhamkan khusus oleh Chef Salinawati Abdul Aziz dan dibantu oleh chef-chef Hotel Singgahsana yang berpengalaman luas dalam masakan tradisional tempatan dan juga antarabangsa.

Dihidangkan secara konsep gerai dan perahu yang direka khas oleh Encik Jaini Hasan, Residen Art Creator, Hotel Singgahsana yang menonjolkan wajah dan ekologi perkampungan nelayan di Malaysia agar pengunjung dapat rasakan suasana yang mendamaikan sementara menikmati hidangan yang disediakan.

Ketika menikmati juadah berbuka puasa, pengunjung juga akan berasa nyaman dengan alunan irama nasyid dipersembahkan secara langsung oleh kumpulan nasyid terkemuka negara Kumpulan Rabbani dan juga beberapa kumpulan nasyid terkemuka.

Kumpulan nasyid Rabbani telah bersama-sama menghibur para pengunjung di Hotel Singgahsana PJ selama 18 tahun berturut-turut. Nama Rabbani sudah sinonim dengan Ramadan di Hotel Singgahsana, seolah-olah ia meniti di bibir para pengunjung. Sudah pasti persembahan Rabbani ketika berbuka puasa adalah satu kepuasan buat pengunjung.

Selain dapat menikmati juadah berbuka puasa dengan diiringi oleh alunan persembahan nasyid secara langsung, pengunjung juga boleh beribadat dengan selesa kerana dewan solat khas disediakan berserta Imam untuk solat Maghrib, Isyak dan juga solat Sunat Terawikh.

Untuk tahun 2010, pengunjung yang berbuka puasa berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah yang disediakan. Antara penaja yang menyumbang hadiah adalah Telekom Malaysia, Galeri Ilmu Sdn Bhd (Majalah Asuh dan Anis), HalaGel, Produk Kecantikan oleh Kels, Uzai Marketing, 1st Grade Perfume, TH Travel, PRM Global Vision, Rabbani Fan Club, Rabbani Productions Sdn Bhd dan juga Hotel Singgahsana PJ.

Sebanyak 10 cabutan bertuah akan dibuat setiap hari.

Ruang utama berbuka puasa dan juga ruang tambahan di Restoran Sri Santapan Hotel Singgahsana boleh memuatkan tempat untuk 1000 pengunjung pada satu satu sama.

Tempahan dewan berbuka puasa secara persendirian juga boleh diaturkan. Saiz tempahan adalah dari 50 hingga 300 orang.

Untuk tahun ini, kadar yang ditawarkan ialah RM62 bersih seorang dewasa. Bagi kanak-kanak berumur dari 6 tahun hingga 12 tahun diberi potongan 50%. Tidak lupa juga bagi warga emas, kadar potongan 30% juga diberikan. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun adalah PERCUMA!

Harga ini dikira berpatutan kerana kalau nak ambil kira kenaikan harga bahan mentah dan kenaikan kos semasa.

Pihak hotel juga akan memberikan 1 voucher berbuka puasa secara percuma bagi setiap tempahan untuk 5 orang dalam satu bil.

Bulan Ramadan kali ini juga menyediakan pakej seminar yang istimewa di mana pakej serendah RM25 bersih seorang disediakan. Bagi pakej penginapan kadar sebilik serendah RM245 untuk berdua disediakan termasuk berbuka puasa dan sahur untuk 2 orang.

Bagi yang nak buka gerai jualan, akan disediakan juga bazar di ruang legar lobi hotel. Pelbagai produk jualan yang menjurus kepada persediaan Hari Raya Aidilfitri akan diniagakan.

Disamping bazar jualan, pihak hotel juga tidak akan lupa menyediakan kaunter kutipan zakat fitrah. Amil kutipan akan berada di perkarangan hotel mulai 15 hingga akhir Ramadan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sertai Ujibakat Mari Menari Astro

Sinopsis Drama Samarinda Syurgamu Ramadhan