in

Halaqah Sentuhan Qalbu Musim Kedua

MUSIM KEDUA PENGAKUAN SEORANG IBU MENDERA ANAK BERKONGSI KISAH SILAM

Berbekalkan teknik melihat, mendengar dan merasa yang digunakan menerusi Halaqah Sentuhan Qalbu (HSQ) diteruskan ke musim kedua. Ditambahkan pula dengan pengakuan responden dari setiap episod mengenai kisah kehidupan silam yang pernah dilalui mereka. Pernahkah anda mendengar pengakuan seorang ibu yang pernah mendera anak mereka? Beranikah anda untuk menceritakan tentang kelemahan anda dan mendapat pakar nasihat daripada mereka yang pakar? Sudah tentunya tidak ramai yang berani untuk tampil ke hadapan namun, itulah pendedahan ikhlas yang ingin dikongsikan oleh seorang ibu kepada kita semua menerusi program ini untuk diambil menjadi iktibar.

Halaqah Sentuhan Qalbu musim kedua ini akan disiarkan menerusi TV9 pada setiap Selasa dari jam 10.00 malam hingga 11.00 malam bermula 5 Julai 2011 ini.

Untuk menghidupkan lagi suasana studio dan juga mendapat maklumbalas secara spontan dan ikhlas daripada kupasan yang dibincangkan, program ini telah menjemput 13 responden yang berani untuk berkongsi kisah silam mereka menerusi 13 episod HSQ musim kedua ini dengan bertemakan “Nota Kehidupan”. Ianya bukanlah bertujuan untuk mendapat nama atau publisiti semata-mata tetapi ingin memberitahu supaya kita menghindari perkara yang tidak sihat yang pernah mereka lakukan.

Menerusi program ini, penonton berpeluang mendengar kisah seorang suri rumahtangga yang bergelar ibu yang mempunyai dua karektor. Ini disebabkan oleh faktor kehidupan silamnya ketika kecil yang menjadi kebencian ibu kandung sendiri dan sering didera oleh ibunya. Ini membuatkan beliau tidak pernah mengenali erti kasih sayang. Apabila berkahwin dan mendapat anak, peristiwa silam membayangi dirinya dan membuatkan dia melakukan perkara yang sama terhadap anak kandungnya sendiri. Sehingga merasakan dirinya wujud dua sifat yang berlainan iaitu sifat ibunya dan dirinya sehingga menimbulkan konflik jiwa yang sukar bagi dirinya untuk mencari jalan keluar.

Selain daripada kisah mendera anak dan didera oleh ibu kandung, penonton juga dapat mendengar kisah benar tentang seorang pelajar IPTA yang bijak tetapi tidak mahu berkongsi kebijaksanaa yang diberi oleh Allah SWT kepada orang lain. Pelajar tersebut ialah Mohd Nurul Imran Koyube. Sikapnya itu tidak disenagi oleh sahabat-sahabatnya yang lain. Namun suatu hari, beliau tersedar dengan kesilapannya sendiri dan berasa amat bersalah. Sejak mendapat hidayah untuk berkongsi segala kelebihan yang ada bersama orang lain, beliau kini menjadi seorang yang berjaya dan kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif diusia semuda 23 tahun. Topik yang akan dibawakan adalah ‘Pelajar Nombor 1” pastinya memberikan jalan dan membuka mata golongan remaja kita masa kini.

HSQ musim kedua kini lebih bermain kepada emosi seperti sedih, terkejut dan sayu. Namun memandangkan sasaran TV9 kini lebih menumpukan kepada kumpulan remaja, kami telah memanggil beberapa responden remaja untuk berkongsi pengalaman mereka menerusi topik ‘Litar Taubatku’, ‘Balung Ayam’ dan ‘Tiang Baru’. Paparan sebegini dan perkongsian pengalaman bersama orang ramai sekurang-kurangnya dapat memberi iktibar kepada mereka dan setidak-tidaknya dapat memperbaiki diri menjadi lebih fokus dan positif.

Masih mengekalkan Tuan Haji Ahmad Noor Sulaiman selaku pengacara, program ini juga turut mengekalkan konsep menampilkan seorang ahli panel terpilih dan jurulatih kecerdasan, emosi dan spiritual dari ESQ Leadership Training Centre.

Kesemua topik yang diperbincangkan akan diperkukuhkan lagi dengan ayat-ayat suci dari kitab Al-Quran. Perbincangan yang diperhangatkan lagi dengan perkongsian cerita dan pengalaman bersama dengan responden dan penonton pastinya membuatkan HSQ musim kedua menjadi semakin mantap.

Tidak semua orang yang ingin berkongsi setiap pengalaman dan keperitan masa silam mereka secara terbuka. Namun HSQ musim kedua berjaya mendapat responden yang berani dan berkeyakinan supaya pengalaman mereka dapat dijadikan iktibar kepada kita semua.

Ingin mendengar sendiri pengalaman pahit, sedih dan sayu mereka? Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan HSQ musim kedua yang mengandungi 13 episod ini menerusi TV9 pada setiap Selasa dari jam 10.00 malam hingga 11.00 malam bermula 5 Julai 2011 ini hanya di TV9!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

KRU Rakam Semula Lagu Popular Sempena Ulangtahun

PROFILE JED MADELA