in

GELAGAT PERSIAPAN HARI RAYA DALAM DRAMA ALMOND LONDON

KISAH MENARIK GELAGAT PERSIAPAN HARI RAYA DALAM EPISOD ALMOND LONDON (13 SEPTEMBER) DAN SEMUA BARU (14 SEPTEMBER) MENERUSI SLOT SINAR PELANGI DI RTM1

Pelbagai gelagat mengaturkan persediaan menjelang Hari Raya mewarnai latar dua episod drama terbitan Gemilang Network Sdn Bhd yang mengisi Slot Sinar Pelangi khas sempena Ramadan yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pastinya penonton diajak berhibur dengan drama komedi namun sarat dengan pengajaran berguna dua hari berturut-turut daripada tajuk Almond London pada 13 September (Sabtu) dan Semua Baru pada 14 September (Ahad), jam 11.05 pagi di RTM1.

Almond London pastinya mencuit hati penonton dengan gelagat watak seorang isteri bernama Waheda yang bekerja di sebuah syarikat insurans. Dia yang mahir membuat kuih-kuih raya berazam untuk menjual kuih raya walaupun ini kali pertama dia cuba menceburkan diri dalam bidang penjualan kuih dan berniaga.

Hasratnya disokong suaminya, Halim lalu membantu dari segi kewangan untuk Waheda memulakan perniagaannya itu di samping memberi nasihat supaya isterinya itu berhati-hati dan tidak tersalah laku. Waheda membuat contoh kuihnya iaitu Almond London ke pejabat dan taman perumahan tempat tinggalnya untuk mengambil pesanan.

Rezeki Waheda apabila ramai yang menggemari kuih tersebut dan membuat tempahan dari Waheda. Halim menasihati Waheda agar tidak mengambil terlalu banyak pesanan kerana bimbang tidak sempat siap pada waktu yang dijanjikan. Tetapi Waheda mula tamak dan sombong. Dia percaya yang dia boleh melakukannya apatahlagi dia sudah mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan untuk menjalankan perniagaannya itu.

Waheda yakin membuat kerjanya seorang diri malah masih mengambil pesanan biar pun raya semakin tiba. Hinggalah satu hari Waheda terkejut apabila tersedar dia hanya mempunyai sedikit masa untuk menyiapkan tempahan. Dengan mengambil jalan mudah, Waheda mula bertindak menipu dengan cara mengecilkan kuih itu dan yang rosak atau hangus tetap dihantar kepada pelanggan.

Tindakannya itu mengakibatkan pelanggan tidak berpuas hati lalu mahu mengambil tindakan terhadap Waheda. Bagaimanakah Waheda berdepan dengan situasi genting itu? Antara pelakon yang membintangi Almond London iaitu Izuddin, Sheila Mambo dan Ozlyn Waty.

Kemudiannya menyusul episod komedi menghiburkan yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita dalam membuat persiapan menjelang Raya menerusi Semua Baru.

Episod Semua Baru yang dilakonkan oleh Julia Hana, Khaty Azian dan Suhasni mewakili gelagat watak tiga orang suri rumah berjiran iaitu Asma, Sofia dan Maria yang  sering berbincang mengenai persediaan mereka sekeluarga di hari raya.

Menjelang hari raya, mereka bertiga merancang untuk mengubah hiasan dalaman rumah seperti langsir, sofa, permaidani dengan barang baru yang lebih cantik.

Asma, Sofia dan Maria bercadang mengikuti kelas menjahit dalam masa sebulan itu dan cuba untuk menjahit langsir mereka sendiri. Namun begitu, perasaan cemburu dan iri hati tetap berada di dalam hati mereka untuk mendahului sesama mereka. Jika Asma membeli sofa baru, Sofia pula akan membeli permaidani baru. Begitu juga Maria yang akan menunjuk-nunjuk dan bercakap besar tentang setiap pembelian barang baru rumahnya.

Sofia, Asma dan Maria telah menjahit langsir mereka masing-masing tanpa menunggu kelas mereka tamat lagi. Mereka bertiga berlagak pandai. Namun akhirnya segalanya musnah apabila langsir yang mereka jahit tidak merupai rupa langsir sebenar.

Keangkuhan tiga orang isteri itu telah mendatangkan masalah kepada suami-suami mereka terutama melibatkan faktor kewangan untuk persedian hari raya.

Jangan ketinggalan janji temu untuk menyaksikan dua tajuk istimewa berkaitan persediaan menyambut Hari Raya hujung minggu ini menerusi episod Almond London (13 September) dan Semua Baru (14 September) mengisi slot Sinar Pelangi, jam 11.05 pagi di RTM1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Farish Aziz, Syawal, Farah Diana Dalam HOT FM RADIOPERA – Macam-Macam Cinta

Majlis Berbuka Puasa Warga Emas dan Anak-Anak Yatim anjuran KL FM di The Legend Hotel