in ,

Gambar Fouziah Gous & Md Zahfran Bertunang

Mulanya tunang pelakon jelita ini diperkenalkan sebagai kawan menerusi adik kepada kakak ipar Fouziah. Kemudian dua insan membuat pertemuan untuk berbincang mengenai perniagaan sarang burung. Tanpa disedar, bisnes yang dijalankan bersama itu membawa hubungan mereka ke satu tahap yang lain pula – berputik cinta antara pemilik nama sebenar Nor Fouziah Mohd Gous, 30, dan Md Zahfran Md Yusof atau (Zhaf), 30.

Fouziah Gous Bertunang

Meskipun menyulam cinta dalam waktu yang singkat iaitu hanya beberapa bulan, namun masing-masing sudah dapat merasakan ada keserasian. Tambahan saling menyokong bidang karier masing-masing. Lantaran aktres jelita dan kekasihnya ini membuat keputusan tidak mahu membuang masa ketika bercinta. Akhirnya aktres kacukan Pakistan-Cina-Melayu dan ahli perniagaan muda juga perunding keewangan ini mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan, malam tadi.

Bertempat di Restoran Asmara Penchala, Sungai Penchala, majlis pertunangan pasangan sama cantik sama padan ini diadakan dalam suasana penuh meriah dengan tema warna putih. Kira-kira jam 9 malam, tuan rumah menerima kunjungan rombongan pihak lelaki.

Fouziah Gous Bertunang

Sejurus itu, acara meminang diadakan terlebih dahulu. Pihak perempuan diwakili oleh Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hj. Hassan Ali. Sementara pihak lelaki diwakili oleh rakan baik keluarga Zhafran iaitu Dato’ Ahmad Kamal Abdullah.

Bagaimanapun, kedua-dua keluarga pasangan yang dirai ini memutuskan untuk merahsiakan mengenai perbincangan selanjutnya serta jumlah hantaran dari pengetahuan umum.

Acara kemuncak menyaksikan ibu Zhafran, Puan Normah Ali menyarungkan cincin ke jari Fouziah tanda diri pelakon Trilogi Cinta dan Cinta Bertamu di Abu Dhabi itu kini tunangan kepada anak lelakinya. Saat manis itu turut disaksikan oleh ibu Fouziah.

Pada majlis itu juga, Zhafran memberi 5 dulang terdiri daripada tepak sireh, manisan, set kosmetik dan wangian, sepesalinan kain dan sebuah kamera. Dan sebagai balasan, Fouziah memberikan sebanyak 7 dulang kepada Zhafran yang terdiri daripada jambangan sireh junjung, sepasang baju melayu, selembar songket, sebuah beg, set wangian, senaskah Al-Quran, juga coklat dan buah-buahan.

“Alhamdulillah, majlis malam ini semuanya berjalan lancar. Kami berkenalan pada Mac dan baru tiga bulan kami bercinta. Sejujurnya pertama kali saya jumpa dia, bila saya tengok dia, saya tiada perasaan langsung terhadap dia (gelak). Betul lah kata orang, kalau kita kata kita tak suka seseorang tu, satu hari nanti kita pasti akan jatuh cinta padanya. Dan itu yang terjadi pada saya.

“Zhafran banyak memberi keyakinan kepada saya dalam segala hal. Kalau saya ada masalah, dia pesan pada saya supaya minta petunjuk dari Allah. Begitu juga sebaliknya. Jadi dalam pada kami saling nasihat menasihati tu, jadi lain pula… (gelak).”

Sementara itu Zafran berkata, dia terpikat dengan Fouziah kerana personaliti buah hatinya itu yang periang dan sering memberikan kata-kata semangat kepadanya.

“Dia cheerful. Dia sentiasa meyakinkan saya. Dia banyak membuat saya rasa yang saya betul-betul jadi diri saya. Dia sangat transparent. Dia buat saya selesa nak kongsi apa saya bersamanya.”

Majlis malam tadi dimeriahkan dengan kehadiran seramai 500 tetamu terdiri daripada keluarga rapat kedua-dua belah pihak, rakan artis dan para wakil media.

Fouziah dan Zhaf memilih bulan September tahun ini untuk melangsungkan perkahwinan mereka.

Fouziah Gous Bertunang

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Episod Akhir I Miss You Penuh Debaran

Gambar Izzue Islam & Awin Nurin Nikah