in ,

FILEM THE CONTRACT LOVER LAKONAN RICHIE REN DI TV2

ISTIMEWA CHAP GOH MEI : FILEM THE CONTRACT LOVER PADA 12 FEBRUARI 2009 (KHAMIS), JAM 10.00 MALAM DI TV2

Bayangkan sekiranya anda berdepan dengan situasi dimana kekasih yang menjadi pilihan hati untuk dijadikan pasangan hidup tidak direstui keluarga. Pastinya pelbagai cara berlegar di fikiran anda untuk mengatasi rintangan yang dihadapi. 

Istimewa meraikan Chap Goh Mei yang disambut kaum Tionghua di Malaysia dan juga bulan Februari yang dianggap bulan kasih sayang, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghidangkan filem menarik, The Contract Lover pada 12 Februari 2009 (Khamis), jam 10.00 malam di TV2 yang diwarnai plot cerita seorang pemuda yang berdepan dengan situasi serba salah apabila menyedari pilihan hatinya berbeza dengan kehendak ayahnya yang mahu kan seorang wanita masih kekal dengan adat tradisi nenek moyang mereka menjadi menantunya.

Plot The Contract Lovers arahan pengarah tersohor, Alfred Cheung yang sarat dengan adegan-adegan romantik komedi ini bermula apabila pemuda bernama Fatt, seorang pegawai pelaburan di Beijing berhasrat mahu mempertemukan kekasihnya, Rachel dengan ayahnya, Master Fok. Mereka sama-sama mahu menyatakan hasrat untuk berkahwin sekaligus mahu meminta restu daripada orang tua Fatt.

Namun gaya hidup Rachel yang penuh gaya kebaratan nyata bertentangan dengan prinsip Master Fok. Sikap ayahnya yang dianggap konservatif membingungkan Fatt terhadap penerimaan kehadiran teman wanitanya itu dalam keluarganya.

Cuba untuk mencari jalan penyelesaian, Fatt memutuskan untuk mengaburi Master Fok dengan membuat ‘kontrak cinta’ terhadap gadis yang dapat menyamar sebagai kekasihnya sekaligus menggantikan teman wanitanya untuk diperkenalkan kepada ayahnya. Pastinya antara ciri-ciri gadis yang dicari memenuhi kriteria seperti yang diingini ayahnya itu 

Dalam pada itu muncul Zao yang sememangnya memerlukan wang ketika itu. Lalu dia berhasrat untuk menerima tawaran diberikan Fatt untuk menyamar sebagai kekasihnya. Apatahlagi kebetulan Zao antara calon yang paling layak memegang ‘watak’ yang dirancangkan Fatt bersama Rachel. Namun apabila Zao dan ‘kontrak cinta’ itu dibawa pulang ke rumah, berlaku bermacam perkara yang tidak pernah diduga.

The Contract Lovers mempertaruhkan watak oleh pelakon-pelakon terkenal yang memiliki pengikutnya tersendiri iaitu gandingan watak utama oleh Richie Ren, Fan Bing Bing, Kate Tsu dan Yuen Wah yang tampil tersendiri membawakan wataknya sebagai Master Fok, ayah Fatt.

Kepada anda yang mahu menyaksikan kesudahan filem yang diwarnai babak-babak kasih sayang kepada kekasih tanpa mengetepikan kepentingan keluarga ini, jangan lepaskan peluang menyaksikan The Contract Lover pada 12 Februari 2009 (Khamis), jam 10.00 malam di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Geng: Pengembaraan Bermula Upin & Ipin

Ugly Betty New Season di 8TV