in ,

Filem Terbaik di TV2 Raikan Aidilfitri Ini

11 Filem Terbaik di TV2 Raikan Aidilfitri Ini. Sudah menjadi kemestian saluran TV menyiarkan filem-filem hebat untuk disajikan kepada penonton sepanjang perayaan. Begitu juga sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan lebih kurang seminggu lagi.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV2 membariskan 11 filem pelbagai genre bermula hari raya pertama hingga kesembilan, 17 – 25 Julai depan.

Saksikan filem Bikers Kental (17 Julai, 2.00 petang), Skyfall (18 Julai, 11.00 malam), Unnale Unnale (19 Julai, 2.00 petang), The Hobbit : An Unexpected Journey (19 Julai, pukul 10.30 malam), Evolusi KL Drift 2 (20 Julai, 2.00 petang), KL Gangster (20 Julai, 10.00 malam), Magika (21 Julai, 2.00 petang), filem Tamil; Mann (22 Julai, 10.00 malam), Wushu (23 Julai, pukul 10.00 malam), Avatar (24 Julai, pukul 10.00 malam) dan Casino Royale (25 Julai, pukul 10.00 malam).

Hari Raya Pertama berhibur dengan filem “Bikers Kental” lakonan Zizan Razak, Awie, Zul Ariffin, Harun Salim Bachik dan Bront Palare mengisahkan seorang anak muda yang mempunyai minat yang mendalam terhadap motor berkuasa besar. Bidin mendapat peluang keemasan apabila dapat menyertai konvoi motor bersama geng Eddie Cuardo ke Krabi, Thailand. Pelbagai insiden dan konflik berlaku sepanjang perjalanan mereka ke sana.

Filem Terbaik di TV2 Raikan Aidilfitri Ini

Diikuti “Skyfall”, bila mana Bond kembali dengan tugasan baharu iaitu menyiasat serangan M16. Serangan ini diketuai oleh Raoul Silva yang berdendam dengan M. Filem ini dibintangi oleh Daniel Craig, Judi Dench, Javier Bardem dan Ralph Fiennes.

Kisah cinta tiga segi antara seorang pemuda yang cemerkap dengan dua orang gadis dibawakan menerusi filem Tamil, “Unnale Unnale” lakonan Vinay Rai, Sadha dan Tanisha Mukherjee. Dua orang gadis ini mempunyai perwatakan yang berbeza di mana seorang serius manakala seorang lagi periang.

Esoknya, saksikan “The Hobbit : An Unexpected Journey”, mengisahkan pengembaraan Bilbo Baggins bersama sekumpulan orang kerdil yang mahu menuntut kembali tempat tinggal mereka beserta harta karun di dalamnya daripada seekor naga. Pelakon filem ini Martin Freeman, Ian McKellen dan Richard Armitage.

Menyusul filem “Evolusi KL Drift 2”, tentang perlumbaan kehidupan antara Zack (Syamsul Yusof) dan Sham (Farid Kamil) yang masih belum berakhir. Zack sekarang bukan lagi pelumba haram seperti dahulu. Kini dia menjadi seorang “Drifter” profesional. Dalam pada itu selepas kemalangan yang dialaminya, Sham bukan lagi drifter kerana kakinya tempang dan berjalan dengan bantuan tongkat. Peristiwa lampau dan keadaan dirinya yang cacat menghantui dirinya. Sebelah malamnya, tontoni “KL Gangster” lakonan mantap Syamsul Yusof, Aaron Aziz, Ady Putra, Soffi Jikan, Zizan Razak dan Sheera Iskandar.

Saksikan filem muzikal yang berjaya, “Magika” mengisahkan bagaimana dua beradik yang tersesat di alam bunian selepas keluar rumah pada waktu Maghrib. Pelbagai dugaan dan cabaran ditempuhi Ayu dan Malik di dunia fantasi bernama magika selepas mereka terjatuh ke dalam sebuah perigi buta.

Sama-sama menghayati filem yang penuh linangan air mata, “Mann” gandingan mantap Aamir Khan, Manisha Koirala, kisah seorang wanita muda jatuh cinta dengan seorang playboy kacak ketika dalam kapal pelayaran Singapura ke India. Mereka membuat rancangan untuk bertemu sekali lagi, tetapi takdir menentukan sebaliknya.

Berkisar kisah seni mempertahankan diri, saksikan filem “Wushu”, berkongsi kisah dua pemuda iaitu Li Yi dan Li Er yang dibawa ke sekolah wushu bertemu dengan Xiao Zhang, Yang Yaowu dan Fong Fong. Mereka berlima mempertahankan diri dan menegakkan keadilan dengan wushu yang dipelajari.

“Avatar” pula berkembang dengan watak Jack Scully, bekas tentera marin yang lumpuh ditugaskan untuk menyelami budaya kaum Na’vi dan mengumpul sebanyak mungkin maklumat mengenai Pandora supaya kekayaan yang dimiliki oleh planet itu dikaut dengan mudah. Ia menampilkan Sam Worthington, Zoe Saldana dan Michelle Rodriquez.

Diakhiri dengan tayangan “Casino Royale” lakonan Daniel Craig, Eva Green, Mads Mikkelsen dan Caterina Murino, James Bond perisik berpengalaman menjalankan misi pertamanya sebagai ‘007’. Dia perlu menumpaskan pengedar senjata dalam perlawanan poker di Casino Royale. Namun tugas berkenaan bukannya mudah.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV9 Drama Bersiri Korea BRIDE OF THE CENTURY

Video Muzik SOBER BIG BANG Trending di Youtube Malaysia