in

Filem Songlap Terima Pengiktirafan Di Jerman Dan Arab

SONGLAP TERIMA PENGIKTIRAFAN DI JERMAN DAN ARAB

Setelah sepuluh bulan ditayangkan di Malaysia, filem Grand Brilliance yang diterima positif pengkritik filem tempatan, Songlap, masih menggegarkan dunia filem antarabangsa setelah menerima dua jemputan dari festival filem berprestiij di Hamburg, Jerman dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

Di Filmfest Hamburg, Songlap merupakan salah satu dari 151 filem hebat yang telah dibariskan khas untuk peminat filem di Jerman. Jemputan ini membawa lebih makna buat Songlap, kerana ia bersempena dengan sambutan ulang tahun meriah yang ke-20 buat Filmfest Hamburg pada tahun ini. Festival filem ini mempunyai sejarah sebagai salah satu aktiviti kebudayaan terbesar dalam kalendar tahunan di Hamburg, dan telah berlangsung di tujuh lokasi di serata bandar dengan anggaran kedatangan seramai 40,000 penonton. Antara barisan tetamu kehormat yang hadir termasuk Datuk Bandar Hamburg, Olaf Scholz dan pelakon filem dan teater terkenal, Willem Dafoe.

Songlap

Pengarah Bersama, Effendee Mazlan telah mempersembahkan filem Songlap yang ditayangkan sebanyak dua kali di bahagian Asia Express festival ini, sebuah bahagian baru di Filmfest Hamburg yang turut menghidangkan tujuh lagi filem lain dari benua Asia. Selain dari Songlap, filem-filem yang diketengahkan termasuk kisah cinta klasik dari Nepal, drama pra-perang dunia dari Sri-Lanka dan filem dunia muda indie dari China. Tanpa was-was lagi, boleh dikatakan semua jangkaan mapan tentang karya filem Asia pasti akan diperkayakan melalui perspektif dan pandangan baru ini.

Beralih ke Timur dunia pula, jemputan khas dari Abu Dhabi Film Festival (ADFF) menandakan tayangan perdana di Timur Tengah buat Songlap. ADFF kini berada di dalam tahun yang ke-6 dan akan berlangsung pada tarikh dari 11-20 Oktober 2012 di dua lokasi eksklusif yang dikelilingi oleh pemandangan Teluk Persia yang begitu menakjubkan, iaitu Marina Mall dan Emirates Palace.

Menurut Pusat Media ADFF , Songlap juga bakal menerima manfaat melalui pendedahan di kalangan rakan-rakan media ADFF seperti Sky News Arabia, OSN, Abu Dhabi Media dan CNN International, di mana lebih daripada 500 ahli media bertauliah merentasi semua platform – surat khabar dan majalah, siaran televisyen dan radio serta portal dalam talian – dijangka turut bersama-sama memeriahkan lagi suasana.

Effendee Mazlan juga bakal membentangkan filem Songlap apabila ia ditayangkan di bahagian pertandingan New Horizons di ADFF. Bahagian khusus ini memberi pengiktirafan kepada filem antarabangsa naratif yang merupakan hasil karya terawal seorang pengarah. 17 filem akan bersaing untuk menggondol enam hadiah penghormatan yang keseluruhannya bernilai $225,000, termasuk Anugerah ‘Black Pearl – New Horizons’ buat filem terbaik dalam bahagian ini yang menjanjikan wang tunai berjumlah $100,000. Juri ADFF masih lagi menjadi tanda tanya, tetapi juri-juri sebelumnya terdiri dari ahli pembikin filem dan pengkritik dari seluruh pelusuk dunia.

“Kami amat berbesar hati menerima kedua-dua jemputan ini, malah sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi filem ini dengan penonton baru dan membuka mata mereka kepada kebolehan pembikin filem Malaysia. Kepada warga kerja yang bertungkus lumus sama ada di hadapan atau belakang tabir untuk menjayakan filem ini, saya ucapkan tahniah kepada anda sekalian kerana dapat menaikkan martabat dunia filem Malaysia,” ujar Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar Grand Brilliance.

Filem Songlap berkisarkan kehidupan dua adik-beradik, dilakonkan oleh Shaheizy Sam dan Syafie Naswip, yang dibelenggu masalah harian sehingga terjebak dalam sindiket haram penyeludupan manusia. Ia akan membawa anda melalui lorong-lorong hitam di metropolis luas Kuala Lumpur dan pastinya meninggalkan anda penuh debaran sambil merasai pahit manis kehidupan yang mereka lalui.

Songlap sebelum ini pernah telah ditayangkan di 14th Far East Film Festival di Udine, Itali, April 2012, dan Asian Pacific Film Festival in Los Angeles, Amerika Syarikat, Mei 2012.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Penyanyi Aqasha Dapat Anak Kedua

Peraduan Menangi Album Klangit di Budiey.com