in

Filem Songlap Meneruskan Tayangan Antarabangsa

Songlap Meneruskan Tayangan Antarabangsa

Litar antarabangsa untuk Songlap berterusan, kali ini ke persisiran pantai Normandy di Perancis, di mana filem itu akan menerima status tayangan perdana Perancis di Deauville Asian Film Festival ke-15. Filem ini akan ditayangkan dalam seksyen Pertandingan di festival tersebut. Deauville Asian Film Festival merupakan acara tahunan yang diadakan sejak tahun 1999 untuk meraikan filem-filem terbaik dari Asia dan akan berlangsung dari 6 hingga 10 Mac 2013.

Sementara itu, tayangan di AS bagi Songlap diteruskan lagi apabila Frequency Film Festival, bertempat di San Diego, mengumumkan penyertaan filem ini dalam program Mac/ April 2013 festival tersebut. Songlap akan ditayangkan bersama 13 filem cereka lain dan 9 dokumentari yang dipilih khas dari seluruh dunia.

Festival filem bulanan ini akan berlangsung selama 12 hari, antara tarikh 21 Mac hingga 6 April 2013, dan diadakan di Ocean Beach Playhouse di mana Songlap akan ditayangkan pada hari terakhir festival tersebut. Antara filem menarik yang turut ditayangkan termasuklah Crocodile in the Yangtze; sebuah dokumentari yang menceritakan kisah kejayaan pengusaha Internet yang pertama di negara China, dan juga Andrew Bird: Fever Year; filem penutup festival ini yang menyingkap di sebalik tabir road tour seorang pemuzik berbakat.

Diterbitkan oleh Grand Brilliance dan Red Films, Songlap mula menerima pengiktirafan antarabangsa sejak awal 2012 dengan tayangan di beberapa festival filem berprestij. Ini termasuk Far East Film Festival ke-14 di Itali, Los Angeles Asian Pacific Film Festival, Filmfest Hamburg di Jerman, Abu Dhabi Film Festival dan Fort Lauderdale Film Festival di Amerika Syarikat. Songlap juga telah diberikan penghormatan sebagai Filem Pembukaan di Five Flavours Film Festival di Poland Oktober lepas.

Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar Grand Brilliance, berkata, “Kami amat bersyukur atas pengiktirafan dan sokongan yang diterima oleh Songlap. Kejayaan ini menjadi sumber inspirasi bagi kami untuk terus menghasilkan filem-filem berkualiti yang boleh dinikmati bukan sahaja oleh penggemar-penggemar filem dari Malaysia, tetapi juga oleh penonton-penonton di seluruh dunia.”

Berdasarkan cerita asal oleh Fariza Azlina Isahak, Songlap mengisahkan kehidupan dua beradik, lakonan Shaheizy Sam dan Syafie Naswip, yang terjebak dalam kancah sindiket penyeludupan manusia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Clear & Rexona Bergabung Tenaga Dengan Pasukan Lotus F1

Rock Oo Rimba Bara Kembali di Pawagam 28 Februari Ini