in

Filem KIL & Sembunyi Ditayangkan di Festival Filem Luang Prabang 2013

Setelah dinobatkan sebagai “Filem Terbaik” di Anugerah PROFIMA 2013 pada bulan Oktober lalu, filem seram berlatarbelakangkan zaman penjajahan Jepun ini telah dijemput untuk menyertai Festival Filem Luang Prabang 2013 pada hujung minggu ini.

[pullquote align=”right”]Sembunyi Bakal Terima Tayangan Antarabangsa Perdana di Festival Filem Luang Prabang 2013. Tahniah![/pullquote]

Festival filem tersebut akan diadakan di Luang Prabang, yang dahulunya merupakan bandar diraja Laos, dari 7 ke 11 Disember 2013. Filem hasil kerjasama Grand Brilliance dan Filmscape Sdn Bhd dan dipersembahkan oleh Primeworks Studios ini bakal ditayangkan pada hari pertama festival tersebut. Tayangan filem Sembunyi akan diadakan beberapa jam sebelum Acara Pembukaan.

Penyertaan Sembunyi di festival yang meraikan dunia sinema Asia Tenggara ini diiringi oleh sebuah lagi filem terbitan Grand Brilliance, iaitu KIL. Filem yang mengisahkan tentang seorang lelaki murung yang ingin membunuh diri ini diterbitkan bersama Flux Visual Lab dan bakal ditayangkan di festival ini pada 9 Disember 2013. Ini merupakan tayangan antarabangsa yang kedua bagi KIL, susulan tayangan dunia perdananya di Marche du Film, Cannes, pada bulan Mei tahun ini.

LPFF 2013 Logo

“Tahun ini telah membawa begitu banyak berita baik kepada kami di Grand Brilliance, terutamanya dari segi kemenangan anugerah dan juga penyertaan festival filem antarabangsa. Jika tahun lepas kebanyakkannya filem Songlap yang mewakili kami di persada dunia, tahun ini lebih banyak filem kami yang menyertai festival-festival antarabangsa. Antaranya termasuk KIL, Istanbul Aku Datang, Penanggal dan Sembunyi. Kami menanti Festival Filem Luang Prabang dengan penuh sukacita, dan amat berbangga diberi peluang untuk memartabatkan lagi industri perfileman Asia Tenggara,” ujar Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar Grand Brilliance.

Filem Sembunyi mengisahkan tentang Aishah, seorang gadis yang sedang melarikan diri daripada penjajah-penjajah Jepun. Setelah terhentak kepala sehingga pengsan, Aishah tersedar dan mendapati dia berada di sebuah perkampungan yang aman dan tiada langsung huru-hara peperangan. Semakin lama dia menetap di kampung itu, semakin dia sedar bahawa terdapat rahsia hitam di sebalik kedamaian kampung itu.

Filem KIL pula menceritakan tentang Akil, seorang pemuda murung yang putus asa untuk hidup. Dia yakin dengan pilihannya untuk mendapatkan pertolongan dari sebuah agensi yang menolong pelanggan-pelanggannya untuk membunuh diri. Namun, pertemuan Akil dengan seorang gadis yang menawan menyedarkannya betapa indahnya kehidupan. Mampukah dia membatalkan hasratnya untuk dibunuh sebelum terlambat? KIL telah memenangi empat anugerah di Anugerah Skrin 2013 baru-baru ini, termasuk untuk Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.

LPFF Schedule & Films

Still 3 - Sembunyi

Sembunyi POSTER

KIL Poster

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Berita Nelson Mandela Meninggal Dunia

Pencarian Wanita Bella Hopes ntv7