in ,

Filem POLIS EVO Catat Sejarah Raih Kutipan RM17.30Juta

Filem ‘Polis Evo’ terbitan Astro Shaw dan diproduksi oleh Tayangan Unggul telah mencatat sejarah dunia perfileman Malaysia apabila berjaya mengutip RM17.30juta selepas 42 hari ditayangkan di 83 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.

Filem yang diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar dan karya asal oleh produksi Astro Shaw iaitu Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf ini berjaya mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris dalam perfileman negara, sekaligus memecah rekod kutipan tiket paling tinggi yang dipegang filem ‘The Journey’ terbitan Astro Shaw, yang pernah meraih RM17.28 juta pada tahun 2014.

Polis Evo

POLIS EVO CATAT SEJARAH TANGGA PERTAMA BOX OFFICE MALAYSIA!
“Raih Kutipan RM17.30Juta & Masih Ditayangkan Di Pawagam”

Mula ditayangkan pada 17 September 2015 lalu, Polis Evo merupakan tentang filem bergenre aksi dan memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah.

Filem aksi dan jalan cerita yang mengangkat martabat anggota polis dalam kegiatan membasmi jenayah serta turut menyajikan elemen persahabatan dan kekeluargaan ini telah mencipta satu fenomena baru sehingga berjaya menarik hati penonton untuk terus melabur di panggung.

Menurut Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, “Meskipun industri perfileman tempatan mengalami masalah kutipan tiket yang suram di pawagam, namun masih ada beberapa karya mampu dibanggakan. Pihak Astro Shaw, termasuklah pelakon dan pekerja filem merasa bersyukur dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia serta rakan media yang sentiasa menyokong dan meletakkan filem Polis Evo di kedudukan rating tertinggi menerusi kutipan pecah panggung terbesar sepanjang zaman.“

“Memandangkan kejayaan ini, Polis Evo berjaya menjadi penanda aras industri perfileman negara. Masyarakat Malaysia kini semakin peka dan bijak menilai kualiti sesuatu filem diterbitkan. Bagi tahun 2016, semestinya Astro Shaw akan terus menerbitkan filem unik, berkualiti serta memberi lebih tumpuan terhadap bahan cerita dalam sesuatu karya itu. Kami berharap penonton akan kembali ke pawagam untuk memberi sokongan kepada filem tempatan.”

Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar

Selepas ini, Astro Shaw bakal tampil dengan sebuah filem romantik bertajuk ‘Langit Cinta’ bagi pembukaan tahun 2016. Filem ini akan menemui penonton di pawagam pada 7 Januari 2016. Selain itu, Astro Shaw turut mempersembahkan filem OlaBola, Aliff Dalam 7 Dimensi, Dukun Doktor Dani dan Hantu Rumah Sakit Jiwa yang akan ditayangkan pada tahun 2016.

Polis Evo

Mengenai Astro Shaw:
Astro Shaw adalah sebuah syarikat penerbitan filem Malaysia untuk pasaran tempatan dan serantau. Sejak ditubuhkan pada tahun 1996, kini Astro Shaw telah menerbitkan lebih 80 buah filem pelbagai genre termasuklah berbahasa Cina dan Tamil. Antara kejayaan besar Astro Shaw adalah:

Polis Evo (2015) – Kutipan Filem Tertinggi di Malaysia
Terbaik Dari Langit (2014) – Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 (AIFFA 2015)
The Journey (2014) – Kutipan Filem Tertinggi tahun 2014
Husin, Mon dan Jin Pakai toncit (2013) – Filem Box-Office bagi tahun 2013
Maindhan (2014)– Kutipan Filem Tamil Tempatan Tertinggi
Penanggal (2013) – Pengarah Harapan Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Penata Seni Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-26.
Lagenda Budak Setan (2010) – Filem Tempatan Pertama yang di adaptasi daripada novel
Berlari Ke Langit (2004) – Sinamatografi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 49
Nafas Cinta (1999) – Filem pertama terbitan Astro Shaw

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ada Sebab Mengapa Anugerah Industri Muzik Ke-22 Ditunda

Awie Pertimbang Bantah Permohonan Nafkah Anak