in ,

Filem Menarik Sepanjang Aidilfitri 1430H

TV3: RAYA MOVIES

Duyung – Raya Pertama, 20 September, 9.00mlm
Duyung merupakan filem komedi fantasi romantik menceritakan tentang Jimmy yang merupakan pencinta alam sekitar. Dia tinggal di perkampungan nelayan menghabiskan masa seharian mengutip sampah untuk memelihara kebersihan perkampungan tersebut. Dia percaya kisah lagenda dahulukala yang diceritakan oleh ibunya, bahawa jika persekitaran bersih, duyung akan muncul. Adakah kepercayaan tersebut benar? Dapatkah dia bertemu dengan duyung seperti yang diimpikannya itu?
Pelakon: Maya Karin, Saiful Apek,. Yasmin Hani, Awie, Yassin Yahya

Cicakman 2– Raya Kedua, 21 September, 9.00mlm
Bandar Metrofulus sekali lagi dilanda musibah dan kelam kabut apabila krisis pencemaran air yang teruk berlaku diakibatkan oleh rancangan ‘Planet Hitam’ yang dipelopori oleh Profesor Klon. Profesor Klon mengupah Rama untuk menghapuskan semua musuhnya terutama Cicakman. Sementara itu Ginger Ghosts 1 dan 2 kembali untuk membalas dendam di atas kematian Tania dan ingin mendedahkan identiti sebenar Cicakman. Cicakman terus berusaha untuk mempertahankan kedamaian dalam bandaraya tersebut dan memerangi kejahatan.
Pelakon: Saiful Apek, Sharifah Amani , Fasha Sandha , Aznil Nawawi

Evolusi KL Drift – Raya Ketiga, 22 September, 9.00mlm       
Zack dan Sham merupakan kawan rapat yang berkongsi minat dan hobi yang sama, perlumbaan drift. Kebiasaannya perlumbaan drift dimonopoli oleh lelaki namun ia tidak menghalang Fasha, teman wanita Zack memecah tradisi ini dengan menjadikan drift sebagai hobinya. Zack mula mengongkong pergerakan Fasha memandangkan dia pernah mengalami krisis identiti dan pengaruhi kurang sihat dari rakan-rakannya. Manakala Joe dan Karl merasa tergugat apabila mereka tidak berjaya mempengaruhi budak-budak baru untuk menyertai perlumbaan drift. Apakah kesudahan filem menarik ini?
Pelakon: Fasha Sandha , Shamsul Yusoff, Diana Daniel , Farid Kamil, Aaron Aziz

Sifu & Tongga – Raya Keempat, 23 September, 9.00mlm
Filem ini mengisahkan tentang dua wartawan, Tammy dan Azad mencari generasi Watson yang masih hidup di bumi. Azad kemudiannya berjaya menculik Mila dan membawanya pulang ke bandar. Ketua kumpulan Watson sangat kecewa dan marah dengan penculikan tersebut. Sifu dan teman baiknya, Tongga berjanji pada ketua tersebut untuk pergi menyelamatkan Mila dan membawanya kembali. Sifu yang mempunyai kebolehan luar biasa mampu berkomunikasi dengan dunia ghaib banyak memberi petunjuk kepada mereka untuk mencari jalan ke kota Kuala Lumpur.
Pelakon:: Nabil, Saiful Apek, Fauziah Ghous, Erra Fazira  

Jangan Tegur – Raya Kelima, 24 September, 9.00mlm
Natasya (Julia Ziegler) telah terlibat dengan kemalangan jalan raya dan koma selama beberapa minggu. Sewaktu di dalam koma, Natasya telah bermimpi tentang seorang gadis bernama Baizura (Nadia Mustafa) yang disyaki telah hilang 2 tahun secara misteri tanpa khabar berita. Tersedar dari koma, Natasya mula mengalami perkara yang sama seperti yang telah dialami oleh Baizura. Daya penglihatannya tidak membataskan dia melihat makhluk-makhluk halus itu. Ini menambahkan kerunsingan suami Natasya iaitu Kamal. Kamal (Pierre Andre) pula adalah seorang yang tidak mempercayai benda-benda khurafat ini sehinggalah dia melihatnya sendiri. Melalui mimpi-mimpi yang dialami, Natasya mula menyiasat apakah yang telah berlaku kepada Baizura. Siasatan yang dilakukan telah menyebabkan dia sering diganggu oleh makhluk-makhluk yang menganggu Baizura seperti dalam mimpinya. Apakah yang berlaku kepada Baizura? Mengapakah Natasya dibayangi dengan kemunculan Baizura? Apakah kaitan mereka berdua?
Pelakon: Julia Ziegler, Nadia Mustafa, Ellie Suriati, Pierre Andre, Almy Nadia

Sepi – Raya Kesepuluh, 29 September, 10.00mlm  
Filem romantik ini mengisahkan tentang tiga individu yang belajar mengenai cinta, kehilangan dan kesepian. Adam, merupakan chef yang berjaya sering menyediakan juadah yang istimewa di majlis-majlis perkahwinan namun dirinya masih lagi belum berteman. Manakala Sufi pula terpaksa menghadapi hari-hari yang sukar lantaran dihantui tentang memori silam bersama isterinya yang telah meninggal dunia. Sementara itu, Ariel yang merupakan anak seni akhirnya mendapati bahawa pementasan teater merupakan pentas di mana masa depannya terbongkar. 3 orang asing ini secara tidak langsung saling berkaitan kerana terjebak dengan peristiwa dramatik yang akhirnya merubah kehidupan mereka selamanya…
Pelakon : Afdlin Shauki , Nasha Aziz , Vanidah Imran, Riezman Khuzaimi, Tony Eusoff , Baizura , Pierre Andre
         
Akhirat – Raya Kesebelas, 30 September, 10.00mlm  
Akhirat merupakan filem menarik yang menceritakan tentang Mira (Vanidah Imran) yang berusaha meneruskan kehidupan dengan mengetepikan hakikat bahawa dia dijangkiti HIV positif. Dia nekad untuk merahsiakan penyakitnya dari pengetahuan suaminya, Amran (Tony Eusoff) malah dia cuba untuk menjodohkan Amran dengan sepupunya yang liar dan bermasalah, Noni (Nabila Huda). Sejauh mana dia boleh menyimpan rahsia ini dan bilakah keluarganya akan menyedari bahawa Mira kini sedang menuju ke ambang kematian?
Pelakon: Vanida Imran, Tony Eusoff, Nabila Huda

Gondoruwo – Raya Kedua belas, 1 Oktober, 10.00malam
Zarina ialah seorang anak yatim yang tinggal bersama neneknya di sebuah kampung di Johor. Dia membesar dalam masyarakat Jawa Melayu. Sejak kecil lagi, penduduk kampung memulaukan neneknya dan Zarina tidak mengetahui apakah sebabnya. Hubungan Zarina dengan neneknya, Mbah Wangi menjadi renggang setelah dia berpindah ke bandar dan jarang pulang. Jika Zarina pulang ke kampung, neneknya selalu memintanya untuk mewarisi ‘sesuatu’. Selepas kematian neneknya, ‘benda’ tersebut masih tidak diturunkan kepada Zarina. Apabila Zarina pulang ke bandar, dia mula menghadapi pelbagai masalah dan hampir putus asa sehinggalah Eto muncul. Gondoruwo yang dibela oleh neneknya telah hadir dalam kehidupan Zarina tanpa disedarinya. Banyak perkara buruk terjadi dengan kehadiran Gondurowo. Apakah Zarina dapat menyelamatkan dirinya daripada Gondurowo? 
Pelakon: Diana Daniel, Remy Ishak, Norish Karman, Rozita Che Wan

Nana Tanjung 2 – Raya Pertama, 20 September, 3.00 petang
Nana Tanjung 2 menyingkap tentang kesinambungan kisah Nana Tanjung, yang mengisahkan tentang kehidupan anak-anak Nana Kassim yang berubah apabila pelbagai cerita timbul mengenai hubungan anak perempuannya dengan bakal suami. Nana yang mendengar tohmahan jiran memutuskan untuk mengenakan syarat kepada bakal menantunya dan tidak membenarkan bakal menantunya bertemu dengan anak-anak gadisnya sehingga majlis akad nikah dilangsungkan. Syarat tersebut menyebabkan Akhbar Khan dan Zul mencari pelbagai pendekatan dan helah untuk mendampingi anak-anak Nana Tanjung, sehinggalah timbul masalah dan konflik lain dalam hidup ahli keluarga Nana Tanjung. Menerusi syarat dan konflik baru yang bakal timbul dalam Nana Tanjung 2 ini akan menyaksikan banyak sub plot yang disajikan dalam bentuk komedi.
Pelakon: Saiful Apek, Fasha Sandha, Waheeda, Jehan Miskin, Azean Irdawaty, Saffi Jaafar

Cicakman 1 – Raya Kedua, 21 September, 3.00 petang
Hairi (Saiful Apek) tinggal di Metrofulus dan bekerja di makmal. Satu hari dia terminum kopi yang mengandungi virus. Selepas itu, dia mula berkelakuan aneh, seperti melekat di dinding, berbunyi seperti cicak dan mula menggemari serangga. Pelik dengan perkara aneh yang membelenggunya dia meminta rakan serumahnya, Danny untuk menyelidik apakah yang sebenarnya berlaku. Sementara itu, penduduk Metrofulus berterusan dijangkiti virus baru dan hanya boleh diubati oleh profesor Klon di makmalnya. Hairi kini mula semakin membiasakan diri dengan kuasa luar biasa yang dimilikinya. Hairi dan Danny menjalankan penyiasatan di atas wabak virus yang melanda Metrofolus di mana mereka mengesyaki profesor Klon merupakan dalang virus ini tersebar.
Pelakon: Saiful Apek, Fasha Sandha , Aznil Hj Nawawi, Yusry KRu, AC Mizal, Yasmin HAni

Dunia Baru The Movie – Raya Ketiga, 22 September, 3.00 petang
Filem ini bermula apabila Opie (Elyana) mendapat kejutan melalui surat yang ditulis oleh Anizah (Anita Baharom) menyatakan hasratnya untuk ke Thailand dan kahwin lari dengan Fazley (Mohd Hafiz). Menurut kandungan surat itu, Anizah begitu nekad hingga sanggup melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran di UK. Perkara ini mengusarkan teman-teman rapatnya iaitu Opie, Madihah (Ann Ngasri), Suzanna (Almy Nadia), Adif (Pierre Andre) dan Tajol (Wan Elyas). Mereka berpakat untuk mengejar Anizah dan mengubah fikirannya.  Pengembaraan pencarian Anizah merupakan suatu perjalanan yang semakin lama semakin kecoh dan berperistiwa, membuat penonton teruja khasnya pengikut setia siri Dunia Baru – kisah geng kolej paling popular di Malaysia.
Pelakon: Elyana, Pierre Andre, Iqram Dinzly, Anne Ngasri, Anita Bahrom, Baizura Kahar, Almy Nadia

Qabil Khushry Qabil Igam – Raya Keempat, 23 September, 3.00 petang
Sebuah kisah cinta yang berkisah tentang dua orang adik-beradik bernama Qabil Khushry dan Qabil Igam, anak kepada Ismail dan Tijah. Qabil Khushry amat sayang akan adiknya semenjak dari adiknya di dalam kandungan ibunya. Ketika dewasa, Rani jatuh hati kepada Khushry manakala adiknya, Karisma memuja Igam walaupun pada awalnya Karisma tidak dapat menerima kenakalan Igam. Bagaimanapun, kerana satu kesilapan, mereka sekeluarga bagaikan tersepit, lalu satu keputusan terpaksa dibuat yang membabitkan satu pergorbanan yang besar
Pelakon: Hans Issac, Rusdi Ramli, Erra Fazira, Ziana Zain, Khatijah Tan

Waris Jari Hantu – Raya Kelima, 24 September, 3.00 petang
Tina dan Ari berkawan baik, dan bersaudara dengan Tok Wan Rimau, penjaga harimau saka keluarga Tina, yang sedang mencari waris perempuan untuk menurunkan ilmu sakanya. Tok Wan dan harimau saka melindungi keluarganya dan Pekan Mendekar dari bahaya. Ari sering diejek oleh penduduk kampung dengan gelaran ‘Mat Kepit’, atau ‘Mat Patah’. Walaupun begitu, Tina setia berada di sisi Ari, malah menyimpan perasaan cinta yang mendalam terhadap Ari, dan berharap akan berkahwin dengannya satu hari nanti. Ari memendam rasa luka yang mendalam disebabkan ejekan-ejekan itu, lantas menyembunyikan dirinya untuk melupakan realiti yang pahit melalui persahabatannya dengan Tina. Walaupun dihalang keras oleh keluarga, ternyata Tina pilihan Tok Wan untuk menjadi pewaris saka.
Pelakon: Maya Karin, Rusdi Ramli, Azean Irdawaty, Nanu Baharuddin, Liza Othman, Kavita Sindhu, Zahim Albakri, Riezman  Khuzaimie, Rashid Salleh, Zaidi Omar, Jit Murad
          
Otai – Raya Keenam, 25 September, 3.00 petang
Kisah dimulakan apabila Aiman (Saiful Apek) yang sudah mempunyai seorang isteri Azura (Nasha Aziz) yang telah berkahwin selama tiga tahun dan tidak dikurniakan anak. Aiman dan Azura telah mendapat tekanan dari ayah Aiman, Tan Sri Mansur (Saleh Yaakob) iaitu, jika Aiman dan isterinya tidak mendapat zuriat dalam tempoh setahun, seluruh harta bendanya akan diwariskan kepada rumah anak yatim. Setelah menjalani pemeriksaan Azura disahkan mengalami masalah peranakan yang tidak memungkinkan dia mengandung. Maka Azura terpaksa merelakan Aiman berkahwin lagi seorang tetapi mestilah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Azura dan ibunya (Azean Irdawaty). Aiman berpakat dengan Sammy supaya mencari Mawar (Faeza) bekas kekasihnya untuk menjadi calon isteri lalu diubah penampilan Mawar supaya menjadi kurang cantik yang akhirnya telah dipersetujui oleh Azura. Berjayakah Aiman memperisterikan Mawar? Dapatkah Aiman mewarisi harta Tan Sri Mansur? Semuanya akan terjawap pada Hari Raya Ke dua di TV3
Pelakon: Saiful Apek, Yassin, Nasha Aziz, Saleh Yaakob, Azean Irdawaty, Maimon Talib, Ainul Aishah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Anak Erra Fazira Engku Aleesya Dah Makin Besar

Trailer Project Alpha