in ,

Filem Idola, Kecoh Betul & Akhirat di TV2

Filem Idola, Kecoh Betul dan Akhirat Dalam Slot Pilihan Jumaat Sepanjang Julai 2012 Di TV2

Penggemar filem melayu pasti ingat watak Sharifah Aleya sebagai remaja yang begitu mengagumi idolanya penyanyi Jeslina Hashim dalam filem Idola. Begitu juga watak Saiful Apek dan Nabil Ahmad dalam filem komedi Kecoh Betul yang menyaksikan mereka berdepan cabaran hidup di kota. Kelincahan watak Nabila Huda melakonkan watak gadis penggoda dalam filem Akhirat juga pastinya masih melekat di ingatan kita.

RTM cuba mengimbas kembali plot tiga filem menarik lakonan pelakon popular tanahair yang menyentuh soal kekeluargaan ini, mengisi slot Pilihan Jumaat sepanjang Julai ini, jam 2.30 petang menerusi saluran TV2.

Kongsikan tayangan filem Idola (6 Julai 2012), Kecoh Betul (13 Julai 2012) dan Akhirat (20 Julai 2012) yang mengajak penonton terutama di kalangan anak muda untuk menghargai ikatan kekeluargaan dan jalinan kasih sayang dalam diri setiap ahli keluarga ini.

Filem Idola arahan ke-15 oleh pengarah terkenal Aziz M. Osman sarat mesej kekeluargaan yang cuba ditekankan dalam filem ini. Filem lakonan Norman Hakim, Datin Normala Samsuddin, Jeslina Hashim, Danny X-Factor, Sharifah Aleya dan Wahid Senario ini menekankan kebimbangan ibu bapa terhadap pergaulan anak-anak remaja yang dikatakan banyak dipengaruhi oleh artis idola mereka.

Plot kisahnya berkembang dengan watak Farah, seorang peguam syariah yang terkenal dan juga kakak kepada Nana. Manakala Mukriz pula adalah abang serta pengurus kepada penyanyi popular Elise. Masalah mula timbul apabila Nana mula menjadikan penyanyi popular, Elise sebagai role-model. Bagi Farah, manusia di dunia hiburan tidak layak untuk dijadikan sebagai role-model.

Ketika inilah Farah mula berkenalan dengan Mukriz dan lama-kelamaan dia mula menaruh hati terhadap Mukriz. Namun salah faham terjadi apabila Farah menyangka bahawa Mukriz berlaku sumbang dengan jandanya, Rubi. Nana pula hilang kepercayaan terhadap penyanyi kesayangannya, Elise selepas melihat Elise bermain cinta dengan Jimi yang juga jejaka idaman Nana.

Kini Nana mula menyedari akan kebenaran kata kakaknya mengenai dunia hiburan. Apakah yang akan terjadi kepada Farah dan Nana? Mampukah Farah menjadi role-model bagi adiknya setelah dia mula terlibat dalam dunia hiburan secara tidak langsung?

Bergelak ketawa kemudiannya dengan filem komedi lakonan Saiful Apek, Nabil Ahmad, Diana Danielle, Yatt, Datuk Aziz Sattar, Bell Ngasri dan Fauziah Nawi menerusi filem bertajuk Kecoh Betul.

Kecoh Betul berkongsi kisah kehidupan Aiman, Belon dan Joe bekerja sebagai penghantar makanan di sebuah restoran makanan segera di ibu kota. Mereka berdepan dengan cabaran hidup di kotaraya. Kehidupan mereka dikelilingi dengan keseronokan. Cabaran hidup mereka apabila keseronokan tidak dapat dinikmati kerana kekangan kewangan. Semuanya kerana wang. Mereka sanggup melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir panjang kerana wang.

Tiga sahabat ini obses dengan motor dan mereka terlibat dengan aktiviti-aktiviti sosial seperti merempit dan bersukaria. Sehinggalah pada suatu hari mereka tidak dapat memenuhi tuntutan sosial mereka kerana masalah kewangan.

Mereka terjebak dalam kancah Ah Long apabila mereka meminjam duit dari mereka. Mereka terpedaya dengan iklan mendapat duit dengan cepat telah terperangkap dalam perangkap Ah Long.

Aiman jatuh cinta dengan gadis yang pernah ditolongnya akibat kes ragut sebelum ini. Dayana seorang gadis yang pernah diperdaya oleh teman lelakinya sendiri yang merupakan seorang pengedar pil ectasy. Kekecohan berlaku apabila mereka memerlukan wang untuk menyelesaikan hutang mereka. Dayana telah diculik kerana ketiga-tiga mereka tidak berjaya melunaskan hutang. Mampukah mereka menyelamatkan Dayana? Mampukah mereka mendapatkan wang untuk melunaskan hutang-hutang mereka? Bagaimana mereka mengatasi kekecohan ini?

Saksikan juga filem Akhirat, kisah yang membelenggu kehidupan seorang wanita suci Mira (Vanidah Imran) yang menjadi mangsa keadaan. Akibat dari tragedi malang itu kehidupan Mira semakin pudar setelah dia disahkan menghidap penyakit yang amat mengerunkan.

Kesangsaraan ini cuba dirahsiakan dari pengetahuan suami tersayang, keluarga dan masyarakat. Namun konflik melanda bila dia tidak dapat menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Dilema ini menyebabkan Mira melakukan sesuatu diluar dugaan dengan merancang menyatukan Amran (Tony Eusoff) dengan Noni (Nabila Huda). Amran yang kecewa dengan tindakan Mira menuduh Noni cuba mencemarkan nama dan maruah keluarga dengan muslihat tertentu. Keadaan bertambah parah bila Noni pula bersikap semakin liar dan tidak terkawal kerana perbuatan teman lelakinya Ari (Adi Putra). Akhirnya konflik terlerai bila Mira berada di ambang…”Akhirat” dan apakah harga seorang insan di antara dua realiti ini?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rombakan Terbaru Stesen Radio Hot FM

Police, Chopard, Lanvin, Ermenegildo Zegna, Furla & Escada