in

Filem Homefront Lakonan Jason Statham

HOMEFRONT dibintangi oleh Jason Statham sebagai seorang bekas agen penguatkuasaan anti dadah, Phil Broker, seorang lelaki berkeluarga yang berhijrah ke sebuah kawasan pedalaman bersama anak perempuannya demi melupakan kisah lampau yang menghantuinya. Malangnya, ketenteraman yang dinikmati hanya sementara apabila mendapat tahu pekan yang didiaminya itu dalam diam-diam berubah menjadi sarang dadah dan keganasan. Tidak lama kemudian, seorang raja dadah, Gator Bodine (James Franco) meletakkan diri Broker dan keluarganya dalam bahaya membuatkannya kembali beraksi demi melindungi keluarga dan juga pekan yang didiaminya itu.

Dengan lakonlayar hasil karya Sylvester Stallone, yang pernah meraih penghormatan di peringkat dunia dengan menggondol Academy Award® pada 1976 untuk kategori Filem Terbaik menerusi lakonlayar bagi filem Rocky, Homefront merupakan adaptasi dari novel tulisan Chuck Logan. Filem aksi-cemas ini diarahkan oleh Gary Fleder (Runaway Jury, Kiss the Girls) dan diterbitkan oleh Stallone sendiri di samping Kevin King Templeton dan John Thompson, bersama Trevor Short dan Avi Lerner selaku penerbit eksekutif menerusi syarikat produksi Millennium Films. Filem ini turut dibintangi oleh Kate Bosworth, Winona Ryder, Frank Grillo dan Izabela Vidovic.

Jason Statham

Menurut En. Fleder yang mengulas mengenai jalan cerita yang ditulis oleh Stallone, “Homefront, bertapak pada paradigma klasik Barat mengenai seorang bekas pejuang keadilan yang berundur lantas memencilkan diri bersama keluarganya di sebuah pekan kecil hanya menyedari kemudiannya bahawa dia tidak dapat bebas dari masa lalunya. Phil Broker, watak yang dibawakan oleh Jason Statham, berpindah ke kawasan berpaya di kawasan terpencil di Lousiana setelah satu serbuan dadah yang melibatkannya berakhir dengan kegagalan. Dia hanya memiliki seorang anak perempuan sementara isterinya pula baru sahaja meninggal dunia. Dia sedang bersedih, hidup dalam keterasingan, berada di luar kawasan dan secara tiba-tiba konflik tercetus apabila anak perempuannya tanpa sengaja mencetuskan pergaduhan dengan sebuah keluarga lain di pekan yang sama hinggakan lama-kelamaan ia menjadi semakin parah lantas membongkarkan identiti sebenarnya.

Watak Gator Bodine lakonan James Franco, bercadang mengugut Broker untuk mendedahkan identiti sebenarnya demi kepentingan dirinya sendiri dan ini membuatkan kehidupannya di ambang bahaya. Babak kedua filem ini menyaksikan bagaimana Phil Broker mula menyedari apa yang telah berlaku di mana penonton sendiri boleh mengagak. Sesuatu sedang berlaku dan nyawa dia dan anaknya dalam bahaya. Lakonlayar tulisan Sly memiliki struktur klasik filem seperti Shane atau High Noon di mana kita berharap agar heronya beredar dari pekan tersebut sebelum kumpulan jahat datang untuk memberi pengajaran kepadanya. Namun, sudah tentu dia enggan menyerahkan nasib pekan tersebut jatuh ke tangan penjahat maka filem ini jelasnya memiliki struktur hebat acuan filem Barat.”

Penerbit Kevin King Templeton menjelaskan tentang bagaimana bermulanya Homefront: “Saya dihubungi oleh Jack Gilardi di ICM yang mewakili penulis buku tersebut iaitu Chuck Logan. Dia menghantar senaskhah buku tersebut kepada saya untuk dibaca dan saya amat kagum dengannya. Sekitar tahun 2005-2006, dadah jenis methamphetamine merupakan isu yang cukup membimbangkan di Amerika. Ia satu wabak merbahaya. Saya bawakan buku tersebut kepada Sly dan dia menghabiskan banyak masa menulis skripnya, dengan harapan dia juga bakal berminat membintanginya.”

Ujar Sylvester Stallone, “Asalnya, filem ini ingin saya jadikan bab terakhir bagi filem Rambo. Saya sukakan konsepnya dan ia juga muncul pada masa yang tepat. Ketika menulis dan merangka projek ini, kami melakukan banyak kajian mengenai pengedar dadah, usaha membanteras dadah dan bagaimana ianya telah menyerang negara ini dan memporak perandakan dengan senyap-senyap. Ia dadah yang cukup berbahaya. Namun, tiba-tiba muncul pula projek Rocky Balboa dan fokus saya teralih.” Sambung Stallone lagi, “Tumpuan saya berubah. Plot filem ini sudah bertahun-tahun di tangan saya yang mana bagi saya ia merupakan sebuah naskhah skrip yang bagus cuma telah terperam terlalu lama.”

Menurut Stallone lagi, “Kemudiannya, ketika kami sedang melangsungkan pengambaran The Expendables 2 di Bulgaria, saya telah menyuruh Jason membaca skrip yang telah saya tulis. Dia terus jatuh cinta dan mula mengingatkan saya; ‘Saya mahu lakukannya, saya mahu lakukannya, saya mahu lakukannya.’ Lantas saya membalas, ‘ok, baiklah…setelah lima kali diingatkan saya mula sedar yang dia memang serius.’”

Jason Statham juga berkongsi pandangannya, “Sewaktu di lokasi pengambaran, seringkali kita akan berbicara tentang sesuatu yang bukan berkaitan babak yang akan dilakonkan pada hari tersebut. Sly sedang berkongsi tentang apa yang sedang ditulisnya beberapa tahun kebelakangan ini dan juga sebuah projek yang belum direalisasikan, lantas katanya, ‘Jason, saya ada satu projek berjudul Homefront – dan saya nak anda membacanya.’ Tiba-tiba saya mengalami satu reaksi spontan mengenainya. Satu, ia ditulis oleh Sly sendiri dan saya memang gemarkan hasil tulisannya, namun ada sesuatu yang mencengkam mengenai plotnya, sesuatu yang bersifat emosional mengenai seorang ayah yang melindungi anaknya. Ia terus menusuk ke jiwa. Lantas Sly katakan pada saya, ‘Saya mahu anda melakonkannya.’ Jadi begitulah bagaimana segala-galanya bermula.”

Fleder mencelah, “Ini merupakan kepakaran Sly dan juga Kevin King Templeton… mencari bahan yang memenuhi selera penonton. Melihat kembali filem First Blood, bahan yang dipaparkan mudah berkait dengan penonton. Saya gembira bila menerima skrip Sly dari Kevin King Templeton yang mana konteksnya berlandaskan kisah klasik Barat… sebuah drama penuh dengan kejutan dan aksi.”

Jelas Stallone, “Orang menggunakan istilah aksi merujuk kepada adegan kereta kejar mengejar atau babak pertarungan, namun filem-filem seperti Dirty Harry, tidak dianggap sebagai filem aksi. Bullit bukan filem aksi. Filem aksi adalah jenis filem yang didefinisikan sebagai filem dengan dialog yang minima namun maksima dari segi pergerakan. File mini walau bagaimanapun membuatkan anda berfikir dan merasa. Jadi, ia boleh dikatakan sebagai drama yang sarat dengan detik-detik cemas dan aksi.”

Templeton menjelaskan perbandingan antara lakonlayar hasil tulisan Stallone dengan Barat klasik, “Dalam High Noon, lelaki tersebut yang menunggu keretapi itu datang. Di sini pula, kami membiarkan lelaki tersebut menunggu kumpulan penjahat datang, menunggu kehidupannya didedahkan, menunggu identity sebenarnya dibongkarkan. Dia berada di sebuah pekan di mana dirinya tidak diingini, di mana masyarakat tempatan tidak menyukainya dan ia boleh dikatakan sebagai satu perlumbaan mengejar masa dan juga takdir. Ia bukan filem aksi berskala besar. Ia mempunyai ‘perisa’ Barat dalam suasana moden. Homefront dipacu oleh wataknya dengan penuh ketegangan dan detik-detik cemas. Sly dan saya sendiri gemarkan idea seorang lelaki kesunyian dan juga anak perempuannya dalam set di sebuah pekan pedalaman cuba untuk melarikan diri dari masa silamnya serta bagaimana masyarakat menanganinya dan bagaimana dia berurusan dengan mereka dan bagaimana masa lalunya akhirnya memerangkap dirinya.”

Ujar Templeton lagi, “Sly menyiapkan lakonlayarnya pada tahun 2008. Umum sedia maklum bahawasanya dia merupakan seorang penulis yang diiktiraf, penulis yang pernah meraih nominasi Oscar. Dia mengambil masa yang cukup lama untuk menyiapkan skrip ini dan mengambil masa setahun mengkaji bukunya sahaja. Ada beberapa watak dalam buku tersebut yang terpaksa diketepikan kerana tidak melengkapi kehendak lakonlayar namun Sly cuba mengikut jalan cerita seperti buku asalnya sebaik mungkin di samping memperkemaskan skripnya.

“Gary Fleder dan saya telah memikir sedalamnya untuk bekerjasama dalam satu projek,” ujar Templeton berkongsi kisah, “Pada satu hari di tahun baru, kami sedang menikmati kopi lantas saya memberikannya skrip yang ditulis oleh Sly dan berkata, ‘bacalah dan beritahu apa pendapat anda.’ Dia kemudiannya membaca skrip tersebut…kemudian hari berikutnya, dia menelefon saya memberitahu betapa dia begitu sukakannya. Apa yang boleh saya lakukan? Apa yang boleh saya bantu? Dan dari situlah segalanya bermula.”

Fleder memberi pandangannya mengenai lakonlayar tersebut di mana menurutnya, “Idea filem ‘Western’ namun dalam konteks moden …tiada banyak bezanya sama ada ditulis tahun 1853 atau 2013. Strukturnya sama sahaja. Seorang lelaki dan anak perempuannya berpindah ke sebuah kawasan terpencil demi kehidupan yang lebih tenang. Mereka tidak mahukan sebarang masalah namun satu pergeseran kecil dengan penduduk setempat mengakibatkan ‘api’ semakin marak mencetuskan permusuhan sehinggakan identitinya terbongkar lantas menjadikan keluarganya dalam bahaya.”

Statham pula menambah, “Dalam filem ‘Western’, seorang lelaki masuk ke sebuah pekan dan mula dilayan dengan buruk oleh penduduk setempat hinggalah akhirnya mereka baru sedar bahawa mereka telah menganiaya orang yang salah, lantas lelaki tersebut menjelaskan perkara sebenar dan memerangi kejahatan lalu menjadikan pekan tersebut aman tenteram kembali. Konsep ini seiring dengan Homefront.”

“Sewaktu saya menerbitkan Runaway Jury,” ujar Fleder, “salah satu tema yang saya mainkan adalah setiap orang melakukan korupsi dengan caranya yang tersendiri. Sekiranya anda menonton filem tersebut, anda akan perasan bahawa setiap watak terlibat melakukan rasuah. Berbalik semula kepada In Cold Blood, setiap perkara yang berlaku aka nada sahaja sisi gelapnya. Tiada tempat di dunia ini yang tiada kejahatan. Tiada tempat yang suci tanpa cela. Kejahatan ada di mana-mana, di setiap pekan. Ia merujuk pula kepada tragedi yang berlaku di Salem. Bagi saya, semakin pedalaman sesuatu kawasan itu, semakin indah, semakin ‘hidup’ persekitarannya, semakin ingin saya ke sana, hmm, mustahil tiada orang jahat di sana?”

Fleder menjelaskan tentang kolaborasinya dengan Sylvester Stallone dan penerbit Kevin King Templeton untuk Homefront, “Sukar untuk melupakan, dengan Sly selaku seorang ikon dalam filem-filem blockbuster… Rambo dan Expendables, malah dia juga seorang penulis hebat. Dia seorang penulis yang mempunyai pengisian dalam karyanya. Dia seorang penulis yang obsess. Malah, lucu juga jika difikirkan, di mana pertama kali bekerjasama dengan Kevin, saya pulang lantas menonton satu dokumentari tentang pembikinan filem Expendables yang pertama. Sepanjang filem, dia menulis, menulis semula dan menconteng-conteng helaian kertas sebagai nota dan dari situ saya dapat rasakan yang dia memiliki persamaan dengan diri saya. Dia terlalu obsess. Dia begitu mengambil berat. Lebih-lebih lagi memikirkan yang beliau juga seorang pelakon menjadikan saya rasa ini satu projek yang besar buat saya. Kerana segelintir penulis yang hebat, David Mamet contohnya asalnya juga seorang pelakon. Sly mampu menjiwainya. Dengan baik. Dia memahami apa itu subteks dan memahami objektif sesuatu watak itu diwujudkan. Ia bukan tentang penerangan mahupun naratif. Ia tentang siapa watak-watak yang ada dalam kisah tersebut.”

Menurut Stallone, “Gary telah menghasilkan beberapa buah filem yang sangat dramatik, canggih dan juga filem indie malah turut pernah bekerjasama dengan ramai pelakon-pelakon yang meraih anugerah dan pengiktirafan. Beliau seorang pengarah yang cukup hebat, seorang yang mementingkan kesempurnaan di mana setiap kali pengambaran pasti menggunakan bergulung-gulung filem kerana mahu mendapatkan hasil yang terbaik. Gary merupakan seorang pembikin filem yang sangat berkeyakinan, ghairah dengan apa yang dilakukannya dan dia mengumpulkan barisan aktor-aktor kelas pertama untuk digandingkan bersama Jason…dan inilah yang membantu Jason meningkatkan kualiti lakonannya sebagai seorang pelakon.”

Statham turut berkongsi cerita mengenai pengarahnya, “Gary sangat teliti. Dia taksub dengan filem. Dia tahu segala-galanya tentang dunia perfileman lebih dari orang lain yang pernah saya temui. Dia kerap merujuk kepada nama-nama besar yang menjadi inspirasi dan mempengaruhi minatnya dalam dunia perfileman dan juga pengarahan filem. Dia sentiasa bersedia malah cukup senang bergaul bersama para pelakon di bawah arahannya. Dia bijak berkomunikasi. Dia cukup menggemari apa yang dilakukannya, dan dia sentiasa bersedia. Dia banyak mendorong saya dan saya rasa kolaborasi ini sesuatu yang cukup hebat.”

“Perkara yang paling menyeronokkan bekerjasama dengan Stallone, Kevin King, Jason, malahan semua pelakon adalah apabila mereka membiarkan proses evolusi berlangsung dengan sendirinya,” Fleder kemudiannya menyambung, “Sly dan Kevin asalnya membeli buku tersebut. Sly menulis skripnya sendiri. Sepatutnya, dia yang akan membawakan watak tersebut sedekad yang lalu namun kemudiannya berubah fikiran dan bertindak ingin menerbitkannya manakala Jason dicadangkan menggantikannya. Salah satu saat-saat paling hebat ketika produksi ini berlangsung adalah ketika pra-produksi di mana kami melakukan raptai di Los Angeles dan Stallone turut serta turun padang bersama kami. Untuk tempoh tiga hari tersebut memang menyeronokkan melihat dirinya selaku penulis sama-sama membantu para pelakon berlatih dialog masing-masing dalam satu bilik. Cukup menarik melihat dia melatih seorang demi seorang pelakon dalam bilik tersebut tentang lenggok bahasa, improvisasi dialog dan bermain bersama mereka. Saya dapat melihat bagaimana dia bijak menggabungkan bakat penulisan dan juga lakonannya yang bersatu dalam dirinya. Sly cukup obsess, dan dia berjaya melakukan serta memahami apa yang mampu menyentuh seseorang itu dari segi emosi.”

John Thompson selaku Penerbit merumuskannya dengan mudah, “Peminat setia Jason pastinya mengharapkan adegan penuh aksi dan cemas darinya, namun apa yang kami ingin paparkan di sini lebih dari itu di mana ianya lebih mendalam. Kami memiliki barisan pelakon yang cukup hebat dan berkaliber dan Gary telah melakukan tugasnya dengan cemerlang sebagai pengarah.”

“Selain peminat tegar Jason, saya juga berharap dapat menarik minat penonton dari segmen berbeza termasuklah mereka yang mampu meletakkan diri mereka dalam posisi seorang ayah yang mana nyawa anaknya sedang berada dalam bahaya. Kami menciptakan jalan cerita seasli yang mungkin dan ini merupakan satu tema yang cukup universal. Saya rasa, kami telah berjaya menyuntik elemen menyentuh emosi…dramanya…dan ia akan terbalas sekiranya kumpulan penonton yang hadir adalah dari spektrum yang lebih meluas.”

Statham menambah, “Saya rasa watak-watak yang ditulis oleh Sly cukup asli dan orang ramai dapat menerimanya. Saya tidak pasti magis apakah yang ada pada hasil tulisannya. Ia sukar digambarkan dengan perkataan, kerana anda hanya tahu yang ianya memang asli malah watak-wataknya juga mempunyai jiwa yang tersendiri. Anda akan mengambil berat terhadap watak-watak yang ada hinggakan anda mahu watak tersebut berjaya tidak kira dalam situasi apakan mereka berada. Anda menyokong mereka, dan saya rasa dia berjaya melakukannya lebih baik dari orang lain.”

JASON STATHAM sebagai PHIL BROKER
Statham memperkatakan tentang betapa beruntungnya dia ditawarkan untuk membawa watak utama oleh Sylvester Stallone sendiri, “Dia menulis Homefront untuk dirinya sendiri,” ujar pelakon British tersebut, “yang mana bagi saya bagaikan satu penghormatan yang cukup besar. Sly berkata kepada saya, ‘Dengar sini, saya tidak berupaya melakukannya. Jadi, saya cukup berharap agar anda dapat melakukannya menggantikan saya.’ Itulah pujian terhebat pernah saya perolehi seumur hidup saya…seorang pembikin filem dan penulis lakonlayar kelas-A baru sahaja menyerahkan projek peribadinya kepada saya. Ia satu detik yang cukup bermakna dalam kerjaya saya, diberi skrip oleh Sylvester Stallone, seorang penulis yang meraih nominasi Anugerah Academy.”

Jelas Templeton, “Meskipun Sly biasanya menulis untuk dirinya sendiri, namun bila berada di tahap-tahap tertentu dia harus akur untuk menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pelakon yang dihormatinya, pelakon muda yang mampu menggalas aspek fizikal dan juga rentak dramatik filem tersebut. Bekerjasama dengan Jason Statham sebanyak dua kali sebelum ini membuatkan kami lebih mengenali jatidirinya. Dia cukup teruja bila diserahkan naskhah skrip tersebut kepadanya dan kami bersetuju mengatakan bahawa memang dialah orang yang tepat untuk menggalas tanggungjawab ini. Kemampuan dramatiknya jarang dipergunakan sebaik mungkin maka filem ini bakal menjadi platform terbaik untuknya mengasah bakat lakonan yang lebih mencabar. Jason memiliki senyuman dan sisi memikat yang jarang ditonjolkan. Kita semua tahu yang dia memang hebat dalam filem aksi, namun setelah dua buah filem kami hasilkan bersamanya, kami ingin melihat dia keluar dari zon selesanya.”

Pelakon gandingan Statham, Kate Bosworth menambah, “Jason seorang yang cukup baik hati dan seorang pelakon yang cukup berbakat. Dia cukup professional dan memang seronok berada di sampingnya. Dia menggamat suasana dan segenap ruang. Setiap kali dia berada di set, seakan-akan ada aura positif yang memberi kesan kepada semua yang ada di situ. Saya rasa penting untuk ada aura tenaga yang sebegitu kerana ia mampu mempengaruhi ‘mood’ kru-kru lain dan sememangnya cukup mengagumkan melihatkan dia beraksi dalam babak-babak aksi kerana dia memang seorang yang berbakat. Luar biasa. Maksud saya, biasanya saya lihat pelakon lagak ngeri menonjolkan aksi yang begitu sempurna, namun untuk seorang pelakon dialah orang pertama yang saya lihat melakukannya dengan sebegitu hebat. Ditambah pula dengan bakat lakonan dramatik, jelas satu tarikan yang tidak harus dilepaskan untuk ditonton.”

Phil Broker merupakan seorang lelaki yang memiliki sejarah silam. Jelas Fleder, “Dia seorang lelaki yang lengkap dengan kemahiran tertentu. Kita tahu hakikat itu, tetapi tidak watak-watak yang lain jadi wujud tekanan di mana kita tidak sabar-sabar menantikan bila sisi berbezanya akan muncul. Ia bagaikan kisah adiwira klasik, yang memiliki bakat tertentu namun terpaksa menyembunyikannya atas sebab-sebab tertentu dan siapa yang menyebabkannya bertindak sebegitu. Saya suka bermain dengan aspek tersebut, secara naratif, saya gemar memainkan idea bahawasanya Phil Broker merupakan seorang individu hebat, namun cuba untuk tidak menonjolkannya. Walau bagaimanapun, bila tiba masanya dia terpaksa juga mneonjolkan kehebatannya demi keselamatan dan untuk meneruskan kehidupan.”

Stallone menghuraikan kisah sebenarnya, “Broker merupakan seorang agen dari negara lain. Dia melakukan kerja-kerja samaran untuk kerajaan Amerika dan menjadi sebahagian daripada sekumpulan lelaki yang ditugaskan membanteras geng-geng penjenayah bermotosikal. Dia telah melakukan tugasannya bertahun-tahun namun tiba satu ketika, dia jadi patah semangat dan berundur setelah isterinya meninggal dunia.”

Sambung Fleder, “Apa yang menariknya mengenai Jason Statham dalam watak ini, dan ini merujuk kembali kepada perbualan saya bersama Stallone, adalah kita tidak pernah menyaksikan Jason Statham membawakan watak seorang yang lemah dan merendah diri dan sekadar menjadi seorang lelaki yang baik cuba untuk diterima masyarakat sekeliling.”

Stallone menambah, “Jason tidak pernah melakukan sesuatu yang seperti ini sebelumnya. Dia sedang keluar dari zon selesanya. Bakatnya masih belum dikupas sepenuhnya. Rasanya seseorang yang mengenalinya dengan sebegitu rapat secara professional, pasti yakin bahawa dia mampu melakukannya. Saya tahu, bila kita telah biasa membawakan watak seorang yang berjiwa kental dalam serangkai filem-filem aksi, kita tidak boleh menjadi begitu emosional. Namun kali ini, ia bukanlah watak sama seperti yang dimaksudkan, bukan seperti persona yang telah dicipta untuk dirinya sendiri, jadi dia harus meluahkan segala-galanya yang masih terpendam.”

Menurut Statham, “Saya teruja berpeluang membawakan watak yang sepatutnay dibawakan oleh Sly. Tapi, ini adalah watak tentang seorang lelaki yang memiliki seorang anak perempuan. Saya tidak pernah membawakan watak seorang ayah. Watak ini merupakan seorang lelaki yang lemah dan cukup merendah diri. Satu-satunya insan yang menjadikan dirinya kuat adalah anak perempuannya. Kebanyakan watak yang saya bawakan adalah jenis hero buku komik, watak yang tiada banyak emosi dan tidak berkongsikan kasih saying mereka untuk perkara lain, kecuali untuk diri mereka sendiri, jadi Homefront merupakan sesuatu yang saya anggap bakal memberikan sesuatu yang berbeza dan mencabar.”

Fleder pula menjelaskan, “Sly merujuk persamaan-persamaan ini dengan hasil kerjanya dalam Copland khususnya dalam aspek membawakan watak seorang lelaki biasa, bukan lelaki perkasa yang sentiasa cuba mengasari orang lain. Seronok menyaksikan bagaimana Jason menonjolkan sisi berbezanya yang sukar untuk kita lihat; karismanya, senyumannya dan sikap merendah dirinya.”

Ini diikuti oleh deraian ketawa Statham, “Saya tidak pernah rasa seronok berada di depan kamera kerana biasanya saya membawakan watak lelaki gagah yang hidupnya bermasalah, jadi sekarang anda dapatlah menyaksikan sisi diri saya yang lebih mesra, yang jarang dapat anda lihat.”

Fleder lantas mengimbau kembali saat pertemuannya kali pertama dengan Jason Statham kira-kira dua belas tahun yang lalu, “Ketika itu dia baru sahaja selesai membintangi filem arahan Guy Ritchie dan sedang hangat di pasaran. Saya minum kopi bersamanya dan saya dapati dia seorang lelaki yang lucu, berkarisma disertai senyuman yang menggoda dan juga gelak tawanya. Sepuluh tahun pun berlalu dan filem-filem lakonannya semua saya tonton, namun saying sisi-sisi menawannya bagaikan hilang. Senyuman dan jenakanya. Saya dapat melihat sedikit daripadanya menerusi filem The Italian Job. Jadi, kami pun bertemu lagi untuk Homefront, di mana saya katakan kepadanya, ‘Saya benar-benar ingin melihat diri anda yang dulu – karisma, merendah diri, kemesraan yang jelas terpancar. Apa kata kita masukkan elemen tersebut untuk filem kali ini.’ Itulah tugas Jason di sini. Bagaimana menonjolkan sisi lemah, bagaimana menunjukkan kecederaan, bagaimana menunjukkan kekurangan dan kelemahan?”

“Ini kisah mengenai seorang lelaki yang cuba meneruskan kehidupan dan cuba melalui pengalaman yang tidak pernah dirasai sebelumnya,” jelas Statham. “Dia melalui satu tragedi. Dia kehilangan isterinya dan fokus utamanya kini hanyalah anak perempuannya. Dia akan melakukan apa sahaja untuknya asalkan anak itu gembira jadi diapun membawanya berhijrah ke tempat baru yang dirasakan akan membuat mereka gembira. Sebuah tempat di mana dia boleh membawanya menunggang kuda di kawasan perkampungan…sebuah pekan kecil yang saujana mata memandang tanpa ada banyak gangguan. Mereka berharap untuk hidup dengan aman dan dapat meluangkan banyak masa bersama-sama. Kita tidak dapat melihat kemampuannya sehinggalah kumpulan jahat bermaharajalela, dan mula mengganggunya…sebenarnya ketegangan yang berlaku berakar-umbi dari apa yang dilalui anaknya di sekolah sehingga melibatkan pergeseran..jadi, bila melibatkan anaknya pasti ini bukanlah sesuatu yang dia boleh ambil ringan.”

Menyentuh tentang kualiti skrip dan barisan pelakon, ujar Statham, “Barisan pelakon yang kita ada merupakan bukti betapa berkualitinya skrip hasil tulisan Sly… James Franco, Winona Ryder, Kate Bosworth, serta ramai lagi. Saya rasa, anda akan mendapat pelakon yang hebat sekiranya skrip yang diberikan cukup berkualiti. Berikan senaskhah hasil tulisan yang hebat, mereka akan datang dan mula bekerja.”

JAMES FRANCO sebagai GATOR BODINE
“James Franco merupakan seorang pelakon yang disegani dan sumbangannya cukup besar dalam projek kali ini,” ujar penerbit John Thompson mengingat kembali bagaimana para pembikin filem bersetuju menawarkan watak Gator kepadanya. “James sedang melakonkan sebuah filem dengan produksi kami, Millennium, dan Avi Lerner kemudiannya memberikan skrip Homefront tersebut kepadanya. James kemudian membacanya dan seminggu kemudian, dia sendiri menghubungi Avi menyatakan hasratnya untuk membawakan watak Gator. Jadual Franco agak sukar…kerana dua hari dalam seminggu dia akan pergi mengajar…namun sejurus dia datang ke set kami, ia menambahkan graviti buat produksi kami sebagai sebuah drama dan bukan sekadar sebuah filem aksi semata.”

Fleder menjelaskan bahawa Gator merupakan penjahat, “namun wataknya tidak cliché. Dia seorang lelaki yang tidak mempunyai sebarang masalah dengan Phil Broker. Dia lebih menakutkan. Dalam diam-diam dia memiliki agendanya sendiri terhadap Phil Broker. Dia sedar bahawa Phil Broker mempunyai nilai tertentu. Apa yang ingin dilakukannya adalah menjual identiti Phil Broker untuk keuntungan dirinya sendiri.”

“James Franco seorang aktor yang hebat,” ujar Statham, “Watak yang dibawakannya bukanlah seorang penjahat yang stereotaip. Franco memberikan satu perasaan kurang senang penonton bila menyaksikan lakonannya dan ia sesuatu yang segar. Perwatakannya selaku penjahat berbeza, tidak seperti yang anda saksikan dalam filem-filem lain seumpamanya.”

Menurut Stallone, Gator adalah jenis watak yang ingin saya lakonkan. Watak sepertinya adakalanya orang pandang sebelah mata, tapi tanggapan itu salah sama sekali untuk watak ini. Dia berjiwa ‘Machiavelli’. Sangat bijak. Pandai berniaga. Anda akan merasai sesuatu yang menggerunkan, bagaikan ada sesuatu yang merayap di dalam gelap. Ia tentang kejutan, hampir kepada menyeramkan.”

James Franco menjelaskan tentang latar belakang watak yang dibawakannya, “Gator merupakan penduduk tempatan yang mengendalikan sebuah premis membaiki bot. Pada masa yang sama, dia juga terjebak dengan kancah dadah dengan menghasilkan methamphetamine untuk dijual dan turut bertindak mengawasi keselamatan kawasan sekeliling demi kepentingan peribadinya. Dia cukup licik di mana dengan cara bekerjasama dengan pihak Sherrif, dia dapat mengurangkan persaingan dan meneruskan perniagaan haramnya.”

Templeton menambah, “Jarang sekali James Franco membawakan watak jahat. Dalam filem ini, dia bukan sahaja seorang pengedar dadah, namun seorang musuh yang cukup bijak dan licik. Bukan dalam konteks selaku orang jahat sahaja. Maksud saya, dia seorang lelaki yang terlibat dalam perniagaan haram, malah sangat bijak dalam apa yang dilakukannya. Jelas sekali, ia bertentangan dengan karakter yang dibawakan oleh Jason, namun begitu ia watak yang cukup bijak untuk James dan dia berjaya melakukannya dengan cemerlang.

James merupakan seorang pelakon yang berjaya mencipta fenomenanya tersendiri dan kami beruntung dapat bekerjasama dengannya. Dia menaikkan lagi taraf filem ini dengan membawakan graviti dramatik yang mengagumkan. James, bukan sahaja membaca skripnya, dia juga membaca bukunya. Dia memberikan maklumbalas yang cukup bagus terhadap lakonlayar filem ini malah dia merupakan antara pelakon pertama yang menyertai produksi kami. Bila anda menyaksikannya di layar, anda akan mula sedar kenapa dia memang layak menjadi seorang bintang. Karismanya, tenaga, dan personanya yang membuatkan segala aksinya yang terpampang di layar nampak lebih gah.”

Ujar Franco, “Ini merupakan filem keempat saya berama Millennium dan mereka baru sahaja membiayai sebuah filem arahan saya berdasarkan buku oleh William Faulkner berjudul As I Lay Dying, jadi kami mempunyai hubungan yang cukup bagus. Bila mereka mengajukan filem ini kepada daya, ia kelihatan seperti sesuatu yang menyeronokkan, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelumnya. Gary Fleder bertindak selaku pengarah dan Stallone pula penulis lakonlayarnya. Saya dan Gary ada berbincang tentang potensi untuk bekerjasama, jadi peluang ini bagaikan sesuatu yang dating tepat pada masanya.”

Menurut Stallone, “Penyertaan James Franco selaku bintang filem kami adalah satu anugerah dari Tuhan. Dia seorang aktor yang memiliki pelbagai tahap dalam bakat lakonannya, di mana raut wajahnya yang tenang seakan-akan mencetuskan aura yang kurang senang terhadap wataknya, Bagi watak Gator, perilakunya cukup menakutkan. Dia tidak berperikemanusiaan. Dia ada masalah jiwa. Luar nampak tenang, tapi di dalam jiwanya bergolak. Kita sukar melihat dirinya yang sebenar. Itulah yang dikatakan bakat lakonan sebenar. James harus bijak mengawalnya dan dia tahu bila dan bagaimana menggunakan kemampuan fizikal yang hadir bersama kebolehan yang dianugerahkan kepadanya.”

Mr. Fleder mengimbau kembali pertemuan pertamanya bersama James Franco, “Apa yang dikatakan oleh James kepada saya cukup bermakna, katanya ‘Saya tidak mahu menjadikan watak ini sesuatu yang cliché. Watak ini lebih dari sekadar seorang kaki buli stereotaip dari Selatan. Saya ingin mencari apa yang pelik dalam diri Gator. Saya ingin menggunakannya untuk mendapatkan sesuatu yang lain.’ Ia sangat menarik namun segalanya hanya terjawab samada Franco memiliki sisi gelapnya sendiri bila menonton persembahannya di set. Franco seorang yang sangat kompleks dan menarik. Dalam kehidupannya yang sebenar, pasti ada sisi eksentrik dalam dirinya.”
“Di hari pertama pengambaran,” sambung Fleder, “tiba-tiba dia dating ke lokasi dan bertukar menjadi Gator, wajahnya, perwatakannya yang serius. Dia jadi seorang pemangsa. Ia bukan tentang aspek fizikal sama ada besarnya, gemuknya atau berotot. Ketika itu saya sedar, saya tidak perlukan semua itu dalam dirinya sebab dia ada kesemuanya yang kami diperlukan.”

Dalam pada itu, Franco juga berkongsi cerita tentang pengarahnya, “Gary Fleder gemar berkolaborasi, dia begitu teruja dan sejak dari mula lagi kami sudah bersetuju untuk tidak menjadikan Gator seorang penjahat yang cliché. Gary mahu kami melakukan sebaik mungkin untuk menjadikan watak ini kelihatan dinamik dan berdimensi dan itulah yang kami lakukan. Saya rasa kami telah membentuk watak yang berbeza dari apa yang tertulis…seperti…saya gembira membawakan watak penjahat.”

Franco juga tertanya-tanya, “Saya rasa bila seorang pelakon mengatakan yang dia rasa seronok membawakan watak penjahat, mungkin yang dimaksudkan adalah mengikut acuan lakonan Jack Nicholson sebagai The Joker atau yang berkaitan. Anda hanya perlu melakonkannya dengan spontan. Watak ini walau bagaimanapun agak berbeza. Saya rasa apa yang menarik tentang memahami watak ini adalah bagaimana menjadikannya ‘manusia’. Pada dasarnya, ia mengenai beberapa perkara yang menjadi kunci penting seperti apa yang dilakukannya bukan kejahatan yang melampau-lampau, bukan mahukan dominasi dunia. Sebaliknya, dia memiliki alasan yang pastinya boleh difahami oleh orang lain. Dia hanya mahukan sesuatu yang lebih dalam kehidupan. Dia mahu buktikan sesuatu dalam kehidupan dan diberi peluang, cuma malangnya peluang yang diberi digunakan untuk menganiaya orang lain. Saya rasa orang lain pun boleh faham apa yang dilaluinya. Kesimpulannya, ya, mungkin saya mahukan lebih dari apa yang ada…namun sanggupkah saya menyakiti orang lain demi mendapatkannya? Diharap kebanyakan daripada kita akan berkata ‘tidak’. Gator pula merasionalkan situasi lalu mengatakan ‘ya’. Dari segi itu, ya dia seorang penjahat, meskipun kita tidak bersetuju atau sanggup melakukan apa yang dilakukannya namun sekurang-kurangnya kita dapat memahami alasannya.”

Fleder pula merumuskan, “Gator Bodine merupakan seorang lelaki oportunis, yang menunggu peluang, terdesak dan mempunyai permasalahan jiwa. James Franco menggabungkan jenaka, kebijaksanaan dan sifat eksentrik dalam watak yang dibawakannya ini.”

Ujar Kate Bosworth yang membawakan watak Cassie Bodine, adik kepada Gator yang ketagihan dadah methamphetamine, “Saya seronok bekerjasama dengan James,” Ujar Bosworth lagi, “dia cukup unik. Kami tidak banyak bersembang mengenai watak masing-masing sebelum melangkah masuk ke set. Saya membawakan watak adiknya dan hubungan kami agak bermasalah kerana dia pengedar dan saya pula pembeli jadi wujud pertembungan keperluan dan rasa bersalah antara keduanya namun ianya tidak terungkap dengan kata-kata. Ia boleh difahami menerusi lontaran dialog kami. Sejujurnya kami berdua sama-sama baru sahaja melalui saat sukar namun biarlah itu menjadi rahsia kami berdua. Jadi, dalam konteks kami yang tidak pernah benar-benar saling mengenali apatahlagi bekerjasama sebelumnya, ia satu kesempatan terbaik untuk kami saling bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dengan keterbukaan dan tanpa prejudis.”

KATE BOSWORTH sebagai CASSIE BODINE
Watak yang mencetuskan segala pergeseran dalam Homefront, punca berlakunya kacau bilai, siapa lagi jika tidak Cassie Bodine. Jelas Fleder, “Cassie merupakan individu yang memperbesar-besarkan insiden kecil yang melibatkan anak perempuan Broker di sekolah. Wujud pertengkaran antara dua orang pelajar – dan dia telah memperbesar-besarkan insiden tersebut seolah-olah berlakunya Perang Dunia ke-III.”

Stallone menggambarkan watak tersebut dengan kata-kata berikut, “ describes the character as written, “Dia seorang individu yang tidak stabil. Dia memiliki sisi agresif yang langsung tidak rasional dan berbahaya namun adakalanya boleh jadi seorang yang penyabar dan penuh simpati.”

“Saya cukup kagum dengan persembahan Kate. Maksud saya, dia secara peribadi bertentangan personaliti yang ditonjolkan oleh watak Cassie yang dibawakannya,” ujar Statham. “Dia benar-benar menjiwai watak yang diberikan, melakukan kajian dan menampilkan persembahan yang begitu menakjubkan. Kami semua bagaikan tidak percaya, ‘WOW, betulkah itu Kate?’ Ya, dia berjaya buat semua orang terpegun.”

“Banyak pendedahan yang saya dapati sepanjang berlangsung proses pencarian bakat untuk filem ini.” Fleder berkongsi kisah, “salah satu daripadanya sudah tentulah melibatkan Kate Bosworth yang melakonkan watak Cassie Bodine. Saya harus mengaku skearang bahawa bila pertama kali mendengar namanya dicanang akan membawakan watak ini, sejujurnya saya langsung tidak memikirkan bahawa dialah orangnya yang terpilih malah tidak yakin jika dia boleh member sepenuh komitment. Realitinya Cassie Bodine serupakan seorang individu yang cukup hodoh dan jahat, bukan pada fizikalnya tapi dari aspek emosinya. Dia adalah jenis orang di bandar yang ingin anda hindari jika bertembung.

Anda akan mengelaknya di kafe, di stesen minyak, malah tidak mahu berada dekat dengannya. Dia memiliki tenaga negative yang penuh dengan amarah. Bagaikan ‘pariah’. Tidak pernah saya melihat Kate membawakan watak sebegini sebelum ini, namun kami telah bertemu dan saya dapat lihat di matanya…dia memang berani.”

Templeton menyokong penglibatannya sebagai pelakon sejurus mereka bertemu. Dia berkongsi cerita, “Ramai dari kita mengenalinya dari filem Blue Crush. Kami bertemu dengan ramai pelakon untuk watak ini namun saya hanya member maklum balas kepada Kate. Dia ‘menjual’ dirinya sebaik mungkin dan sejurus saya menemuinya, saya katakan kepada pembiaya projek kami, Avi Lerner yang mewakili Millennium ‘Saya mahukan dia,’ dan tidak lama selepas saya menemuinya, saya berjaya meyakinkan Gary untuk turut serta.”

Kate Bosworth berkongsi perspektifnya, “Saya diberikan skripnya, mambacanya dan menikmatinya. Ia watak yang menarik, melibatkan aksi namun apa yang penting ia lebih terarah kepada aspek perwatakan. Ia ringkas namun aspek aksi dan fizikalnya bergantung kepada kemampuan para pelakon itu sendiri untuk menjiwai watak masing-masing. Saya dapati nilai seperti inilah yang semakin kurang dalam industri perfileman kita hari ini. Itulah yang menyebabkan saya tertarik dengan lakonlayar ini. Saya rasa Stallone telah melakukan tugasnya dengan ceemrlang mengadaptasi novel dan juga watak Cassie…kerana ada cara untuk menjadikan wataknya lebih dinamik berbanding sekadar watak tipikal seorang wanita yang ketagihan dadah.”

Menurut Templeton, “Kate benar-benar menonjolkan persembahan lakonan kelas-A dalam filem ini. Dia datang dengan penuh persediaan. Dia cukup bersedia namun bakatnya seringkali dipandang rendah. Dia merasakan yang dia mampu ‘masuk’ ke dalam pemikiran Cassie dan menghidupkan watak tersebut seterusnya menyampaikan cerita. Hari pertama di set, dia telah melakonkan satu babak yang cukup sukar. Ketika itu hanya Tuhan yang tahu betapa bersyukurnya saya kerana dia menjadi sebahagian daripada kami. Saya katakan kepada Gary, ‘tengoklah dia. Dia memang pilihan tepat untuk watak Cassie!”

Fleder turut bersetuju, “Kami tidak rasa kerugian. Kate datang ke set membawa bersamanya persembahan lakonan berkualiti sehinggakan pada hari pertama telah membuatkan saya tergamam. Dia menjadi Cassie. Dia katakan kepada kami, ‘watak ini tidak memakai mekap; jadi saya tidak akan datang ke set dengan mekap tebal dan pakaian berjenama. Saya juga tidak akan mencuci rambut untuk seketika. Saya juga akan merokok dalam filem ini nanti. Dia seolah-olah tidak sabar untuk memberikan persembahan terbaiknya!”

Kami menghargai satu sama lain. Kate Bosworth berkongsi cerita mengenai pengarahnya, “Bekerjasama dengan Gary Fleder memang satu penghormatan. Saya tanyakan kepadanya sekiranya dia cukup tidur kerana kami akan bekerja hingga lewat malam dan semua orang sudah kepenatan, namun dia begitu focus dan sentiasa bersedia untuk melakukannya. Perlu ada tenaga yang sebegitu dalam diri seorang pemimpin. Seronok punyai pengarah yang benar-benar mempercayai dan teruja berkolaborasi bersama-sama pelakonnya.”

Menurut Bosworth lagi, “Saya dan Gary banyak berbicara tentang watak-watak yang ada sebelum msuk ke set dan kemudian kami berhenti di situ dan teruskan dengan pengambaran dan dari situ kita boleh lihat yang dia mempercayai kemampuan para pelakonnya untuk membawakan watak masing-masing. Katanya, ‘bila mula sahaja jejakkan kaki ke set, anda akan lebih memahami Cassie berbanding saya.”

Bosworth juga berkongsi kisah di sebalik watak yang dibawakannya, “Cassie merupakan seorang oenagih dadah jenis methamphetamine. Ia watak yang cukup seronok untuk dibawakan. Apa yang menyebabkan dia kecanduan dan menyeksa dirinya sendiri? Apa rahsia sebenarnya? Menurut pendapat saya, ia bertitik tolak daripada ketidakpuasan hati yang dirasakan terhadap kehidupannya. Mungkin dahulunya dia gadis yang popular dan cantik di sekolah, ditakdirkan untuk berjaya dan mengembara ke mana sahaja. Saya rasa, setelah dia mengenali suaminya di sekolah tinggi, kemudian mengandung ketika tahun akhir pengajian mungkin dari situ dia mula membenci suaminya serta apa yang dilaluinya. Saya benar-benar ingin tahu apa yang boleh membuatkan saya kasihan tentang dirinya supaya saya dapat sekurang-kurangnya mempunyai sedikit rasa perikemanusiaan terhadapnya. Itulah cabarannya.”

WINONA RYDER sebagai CHERYL MOTT
Cheryl Mott, lakonan Winona Ryder merupakan kekasih kepada Gator Bodine dan juga rakan subahat perniagaannya. Menurut Fleder, “Winona Ryder menampilkan sisi agresifnya di mana secara tiba-tiba dia menjadi watak yang dibawakannya, Cheryl Mott. Winona sejak sekian lama telah menjadi aktres ikon di Amerika. Ini bukan watak yang pernah dibawakannya sebelum ini, seorang gadis motor yang disepak terajang. ‘Gadis litar’ lebih tepat. Dia seroang pelakon yang sangat bijak, ambil berat tentang aspek motivasi demi melakukan yang terbaik serta setiap adegan yang membabitkannya.”

Ujar Templeton, “Winona Ryder memang aktres berbakat. Dia begitu ingin membawakan watak Sheryl dan interpretasinya terhadap watak tersebut memang apa yang kami inginkan. Dia kongsikan pelbagai idea kepada kami sepertimana orang-orang berbakat sepertinya biasa lakukan sekiranya terpilih membawakan sesuatu watak. Dia merupakan salah seorang pelakon kegemaran saya, sama ada pelakon utama atau sekadar sampingan.”

FRANK GRILLO sebagai CYRUS
“Frank seorang aktor berkarakter. Saya tonton lakonan dalam The Grey,” ujar Templeton, “asalnya Sly mencari pelakon lelaki bersaiz badan besar dan sasa untuk membawakan watak Cyrus. Dia mahukan aktor yang memapu membangkitkan rasa gerun. Bila kali pertama melihat foto Frank saya tidak rasakan dia menggerunkan dari aspek fizikal. Kemudian, saya menonton beberapa buah filem yang telah dilakonkannya dan ia betul-betul membuatkan saya kecut perut. Dia cukup berpengalaman dan berkemahiran. Dia layak meraih semua anugerah yang diterimanya. Dia sangat berbakat.”

“Frank Grillo merupakan seorang aktor yang hebat.” Menurut Stallone, “Asalnya saya menulis watak tersebut sebagai seorang lelaki yang bertubuh besar dan sasa dan saya lihat satu watak dengan rambut tocang belakang dan bekas cacar yang kelihatan serta leher yang berotot…cukup menggerunkan. Bila nama Frank Grillo diumumkan, saya kata, baiklah mungkin berkesan sebab salah seorang penunggang motor paling kental dan juga ketua Hells Angels, merupakan Sonny Barger dan salah seorang rakan saya juga turut berlakon dalam filem tersebut, Chuck Zito, merupakan ketua Hells Angels bertahun-tahun lamanya dan meskipun dari segi luaran mereka memegang kedudukan yang berpengaruh, namun fizikal mereka biasa-biasa saja. Mereka ini punyai persona dan aura untuk memimpin kumpulan mereka yang juga terdiri daripada mereka yang kelihatan menggerunkan tanpa perlu berfizikal besar dan tegap.”

Ujar Fleder mengimbau kembali, “Saya merupakan peminat Frank Grillo sejak bertahun-tahun lamanya. Dua belas tahun yang lalu, saya mengambilnya berlakon untuk satu watak kecil dalam The Shield. Dia merupakan salah seorang pelakon dari New York yang berbakat yang bekerja tanpa henti untuk mencipta nama, dan meskipun kita sering melihatnya dalam The Grey, End of Watch dan lain-lain, namun kita tidak tahu siapa namanya. Tapi tidak lama lagi, kita pasti akan mula mengingati namanya; dia telah terpilih membintangi Captain America. Frank gemar memberikan kejutan menerusi pembawakan wataknya. Watak yang akan dibawakannya adalah Cyrus, seorang penunggang motosikal psiko yang mana asalnya watak ini ditulis sebagai seorang lelaki berfizikal besar. Frank seorang atlet yang hebat, dia seorang peninju, Cuma tubuhnya saja yang tidak besar. Wajah dan suaranya cukup menarik, boleh berubah-ubah dan itu yang menyebabkan saya memberikan watak ini kepadanya.”

Fleder menerangkan mengenai kolaborasi bersama Stallone untuk watak Grillo, “Sly katakana kepada saya, ‘Jika anda melihat saiz fizikal, Frank Grillo bukanlah orang yang anda cari, namun jika anda yakini persona dan karakternya, ayuh kita teruskan saja.’ Inilah yang menjadi salah satu perkara yang menarik tentang filem ini, di mana dia membawakan watak ini yang jika silap percaturan mungkin jatuh ke tangan yang salah, mungkin jadi watak yang tidak dinamik atau jadi watak picisan lalu mengubahnya menjadi watak yang sangat penting dalam babak kedua dan ketiga. Dialah rakan sekongkol Franco.”

LOKASI: HOLLYWOOD DI KAWASAN PAYA
Homefront berlokasi di sebuah pekan rekaan dipanggil Rayville, terletak di tengah-tengah Louisiana di sepanjang kawasan perairan cetek dan berpaya. Rayville cukup indah di waktu siang; perairannya, pokok-pokok oaknya, rumah-rumah sungainya yang menawan…namun bila malam menjelma, ia cukup menakutkan.

“Buku ini berlatarbelakangkan lokasi di Minnesota,” Ujar Stallone, “Namun itu tidak memberikan aura misteri yang kami mahukan. Ada sesuatu tentang kawasan di Selatan dan berpaya yang membuatkan kita rasa tidak selesa. Ia sebuah lokasi yang unik…perairan cetek Louisiana. Gary Fleder berasal dari Selatan dan menghabiskan banyak masa menjejaki lokasi yang sukar ditemui dan tidak pernah terfikir oleh saya. Itulah visinya dan dia telah melakukan tugas yang cemerlang.

Menurut Fleder, “Kami telah berkunjung ke rumah-rumah yang anda tidak ingin kunjungi ketika Halloween, namun di siang hari kesemuanya cukup indah. Itulah Homefront. Kami menggunakan latar belakang yang cukup luar biasa indahnya bila matahari naik…panorama dan alam semulajadinya, namun di waktu malam, ia menggerunkan.”

Pengarah filem ini, yang dilahirkan di Virginia menceritakan tentang keputusan menukar lokasi ini di Selatan, “Idea untuk menetapkan lokasi di Selatan bagi saya tidak releven. Ia lebih kepada kediaman baru yang dipilih Broker adalah kejiranan dengan panorama yang indah dan dikelilingi alam semulajadi, bukan di kotaraya. Dan ia boleh jadi di mana sahaja dalam negara. Boleh jadi juga di Kanada, ataupun Maine. Bagi saya, ia lebih kepada idea di mana, bila kita berhijrah dari kehidupan kota ke kawasan berkomuniti, ia tidak kisah pun di mana lokasinya. Dalam komuniti yang rapat, semua orang tahu mengenai rahsia masing-masing. Siapa yang rasuah polis. Siapa yang jahat, dan siapa ‘datuk bandar’ yang sebenar tanpa gelaran rasmi. Bagi saya, selaku orang yang berasal dari Selatan, penting untuk saya tidak memperlekehkan tempat kelahiran saya. Saya sangat menghormati warga-warga Selatan dan Tenggara tanahair. Ia lebih kepada situasi di mana Phil Broker pergi ke satu tempat di mana dia adalah orang luar yang datang menumpang. Untuk menguatkan lagi, saya minta Jason Statham membawakan wataknya dengan slang dari negara asalnya.”

Fleder menambah, “Kami sengaja jadikan dia seorang bekas agen Interpol, agar slang yang digunakannya lebih releven dengan filem ini. Ceritanya tentang seorang lelaki dari Timur London, tidak kira sama ada dia di Louisiana atau di Texas atau di Selatan Dakota, dia masih tetap orang luar yang mencampuri urusan orang tempatan. Ia meminjam paradigma filem ‘Western’ klasik di mana seorang lelaki yang memiliki set kemahiran tertentu berhijrah ke kawasan baru, tidak mahukan sebarang masalah, namun masalah yang datang mencarinya.”

Dengan produksi yang mengambil tempat di luar perimeter New Orleans, ujar Thompson, “Louisiana merupakan sebuah negeri yang cukup hebat buat kami. Selain insentif kewangan yang diperolehi, kru berbakat dan berpengalaman, serta sumber-sumber lain untuk pembikinan filem, terdapat banyak variasi visual yang boleh ditangkap oleh lensa kamera kami. Nilai produksi di sini memang tiada tandingan.”

Jelas Fleder, Louisiana memang sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian panorama meskipun kita berada dua puluh hingga tiga puluh batu jauhnya dari New Orleans, banyak yang boleh anda dapati di sini. Untuk filem ini khususnya, kami menemui lokasi yang mengagumkan, pemandangannya, rimbunan pokok oak dan kawasan lapang di pesisiran. Pengambarannya kami lakukan sejauh Gretna dan Westwego hinggalah ke Slidell. Ia memang mengagumkan. Jika kena pada masanya, pencahayaan sempurna, tidak banyak hujan, anda boleh dapatkan lokasi dan latar belakang yang cukup mengasyikkan.”

Menurut Thompson, “Memang indah berada di tanah New Orleans, namun sekali anda keluar dari kota, anda akan merasakan kehidupan sebenar warga Selatan. Pemandangan luas terbentang, pesisiran perairan cetek, paya dan terusan-terusan kecil. Ia lokasi yang cukup indah dan bertepatan dengan kisah yang ingin kami paparkan.” Komentar retoriknya, “Ada kawasan lagi pedalamankah selain kawasan perairan cetek Cajun?”

Templeton berkongsi perspektifnya, “Ini merupakan filem kelima saya di Louisiana. Negeri yang kaya dengan sumber-sumber penting; di mana apa sahaja pengambaran boleh dilakukan di sini. Louisiana merupakan sebuah negeri yang mesra-filem sementara kru-kru tempatan juga sangat hebat. Bila saya ke sini, saya lihat lebih ramai orang berbanding Los Angeles, tempat saya tinggal. Ia merupakan salah satu hab perfileman di Amerika. Bukan sahaja dek kerana insentif cukainya. Anda boleh lakukan pengambaran banyak kotaraya, banyak projek dan pelbagai genre di sini kerana negeri ini sangat terbuka dan sudi bekerjasama malah menggalakkan semua jenis pengambaran filem dilakukan di sini.”

Jelas Fleder, “Saya menghasilkan sebuah filem di New Orleans kira-kira sepuluh tahun lalu berjudul Runaway Jury dan ketika itu, saya rasa kami merupakan antara produksi pertama filem yang dilakukan pengambarannya di sini menggunakan insentif cukai yang baru dikuatkuasakan. Kini sepuluh tahun kemudian, kembali untuk Homefront, saya kagum melihat betapa majunya industri perfileman di sini. Inilah dia Hollywood di Bayou.”

RUPA VISUAL: REKAAN PRODUKSI, KOSTUM DAN SINEMATOGRAFI
Pereka produksi Greg Berry telah berkhidmat sebagai pengarah seni untuk filem-filem seperti 3:10 to Yuma dan Mr. and Mrs. Smith. Menurut Fleder, “Apa yang saya suka tentang pandangan Greg adalah katanya, saya mahu memaparkan keaslian dan tekstur dunia ini. Kami berdua begitu mengambil berat tentang apa yang orang lain fikirkan tentang filem ini apatah lagi bila menontonnya mereka merasakan ia hanya satu karya filem dari Hollywood sama seperti filem lain.

Kami berbincang tentang idea-idea stereotaip dan perkara-perkara memperlekehkan apa yang ada di sekeliling. Dan saya rasa bila kita melihat ke sesuatu lokasi dalam filem dan ia kelihatan seperti terlalu dibuat-buat maka, penonton tidak akan merasa ketulenan filem kerana ia sesuatu yang direkacipta. Kami menonton filem seperti Winter’s Bone. Ada sesuatu tentang filem tersebut yang mencetuskan aura ketulenan dan nampak semulajadi. Ia seperti kita menonton dokumentari tentang kebudayaan dan ekonomi masyarakat lain.

Greg memang seniman sejati dan dia mengawal segala-galanya tentang citarasa, warna dan rasa tertentu yang mengatakan bahawa segalanya bagaikan using dan kusam. Karat yang melekat…bagaikan kabasahan. Apa yang membuatkan berada di Selatan dan di bahagian tanahair tersebut yang menjadikannya indah juga menjadikannya kasar. Elemen-elemen di sana kasar. Dan saya rasa kami berjaya mendapatkan tekstur tersebut dalam rekaan kami.”

Fleder turut memperkatakan tentang juru sinematografinya, Theo van de Sande, “Theo merupakan seorang juru sinematografi dari Belanda yang telah berkecimpung dalam industri ini hampir empat puluh tahun lamanya. Dan apa yang saya sukakan tentang Theo adalah, dia merupakan seorang juru sinematografi yang berani. Bila anda gentar, terlalu konservatif sebagai seniman mahupun jurufoto, hasil karya anda akan kelihatan berulang dan kekal dengan satu gaya sahaja, tiada perubahan dan pembaharuan.

Dengan Theo, saya katakan kepadanya, ‘mari kita bermain dengan warna, bermain dengan cahaya, bereksperimen tentang bagaimana kita boleh dapatkan syot sebegini. Terdapat satu babak pembukaan dengan adegan serbuan dadah yang harus memiliki feel tertentu. Kemudian kami beralih ke satu lagi persekitaran yang harus mempunyai feel yang tersendiri. Jadi, bagaimana kita membezakannya? Dan satu lagi, saya rasa apa yang membuatkan Theo berbeza adalah, dia bijak bermain dengan cahaya, dia seorang juruteknik yang bagus, dia seorang seniman. Jadi, memang seronok melihatnya ‘keluar dari kotak’ dan bermain dengan pencahayaan dan juga warna.”

Wujud elemen rekaan yang dominan bagi sub-budaya geng motosikal dalam Homefront. Kelli Jones, pereka kostum untuk filem ini telah bekerja dengan produksi Sons of Anarchy untuk keseluruhan episod. Menurut Gary Fleder selaku pengarah, “Kelli membawa pelbagai lapisan ketulenan ke dalam filem ini. Keseluruhan perimeter filem ini di kelilingi oleh ancaman dari geng ciptaan dipanggil The Outlaws. Namun, apa yang menariknya, dia telah berjaya menemui cara untuk melembutkan karakter Jason Statham. Dia memakaikannya seluar flannel dan denim serta topi yang ringkas dan hanya dengan itu, perwatakan Jason berubah kelihatan lebih lembut dan tidak pernah saya lihat sebelumnya. Jason sangat terperinci orangnya dan dia begitu ambil berat tentang perician sepertimana para pembikin filem. Kelli sentiasa membantunya. Bila seorang pelakon itu bekerjasama dengan pembikin filem seperti pengarah, penata busana, pereka produksi, juru sinematografi, anda hanya perlu datang ke set keesokan hari dan segalanya telah siap tersedia. Itulah yang berlaku dengan Kelli. Dia sentiasa mengagumkan saya dengan caranya tersendiri, selangkah di hadapan iaitu sentiasa memberikan apa yang saya mahu sebelum sempat saya mengatakannya.”

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

The Melaka Art & Performance Festival

Boost Juice Bagus Untuk Kesihatan