in

Filem Hebat Sempena Ulangtahun Ke-12 NTV7

BARISAN FILEM HEBAT MENGGEGARKAN JULAI ANDA SEMPENA ULANGTAHUN KE-12!

Sempena menyambut ulangtahun Saluran Ceria Anda yang ke-12, ntv7 bakal menyajikan rancangan hiburan istimewa untuk seisi keluarga sepanjang bulan Julai ini.

Sambutan ini bermula dengan filem penuh aksi, American Outlaws, yang dibarisi pelakon hebat Collin Farrell, Scott Caan, dan Ali Larter, digandingkan bersama Gabriel Macht, Gregory Smith, Harris Yulin dan Will McCormack pada hari Sabtu, 3hb Julai, 11.30 malam.

Saksikan aksi hebat Collin Farrel membawa watak Jesse James, seorang penjenayah lagenda yang mengetuai sekumpulan peladang menentang baron kereta api yang korup demi memperjuangkan hak mereka.

Sebuah kisah misteri yang sarat dengan adegan mengghairahkan, Diabolique, pula bersiaran pada Ahad, 4 Julai, 11.30 malam. Bintang-bintang seperti Sharon Stone dan Isabelle Adjani digandingkan bersama Chazz Palminteri, Kathy Bates, Shirley Knight, Spalding Gray dan Donal Logue menjayakan filem ini. Percubaan untuk membunuh seorang pengetua sekolah yang kejam oleh isteri dan wanita simpanannya terbongkar apabila mayatnya hilang dan kelibat beliau seolah-olah masih hidup kemudiannya ada dilihat oleh para pelajarnya.

Manakala kisah komedi yang menghiburkan hati, Big Bully, akan ditayangkan pada hari Sabtu, 17hb Julai, 11.30 malam. Dilakonkan oleh Rick Moranis dan Tom Arnold serta Julianne Phillips, Carol Kane, Curtis Armstrong, Faith Prince dan Tony Pierce, komedi ini sesuai menjadi tontonan bagi semua peringkat usia. Big Bully menceritakan kisah seorang penulis yang kembali ke kampung halamannya dan harus menghadapi musuh zaman kanak-kanaknya yang sekali lagi muncul menjadi buli dalam hidupnya.

Kisah mendebarkan Trial by Jury pula akan disiarkan pada hari Ahad, 18hb Julai, 11.30 malam yang dibintangi oleh Joanne Whalley bersama Armand Assante, Gabriel Byrne, William Hurt dan Kathleen Quinlan. Filem menarik ini memperlihatkan kekuatan seorang ibu muda dan keyakinan idealisnya diuji apabila dia terpilih untuk berkhidmat sebagai seorang juri walaupun nyawa anak lelakinya terancam.

Sementara itu A Kid from Tibet akan memeriahkan malam Sabtu anda pada 24hb Julai jam 10.00 malam, dibintangi barisan pelakon hebat yang terdiri daripada Yuen Biao, Michelle Reis, Jackie Chan, Wah Yuen dan Nina Li Chi. Filem seni bela diri Hong Kong memaparkan kisah usaha pencarian Babu Gold Bottle yang mempunyai kuasa magis dan digunakan oleh biarawan Tibet untuk membuang penjahat Black Section.

Selain itu, filem komedi yang pasti mengundang gelak tawa, Ah Long Pte Ltd akan keudara pada hari Sabtu, 31hb Julai, jam 10.00 malam. Pastikan anda tidak ketinggalan menonton lakonan Richard Low, Fann Wong, Mark Lee dan Jack Lim dalam karya Jack Neo yang memaparkan kisah lucu tentang lintah darat yang tidak menggunakan kekerasan disertakan babak cinta dan keluarga.

Sajian ceria khas buat penonton cilik dan yang berjiwa muda pula akan keudara pada petang Ahad, bermula dengan tayangan Crayon Shin Chan: The Secret Treasure of Buri Buri Kingdom pada 11hb Julai jam 3.00 petang. Saksikan kisah-kisah lucu dari watak kartun comel Shin Chan dalam kisah pengembaraannya di Buri Buri Kingdom.

The King and I, sebuah animasi Disney akan bersiaran pada hari Ahad berikutnya, 18hb Julai jam 3.00 petang. Kisah pengembaraan luar biasa, cinta magis dan muzikal guru Bahasa Inggeris dan sebuah keluarga kerabat raja Siam pastinya akan mengujakan hati anda.

Filem penutup bagi sambutan ulangtahun Saluran Ceria Anda, Wild America, memaparkan kisah yang menyentuh hati berdasarkan sebuah kisah nyata tentang tiga saudara lelaki yang membesar bersama untuk menjadi jurugambar haiwan terkemuka di dunia akan ditayangkan pada hari Ahad, 25 Julai jam 3.00 petang.

Dibintangi barisan pelakon dari zaman 90-an, Jonathan Taylor Thomas, Devon Sawa dan Scott Bairstow, ia mengisahkan pengalaman musim panas mereka apabila ibu bapa mereka membenarkan ketiga-tiga adik-beradik mengembara Amerika dengan sebuah kamera yang dibeli dengan wang yang dipinjam dari bapa mereka.
Jadi jangan ketinggalan bersama-sama menyambut ulangtahun Saluran Ceria Anda yang ke-12 dengan menikmati pelbagai pilihan filem hebat yang disajikan istimewa untuk penonton sepanjang Julai ini!

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ntv7.com.my .

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

HP and Cartoon Network LaunchToon Creator Awards 2010

IZ OIAM Opening Act Usher Live in Malaysia