in ,

Fazley Terima Anugerah Usahawan Bakat Khas The ONE Awards 2018

Cef selebriti dan penyanyi popular, Dato’ Fazley Yaakob, 40, dipilih sebagai Usahawan Bakat Khas sempena majlis anugerah Malaysia Outstanding National Entrepreneurs 2018 (The ONE Awards 2018) yang diadakan di Grand Ballroom, Hotel The Majestic di sini Jumaat lalu.

Anugerah tersebut diberikan kepada anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu di atas usaha beliau dalam mengusahakan SukaSucre Bistro (SSB) di samping mengangkat martabat industri kulinari tempatan pada tahap antarabangsa.

Anugerah Usahawan Bakat Khas The ONE Awards 2018

“Alhamdulillah, usaha saya dalam membangunkan SSB yang mendapat pelbagai kemenangan menerusi aspek makanan dan minuman sejak lima tahun lalu mendapat penghargaan The ONE Awards 2018. Dalam tempoh itu juga, jenama SukaSucre semakin berkembang dengan kewujudan SukaSucre Creatives (SSC) selaku syarikat kreatif serta pengurusan bakat dan produksi di bawah SukaSucre Studio (SSS).

“Tidak terhenti di situ, saya sentiasa memanjangkan langkah bagi mengangkat bidang masakan ke peringkat global sehingga membuka mata rakyat asing dengan kepakaran yang dimiliki,” kata Fazley yang merupakan graduan Victoria University of Wellington, New Zealand, University of Reims Champagne-Ardenne, France dan Le Cordon Bleu (LCB), Paris itu sejurus majlis berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta isteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan Pengerusi JUMP, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Trofi dan sijil Usahawan Bakat Khas itu disampaikan sendiri oleh Zahid kepada Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Datuk Yaakob sambil disaksikan oleh Nurul dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JUMP, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman.

The ONE Awards 2018 yang merupakan sebuah majlis khas anjuran Jelajah Usahawan Malaysia Pakar (JUMP) itu bertujuan memberi pengiktirafan serta sokongan kepada para usahawan bersaiz kecil dan sederhana dalam menjana kepesatan ekonomi negara.

Sebanyak tujuh anugerah diberikan kepada individu-individu terlibat pada majlis tersebut iaitu; Usahawan Kecil & Sederhana, Usahawan Perkhidmatan Kewangan, Usahawan Bumiputera Dalam Bisnes, Usahawan Bisnes Di Atas Talian, Usahawan Wanita Dalam Bisnes, Usahawan Bakat Khas dan Usahawan Hartanah.

Anugerah Usahawan Bakat Khas The ONE Awards 2018

Pada awalnya, JUMP menerima 250 pencalonan daripada pelbagai usahawan kecil dan sederhana di seluruh Malaysia sebelum disaring dan menjalani tapisan oleh jawatankuasa khas terdiri daripada ikon-ikon perniagaan sedia ada.

Trofi dan sijil The ONE Awards 2018 diperakui oleh Zahid dan Menteri Kewangan Kedua Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Majlis yang diacarakan oleh Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dan Nazrudin Habibur Rahman itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Dayang Nurfaizah, Azharina, Ernie Zakri, Syamel dan ramai lagi.

Sehari sebelumnya, Fazley dipilih sebagai salah seorang panel motivasi Seminar JUMP menerusi Forum Usahawan Popular bersama Dato Seri Vida, Dato’ Sri Aliff Syukri Kamarzaman, Datuk Afdlin Shauki, Nurul Zahid, Dr. Lawrence Walter Ng, Fizo Omar dan Abang Abu yang diadakan di Grand Ballroom, One City, Puchong, Selangor disaksikan hampir 1,000 tetamu sempena kesinambungan The ONE Awards 2018.

Anugerah Usahawan Bakat Khas The ONE Awards 2018

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yang Menarik Tentang Program Bual Bicara HELO DOKTOR

Ini Cara iM4U fm Meraikan Hari Wanita Sedunia