in ,

Fatimah Az-Zahra Nama Sementara Anak Siti Nurhaliza

SEPERTI yang telah diketahui, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi sulungnya pagi tadi secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di ibu negara.

Sebelum ini, suami penyanyi itu, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pernah memberitahu bahawa nama anak sulungnya itu akan diumumkan selepas tujuh hari kelahiran puteri sulungnya itu.

Dato' Sri Siti Nurhaliza

Buat sementara, pasangan tersebut sepakat memilih nama Fatimah Az-Zahra sebagai panggilan buat sementara untuk anak yang baru dilahirkan itu.

Jelas Khalid, nama itu dipilih daripada nama salah seorang anakanda Nabi Muhammad.

“Untuk tempoh seminggu ini, sebelum nama sebenar diumumkan, kami sepakat memilih Fatimah Az-Zahra untuk bayi yang baru lahir ini.

“Pilihan nama sudah ada… Kami akan umumkan pada majlis yang akan dianjurkan kemudian,” kata Khalid memetik BH Online.

Lapor akhbar tersebut, Khalid ketika ditemui kelihatan sangat teruja dan bersyukur dengan kelahiran anaknya itu.

Mengulas mengenai perasaannya ketika kali pertama melihat zuriatnya itu, Khalid yang sudah menunggu kelahiran anak perempuan sejak 18 tahun lalu mengaku sebak.

“Sudah lama saya menantikan kehadiran anak perempuan. Saat saya melafazkan iqaamat di telinganya, ketika itulah perasaan sebak timbul,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya kondisi terkini isterinya, Khalid berkata isterinya kini stabil selepas bersalin dengan kaedah pembedahan dan sudah mula menyusu anak mereka.

“Alhamdulillah, keadaan Siti dan bayi stabil. Siti baru saja menyusukan bayi.

“Seronok tengok bayi menyusu dengan mudah. Bayi pun tak banyak ragam berada berdekatan dengan ibunya,” katanya bersyukur.

Dalam pertemuan itu juga, tokoh korporat yang berkahwin dengan Siti pada tahun 2006 itu turut berkongsi keterujaan bersama pemberita dengan menunjukkan gambar dan video bayinya itu.

Siti selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.55 kilogram itu pada jam 8.17 pagi tadi di sebuah pusat perubatan di ibu kota secara pembedahan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Cabaran Ibu Bapa Segera Dalam LIFE AS WE KNOW IT

Ayda Jebat Lancar BAGAI PELANGI di Hari Jadi Ke-26