in ,

Facebook Temukan Nur Fathia Dengan Nazrief Nazri

Minggu ini slot Citra yang mengetengahkan drama-drama terbaik di TV2 cuba menonjolkan kelainan dengan menayangkan drama komedi kisah remaja yang penuh dugaan dan peristiwa menarik. Menampilkan pelakon popular Nur Fathia dan Erin Malik sebagai watak utama, drama ini turut mengetengahkan bakat pelakon baru Nazrief Nazri sebagai hero.

Menemui penonton pada 30 September ini, pukul 10.00 malam di TV2, drama bertajuk “Oren dan Ceri” ini mengisahkan jodoh sepasang remaja yang hanya berhubungan menerusi laman sosial Facebook. Kisahnya semakin menarik lagi bila realitinya jodoh tersebut ada di depan mata namun masing-masing tidak menyedarinya.

watak Ceri dan Oren

Facebook Temukan Nur Fathia dengan Pelakon Baru, Nazrief Nazri Dalam Telemovie Oren dan Ceri di TV2

Saksikan babak-babak menarik watak Hakim atau Kim, seorang remaja yang pemalu. Bergelar anak tunggal kepada orang kaya Farhen dan Zarish, membuat dirinya kekok bergaul dengan orang ramai terutamanya perempuan kerana gerak-geri dan tindak-tanduknya sering dikawal ketat.

Di kolej, Kim ibarat kera sumbang. Dia menyendiri dalam dunianya sendiri kecuali jika kursusnya memerlukan dia membuat kerja berkumpulan. Sikap menyendirinya semakin menjadi-jadi selepas kematian Zarish. Kim langsung tidak mahu bercampur dengan sesiapa, kecuali barang-barang peninggalan ibunya. Setiap hari, dia mencari surat yang dikatakan Zarish sebelum dia menghembus nafas terakhir dan sewaktu memeriksa kotak barang kemas yang ditinggal Zarish, Kim terjumpa sekeping surat lama di bawah barang-barang itu. Kim percaya surat tersebut yang dikatakan Zarish lalu tanpa membuang masa dia membaca isi kandungan yang menceritakan akan cinta yang tidak kesampaian seorang lelaki bernama Asmadi, terhadap ibunya. Kerana tidak kesampaian tersebut, Asmadi meminta supaya cincin yang telah diberi kepada Zarish dipulangkan kepadanya dan dalam masa yang sama dia menyertakan cincin Zarish bersama surat itu.

Tanpa pengetahuan Farhen, Kim nekad melunaskan amanat Zarish. Tika sibuk mencari-cari tentang diri Asmadi samada melalui carian biasa atau melalui facebook (FB), kolejnya didatangi oleh seorang gadis cantik bernama Sharifah Lira. Kehadiran gadis ini membuat remaja lelaki di kolej buntang mata dan buat pertama kalinya Kim jatuh cinta. Namun, rasa malunya memaksa dia memendam perasaannya itu. Dan apabila perasaan itu tidak tertahan lagi, Kim cuba mengenali Sharifah Lira melalui FB. Tetapi dia hampa apabila mendapati tiada akaun yang bernama Sharifah Lira.

Hari kehari Kim diselebungi kebimbangan; bimbang rakan-rakan sekolej berjaya menyambar gadis tersebut. Kim berusaha mencari akaun Sharifah Lira dan dia menemuinya apabila terdengar budak-budak perempuan di kelasnya memanggil gadis itu dengan panggilan Ceri.

Kim membuka akaun dengan nama samaran Oren, kemudian dia mempelawa Ceri yang tidak menyertakan gambar mau pun biodata peribadi menjadi teman FBnya. Ceri menerima pelawaan Oren dan sesudah itu reaksi Sharifah Lira terhadap Kim mengambarkan dialah Ceri di dalam akaun FB.

Kim berinteraksi dengan Ceri sehingga lewat malam. Pada satu pagi, Kim pitam di kaki lima restoran makanan segera sewaktu ingin membeli sarapan. Kejadian itu disedari oleh Meggi atau Mazlina, yang bertugas pada pagi itu. Dia menelefon ambulan dan menunggu sehingga Kim membuka mata.

Semenjak hari itu Kim dan Meggi sering berhubung dan bertanya khabar. Watak Meggi yang sedikit tomboy dan kasar ala-ala Meg Ryan itu membuat Kim tidak malu dan kekok dengannya lalu tanpa disedari mereka menjadi kawan baik dan Kim mengajak Meggi mengikutnya mencari Asmadi. Meg Ryan Malaysia yang gemarkan cabaran itu memberi persetujuan untuk turut serta.

Sepanjang bersama pelbagai kejadian berlaku sehingga mengwujudkan perasaan yang sukar dimengertikan mereka berdua. Dalam diam Kim menafikan dia menyintai Meggi kerana dia masih berhubungan dengan Ceri. Begitu juga Meggi; dia tidak mahu mengaku mempunyai perasaan terhadap lelaki atau pun dikenali sebagai ‘minah jiwang’.

Akhirnya, usaha Kim dan Meggi sampai ke penghujung apabila mereka menemui Asmadi. Kim menyerah cincin yang sepatutnya dikembalikan oleh ibunya dua puluh satu tahun atau dua puluh dua tahun dahulu dan menganggap tugasnya sudah berakhir, sebaliknya Asmadi yang juga merupakan kawan Farhen, memberitahu hasratnya ingin menemui kawan yang berjaya memenangi hati ibu bapa Zarish.

Sekali lagi Kim menganggap kerjanya sudah selesai apabila menemukan Asmadi dan bapanya. Dia ingin berseronok-seronok dengan Meggi dan pulang dari berseronok-seronok itu dia dikejutkan dengan satu berita yang hampir-hampir membuatnya tumbang iaitu Farhen dan Asmadi bercadang untuk berbesan bagi menyambung ikatan persahabatan yang sekian lama terputus.

Dengan perasaan tak keruan, Kim menceritakan tentang impian bapanya kepada Meggi. Meggi kesedihan apabila Kim memberitahu dia tidak boleh menerima anak gadis Asmadi kerana dia sudah mempunyai gadis pilihan hatinya sendiri iaitu Sharifah Lira. Meggi sedar bahawa Kim tidak pernah mempunyai perasaan terhadapnya selama ini. Sebelum berpisah, Meggi menasihati Kim supaya berterus terang dengan Sharifah Lira atau Ceri dan memberitahu masalah yang membingungkannya.

Namun penghujung cerita Kim menyedari bahawa identiti sebenar Ceri bukanlah Sharifah Lira yang disangkakan. Siapakah Ceri yang sebenarnya? Bagaimana pula dengan Meggi? Adakah cintanya terhadap Kim kesampaian?

Kim dan Sharifah Lira

watak Kim dan ayahnya

Norman Hakim turut berlakon

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siri Jelajah Malaysia SUPERLAWAK FC 2014

Gambar Sekitar Showcase PAYSLIP di Pelancaran Syurga Sang Pencinta