in ,

Drama Sepanjang Cuti Sekolah di RTM

PENGAJARAN DIKONGSI SEISI KELUARGA : RTM JANJIKAN 4 DRAMA MENARIK KHAS CUTI SEKOLAH DI TV2

Pelbagai pendekatan di gunakan ibu bapa untuk memanfaatkan cuti sekolah anak-anak mereka. Ada yang memilih untuk pergi melancong dan tak kurang juga menggalakan anak masing-masing mengasah bakat mereka dengan menghadiri kelas tarian, kelas vokal, kelas muzik dan kelas drama. Begitu pun aktiviti menonton televisyen bersama anak-anak juga menyumbang kepada pengisian waktu yang berguna kerana waktu yang diluangkan bersama dapat digunakan berbincang dengan anak-anak iktibar dan teladan daripada rancangan yang ditonton.

RTM mengambil inisiatif menyiarkan empat drama sepanjang cuti persekolahan ini yang disiarkan berturut-turut menerusi saluran TV2, setiap jam 1.30 petang bermula Wisel (15 Mac 2010), Hero Atuk (16 Mac 2010), Permata Hati (17 Mac 2010) dan Nek Dara (18 Mac 2010).

Membariskan pelakon Na’im Daniel, Farah Amirah, Adam Aliff Tay, Dharma Seelan, Azhar Sulaiman dan Nadia Mustafar, kisah Wisel bermula dengan empat orang kanak-kanak, Najmie, Hananie, Josh dan Benny dari Kelab Alam Sekitar dari sebuah sekolah elit yang tersesat akibat keegoaan masing-masing ketika menjalani ekspedisi di hutan. Segala-galanya berpunca apabila Cikgu Hamid iaitu guru pembimbing melantik Najmie sebagai penghulu. Najmie diberikan wisel sebagai persediaan jika berlaku apa-apa. Justeru, Benny dan Josh melakukan pelbagai perkara untuk menyakitkan hati Najmie sehinggalah mereka berebut wisel. Malangnya ketika perebutan itu berlaku, wisel terjatuh ke dalam anak sungai. Insiden yang berlaku juga menyebabkan mereka tersesat di dalam hutan.

Hero Atuk pula lakonan Eiman Danial Mohd Nizam, Eman Manan, Qazem Nor, Kenji Sawahi, Hidayatul Nabilah, Accapan, Yang Kassim dan Kartina Aziz mengetengahkan watak Iman Asyahid, kanak-kanak ‘Hiper Aktif’. Di rumah, Chek An (pembantu rumah) menjadi mangsa kenakalan Iman bila kemahuannya tidak dipenuhi hingga Chek An ambil keputusan berhenti kerja. Mereka buntu memikirkan tentang pembantu rumah kerana masing-masing ada komitmen kerja. Lalu mereka terfikir untuk menghantar Iman tinggal dengan datuknya di kampung. Sementara itu, Sahadi terkejut dengan kepulangan Zainal sekeluarga. Sebenarnya Sahadi sedang merancang untuk pergi memancing kelah bersama rakannya Salim dan Ah San.

Sahadi berfikir bagaimana hendak mendisplinkan Iman dengan mengajaknya pergi memancing. Ketika di sana mereka berdepan dengan pelbagai situasi di luar jangkaan termasuk berdepan dengan konspirasi penculikan kanak-kanak di tengah hutan itu.

Penonton kemudiannya dibawa menyaksikan drama Permata Hati tentang Amirul, Pelajar Tahun Enam yang bakal menjalani peperiksaan UPSR. Amirul memang menjadi kebanggaan kedua ibubapanya kerana kebaikan sifat dirinya hingga menjadi teladan dan ikutan adik-adiknya, tidak kurang juga rakan-rakan yang rapat dengan dirinya.

Dek kerana kebaikan hatinya Amirul juga disenangi dan disayangi oleh jiran-jiran di kampungnya. Populariti Amirul dicemburui oleh Johan, pelajar yang cukup nakal di sekolah, gemar mengusik orang lain terutama Pakcik Kassim, orang tua yang sakit dan berjalan bertongkat. Pakcik Kassim cukup kesal dengan perbuatan Johan dan berharap Johan akan berubah menjadi seorang anak muda yang bersikap positif seperti Amirul. Permata Hati menyaksikan lakonan berkesan Muhammad Na’im Daniel, Zami Ismail, Ahmad Ezzrin Loy, Elfira Loy dan Zulhuzaimy.

Nek Dara pula kisah Adi, memilih percutian sekolah ke Langkawi. Kedua ibubapanya Saiful dan Intan pada mulanya tidak bersetuju tetapi akhirnya akur dengan kehendak anak mereka. Intan bersetuju dengan syarat Saiful tidak ke rumah ibunya. Intan berkecil hati terhadap ibu Saiful yang meleterinya kerana tidak pandai masak.Di Langkawi, Adi mendapat kawan baru bernama Mei Lan dan Fifi.Mereka sering bersama dan membantu nenek Fatimah atau dikenali Nek Dara menyiang gamat kerana Nek Dara mengusahakan gamat.

Satu hari Adi digigit obor-obor ketika mandi di laut.Nek Dara telah mengubatinya dengan krim gamat. Saiful dan Intan telah mencari Adi yang tidak balik seharian dan akhirnya ditemui di rumah Nek Dara. Pertemuan antara anak dan ibu berlaku. Nek Dara sebak.Mereka saling bermaafan. Nek Dara sungguh gembira apabila anak tunggal telah kembali kepangkuan setelah sekian lama. Nek Dara dilakonkan Norlia Ramli, Faizal Husin, Aida Aris, Aidi, Fifi dan Mei Lan.

Pastikan anda menyaksikan empat drama menarik ini berturut-turut khas untuk penonton setia TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sekitar Majlis Tayangan Eksklusif & Sidang Media Evolusi KL Drift 2

Gambar Anak Kembar Ziana Zain di Majlis Slim World Beauty House