in ,

Drama Misi Betty Lakonan Siti Fazurina & Zul Yahya

MISI BERPENYAKIT LATAH

Selepas kehebatan drama komedi Nana Narita yang telah bersiaran sebanyak 13 episod, kini TV9 muncul dengan sebuah lagi drama ”pecah perut” mengisi slot OMG (Oh! Mari Gelak) iaitu Misi Betty. Drama bersiri musim pertama ini akan mewarnai kaca tv anda pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula 28 Mei 2011. Jika Nana Narita menceritakan tentang seorang gadis yang berimaginasi tinggi, Misi Betty pula merupakan seorang jururawat yang kuat berangan bahawa dia seorang watak dalam telenovela Yo Soy Betty La Fea. Bukan itu sahaja, tetapi dia juga kuat melatah dan cepat panik!

Fahim dan Misi Betty

Bukan senang untuk menjadi jururawat ataupun misi jika tidak mempunyai sifat-sifat kesabaran, kelembutan dan tegas. Mereka harus pandai mengambil hati pesakit apatah lagi mengikut rentak pesakit yang cerewet. Jadi apakah yang si kuat latah Misi Betty perlu lakukan ketika dia berhadapan dengan pelbagai situasi lucu di hospital? Dapatkah dia menjaga ketenangannya dan sifat lemah-lembutnya ketika terkejut dengan sesuatu?

Keadaan menjadi semakin teruk apabila dia diberi tugas untuk memberikan suntikan BCG kepada murid-murid sekolah tahun 6. Ketika ingin menyuntik seorang pelajar lelaki, tiba-tiba dia ternampak tikus dan terus melatah dan menyuntik murid lelaki tersebut dengan kasarnya dan membuatkan murid itu kesakitan serta luka dengan teruk. Kecuaian Misi Betty telah menyebabkan dia dipindahkan ke hospital lain. Namun dia menjadi fobia untuk menyuntik mana-mana pesakit dan dia juga masih tidak dapat menghilangkan penyakit latahnya itu.

Dato’ Jejaman, seorang pesakit tua kaya telah melamar Misi Betty untuk menjadi jururawat peribadinya di rumah. Walaupun Misi Betty sudah fobia atas kesilapannya yang lalu, tetapi kerana sayangkan kerjaya, dia tetap memberanikan diri untuk menjaga Dato’ Jejaman (Pak Man) yang memerlukan tiga suntikan insulin sehari. Dia tetap mahu bekerja untuk Pak Man kerana akan mendapat sumber pendapatan yang lebih tinggi dan sekaligus dapat menimba lebih ilmu pengetahuan.

Dalam kekalutan diri seorang insan bernama Peah atau Betty ini, dia pun ingin bercinta dan dicintai. Pak Man amat senang dengan sikap Misi Betty dan bercadang untuk menjodohkan Misi Betty untuk anak lelakinya bernama Fahim secara senyap. Namun sikap dan cara mereka berdua yang “ada saja yang tak kena” membuatkan Pak Man terpaksa membuat strategi lain. Watak Fahim yang dibawakan oleh Zul Yahya mempunyai karektor yang ego dan tidak mahu mengalah, amat berlainan daripada Misi Betty. Adakah kesabaran dan sikap melatah Misi Betty dan melembutkan ego Fahim?

Watak utama yang disandang oleh Siti Fazurina selaku Peah, hanya akan menyahut dengan nama samarannya iaitu Betty. Drama komedi dipercayai dapat memberi tarikan bersama pelakon-pelakon handalan lain seperti Dato’ Jamali Shadat, Zul Yahya, Erry Putra, Tasha Aziz dan ramai lagi. Drama ini adalah buah tangan terbaru Temenggong Pictures Sdn Bhd dan diarahkan oleh Adam Hamid.

Untuk menambah kecerian pada malam hujung minggu anda, jangan lupa untuk menontonnya bersama keluarga pada setiap Sabtu dan Ahad jam 8.30 malam hanya melalui TV9, saluran Di Hatiku atau saluran 119 di Astro.

Pak Man dan Misi Farah

Pak Man dan Misi Farah

P5101027

P5101063

P5101072

Dato Jamali Shadat

Dato Jamali Shadat

Siti Fazurina

Siti Fazurina

Erry Putra

Erry Putra

Misi Betty atau Peah

Misi Betty atau Peah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Oblivious Musim Ke 2 di 8TV

Filem Tolong! Awek Aku Pontianak