in ,

Drama Menarik Sepanjang April di TV2

Slot Citra Sepanjang April Kongsi Kisah Kemasyarakatan dan Kekeluargaan di TV2

Konflik seorang warga Bosnia yang cuba menjejak anak kandungnya di Malaysia dengan bantuan UNCHR antara drama menarik yang bakal dikongsi bersama penonton setia Slot Citra dalam bulan April ini yang disiarkan RTM setiap Selasa, jam 10.00 malam menerusi TV2.

Drama bertajuk Jerat (3 April 2012), Lompong (10 April 2012), Dewi Kasihku (17 April 2012) dan Sentuhan Isabella (24 April 2012) ini bukan sahaja memaparkan plot kisah kekeluargaan dan kemasyarakatan malah turut dibintangi oleh pelakon hebat antaranya Rahim Omar, Watie Sadali, Hasnut Rahmat, Aida Aris, Julia Ziegler, Azza Elite, Rosnah Mat Aris, Wan Maimunah, Mubarak Majid, Sarah Raisuddin, Eira Syazira, Zack X-Factor, Zamarul Hisham dan Diana Danielle.

Jerat berkongsi kisah seorang remaja bernama Rina bersama datuknya, seorang kapten bersara mambantu polis bagi menangkap perogol kanak-kanak di kawasan perumahan mereka. Rina dijadikan sebagai ‘mangsa’ bagi menjerat penjenayah tersebut. Perangkap mereka berjaya, namun orang yang ditangkap bukan penjenayah yang dicari. Rina telah memperolehi bukti siapa sebenarnya perogol tersebut. Drama ini lakonan menarik Sweet Farhana, Rahim Omar, Watie Sadali, Hasnut Rahmat, Ali Raja Lawak dan Syahru Rasin.

Kemudiannya saksikan drama Lompong dibintangi Aida Aris, Nurul Ezliza Loy, Julia Ziegler, Azza Elite, Ahmad Fadzli, Rosnah Mat Aris, Wan Maimunah, Mubarak Majid dan Sarah Raisuddin. Pengajaran ingin dikongsi tentang seorang ibu tunggal yang ingin melihat kejayaan anak-anaknya di dunia dan akhirat. Namun dia lupa bahawa pengisian agama sahaja tidak cukup dua aspek ini perlu selari. Tindakan si ibu yang membuat keputusan untuk anak-anaknya menyebabkan mereka menyimpan perasaan dan mengalami kejutan budaya setelah tamat pengajian.

Kisah cinta remaja dalam Dewi Kasihku mengisi slot sama pastinya menarik tumpuan penonton yang meminati pelakon Eira Syazira, Zack X-Factor, Azlee Khairi dan Karl Shafek. Jalan ceritanya tentang cinta antara Dewi dan Iman yang disulami dengan kejujuran dan keikhlasan. Mereka berdua tahu tanggungjawab mereka sebagai pelajar dan anak. Namun cinta yang disulami terhalang dek ibu bapa mereka. Iman tertekan dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Iman sebenarnya menerima rawatan kerana mengalami halusinasi dan imsonia lantaran terbayangkan kekasihnya, Dewi yang sebenarnya telah lama meninggal dunia.

Usah ketinggalan untuk menyaksikan Sentuhan Isabella yang mengangkat cerita wanita bernama Isabella yang menjadi mangsa peperangan dan penghapusan etnik Bosnia dan Serb pada awal tahun 90an. Isabella ketika itu mempunyai seorang anak, Sarah berusia lima tahun. Isabella terpisah dengan anaknya yang dibawa ke Malaysia oleh badan UNCHR.

Setelah lima tahun berlalu, Isabella cuba menjejaki anaknya dengan bantuan UNCHR. Isabella menemui anaknya namun dihalang oleh penjaga Sarah. Adakah kasih sayang mereka bertaut semula? Drama penuh menyayat hati ini lakonan Julia Ziegler, Zamarul Hisham, Kris Cempaka, Munira, Diana Danielle, Maimunah dan Mislina Mustaffa.

Saksikan drama-drama menarik ini hanya di TV2.

Print

DRAMA SENTUHAN ISABELLA

Drama Jerat

drama Lompong

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rumah Pusaka P. Ramlee Disita

Ngorat Aaron Aziz & Erra Fazira