in ,

Drama Menarik Cuti Sekolah di TV2

SLOT CITRA @ 2 : DRAMA-DRAMA MENARIK KHAS CUTI SEKOLAH

Cuti persekolahan telah pun bermula dan peluang ini digunakan pelajar-pelajar sekolah untuk melakukan pelbagai aktiviti berfaedah dikongsi bersama teman-teman mahu pun keluarga tersayang. Begitu pun Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak terlepas pandang untuk menghidangkan program-program menarik mengisi slot-slot siarannya sepanjang cuti sekolah ini.

Di samping menghadiahkan siri-siri kartun dan animasi yang menghiburkan, RTM menerusi slot Citra @ 2 yang cukup dikenali kerana saban minggu menghidangkan drama-drama menarik Jun ini tampil dengan tema cuti sekolah yang mengetengahkan isu realiti berlaku terhadap pelajar sekolah melibatkan drama Aloy (4 Jun 2009), 25KM Sehari (5 Jun 2009) dan Permata Hati (11 Jun 2009), jam 8.30 malam di TV2.

Aloy dibintangi Ahmad Ezzrin Loy, Adzriefaiz, Nurdiyana, Fadilah Mansor dan Mohd Idris Mohd Diah ini mengisahkan tentang kehidupan Azizul atau Aloy yang dikenali sebagai kanak-kanak lembik di kampungnya. Aloy, anak bongsu dari tiga beradik sangat disayangi oleh seluruh ahli keluarganya. Disebabkan itu, dia juga tidak digalakkan bercampur-gaul dengan kanak-kanak lain di kampungnya, bimbang berlaku sesuatu kejadian yang tidak diduga. Aloy cuma mempunyai Mira sahaja sebagai teman, dan kawan yang sering menemankannya ke sekolah.

Satu hari Aloy bergaduh dengan 4 orang budak-budak yang mengejek bapanya. Aloy kalah. Abangnya, Azman yang kebetulan balik bercuti telah mengajarnya seni mempertahankan diri kerana kasihankan Aloy. Aloy pula telah membantu memperkenalkan Azman dengan Cikgu Faridah dengan bantuan kakaknya Azura hingga membawa mereka ke jinjang pelamin. Di atas sebab keberanian, sifat ingin tahu dan suka membantu Aloy, dia telah berjaya membantu memerangkap sekumpulan pemuda kampung yang menggunakan dadah. Berjayakah misi Aloy dan Mira untuk menyelamatkan kanak-kanak yang membulinya dahulu daripada mati lemas semasa mandi di sungai?

Kemudiannya penonton diajak menyaksikan telemovie 25KM Sehari berlegar sekitar kisah rakan sebaya iaitu Ali, Lim dan Mutu yang masing-masing berusia 10 tahun. Mereka bukan sahaja bersekolah di sebuah sekolah yang sama malah sekelas dan juga tinggal setaman semenjak sekian lamanya. Seminggu sebelum cuti sekolah, mereka dikejutkan dengan berita Cikgu Murni ditimpa kemalangan. Sedih dengan berita yang sama Ali, Lim dan Mutu tidak tenteram malah merancang untuk menziarah cikgu kesayangan mereka yang banyak berjasa itu pada hari cuti sekolah kelak. Beliau juga dikatakan sedang menderita malah terlantar sakit di rumah. Setelah mendapat izin dari keluarga masing-masing, mereka pun merancang perjalanan mereka dengan di temani Abang Ben selaku penunjuk arah.

Misi mereka mudah iaitu untuk meredah perjalanan sejauh 25 kilometer sahaja dan dijangkakan hanya memakan masa 40 minit apabila menggunakan perkhidmatan bas (Dari Hulu Langat ke Ampang) . Namun insiden lain yang menimpa membuatkan perjalanan mereka tidak semudah yang disangkakan sebaliknya menarik dengan pelbagai pengalaman untuk ditempuhi. Drama menarik ini dilakonkan wataknya oleh Muhamad Naim Daniel, Chee Ka Shoong, Dharma Seelan, Farah Amira, Joey Daud, Khaleeda, Qazeem Nor dan Ramasundram.

Sebuah lagi drama yang menyusul seminggu kemudiannya pula tidak kurang sarat dengan pengajaran terutama kepada kanak-kanak sekolah iaitu Permata Hati. Ia membawa tontonan anda tentang Amirul, pelajar Tahun Enam yang bakal menjalani peperiksaan UPSR. Amirul menjadi kebanggaan kedua ibubapanya kerana bukan saja rajin belajar tetapi juga sangat rajin membantu ibu di dapur, menjaga adik-adik dan cukup warak orangnya. Selepas setiap kali bersembahyang, dia akan mengaji Quran. Kebaikan sifat dirinya menjadi teladan dan ikutan adik-adiknya, tidak kurang juga rakan-rakan yang rapat dengan dirinya. Dek kerana kebaikan hatinya Amirul juga disenangi dan disayangi oleh jiran-jiran di kampungnya.

Populariti Amirul dicemburui oleh Johan, pelajar yang cukup nakal di sekolah, gemar mengusik orang lain terutama Pakcik Kassim, orang tua yang sakit dan berjalan bertongkat. Pakcik Kassim cukup kesal dengan perbuatan Johan dan berharap Johan akan berubah menjadi seorang anak muda yang bersikap positif seperti Amirul. Pak Kassim juga berharap anak lelakinya, Hamzah mampu mengembirakan hatinya sepertimana Amirul menemaninya sehari-hari.

Mampukah Hamzah mencontohi sikap Amirul menggembirakan ayahnya? Bagaimana pula kesudahan bagi Johan yang terkenal dengan kenakalannya itu? Saksikan kemunculan drama lakonan Muhammad Na’im Daniel, Zami Ismail, Ahmad Ezzrin Loy, Elfira Loy dan Zulhuzaimy ini menghiburkan anda.

 

 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Sebalik Tabir Filem Jangan Pandang Belakang Congkak

Showcase Pra Dengar Album Terbaru Amylea Masuk PERCUMA