in ,

Drama Laungan Takbir Menjelang Aidilfitri 1430H

TELEMOVIE MALAM RAYA DI TV2 : SERPIHAN LAUNGAN TAKBIR

Malam raya menjelangnya 1 Syawal amat dinantikan semua umat Islam yang meraikan kemenangan setelah sebulan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Malah malam raya itu setiap stesen televisyen tidak pernah gagal menghidangkan drama-drama istimewa sarat menampilkan plot cerita berlegar sekitar suka duka sambutan raya dan Radio Televisyen Malaysia (RTM)  juga tidak terkecuali menyiarkan drama menarik Serpihan Laungan Takbir (20 September 2009, jam 12.30 tengah malam) di TV2.

Mengetengahkan pelakon Ahmad Tarmimi Siregar, Vanida Imran, Syukur, Umie Nazira, Umie Aida, Fasha Sanda, Lian Julian dan Fahrin Ahmad, drama terbitan Global Station Sdn. Bhd ini tampil berbeza membawakan watak seorang wanita, Siew Ling atau nama Islamnya Nur Fadillah yang di anugerahkan Allah sifat penyabar yang luarbiasa sehingga sanggup hidup berkongsi suami.

Selama 11 tahun perkahwinannya dengan Engku Imran, Fadillah tersangatlah sabar menghadapi madunya Wan Halijah demi mempertahankan ketulusan cintanya kepada Engku Imran. Perkahwinan antara Engku Imran dan Fadillah pada mulanya mendapat tentangan dari Halijah tetapi atas desakan Engku Imran yang tidak mahu berganjak dari keputusannya itu membuatkan Halijah terpaksa mengalah kerana khuatir dia akan di ceraikan sekiranya tetap membantah keputusan suaminya itu. Berbagai cara telah di usahakan oleh Halijah agar Engku Imran membenci Fadillah namun tak menjadi. Sejak hari pertama perkahwinan Engku Imran dengan Fadillah, Engku Halijah selalu memastikan yang Fadillah tidak mendapat apa-apa yang melebihi dirinya dan semua kehendak Halijah itu diterima dengan redha oleh Fadillah tanpa sebarang bantahan.

Untuk memastikan segala harta suaminya tidak jatuh ketangan Fadillah dan anak-anaknya maka Halijah mendesak supaya Engku Imran melantik anak saudaranya Halijah sebagai peguam kepada keluarga itu. Engku Imran menuruti sahaja kehendak Halijah supaya tidak berlaku pertengkaran antara mereka. Wan Salahuddin, walaupun anak saudara kepada Halijah namun adakalanya dia tidak begitu setuju apabila Halijah mendesak supaya Engku Imran menukar semua hartanya keatas nama Halijah dan anak-anaknya.

Keseronokan hari pertama menyambut puasa bertukar menjadi duka apabila tiba-tiba Engku Imran diserang sakit jantung ketika dia berada di pejabatnya dan Engku Imran meninggal dunia di dalam perjalanan ke hospital. Kematian Engku Imran memberi peluang kepada Halijah untuk membalas dendam kepada Fadillah. Dia telah membuat sekeping surat wasiat palsu yang menyatakan kononnya Engku Imran mewasiatkan supaya Halijah menjaga Fadillah dan anak-anaknya serta mereka di minta untuk tinggal serumah.

Kesabaran Fadillah membuatkan Halijah lebih mudah untuk membalas dendam. Dia menyuruh Fadillah tidur di kuarters pembantu rumah sahaja dan Fadillah di perlakukan seperti orang gaji didalam rumah itu. Anak-anak Halijah turut sama membenci Fadillah dan anak-anaknya. Hanya Firdaus, anak lelaki pertama Halijah tidak suka dengan apa yang dilakukan oleh emaknya dan adik-adiknya yang lain.

Satu hari, Firdaus masuk ke bilik emaknya untuk mendapatkan sesuatu dan tiba-tiba dia terjumpa surat wasiat asli dari ayahnya. Disitu juga dia terbaca surat wasiat palsu yang di buat oleh emaknya untuk mengenakan Fadillah. Firdaus jadi marah dan dia berdepan dengan emaknya. Di hadapan Fadillah dan Firdaus, Halijah mohon maaf dan bersedia untuk membaiki segala kesilapannya namun apabila esoknya ketika Firdaus tiada dirumah, Halijah menghalau mereka keluar sehelai sepinggang di malam raya itu.

Keesokan pagi, Halijah dan anak-anaknya bersiap hendak menziarahi kubur Engku Imran. Sebaik sampai sahaja di perkarangan kubur, Halijah terkejut apabila terserempak dengan Fadillah dan anak-anaknya. Dia pura-pura baik dihadapan Firdaus manakala Fadillah tidak lansung berani memburukkan Halijah. Mereka berjalan bersama-sama ke kubur Engku Imran. Alangkah terkejutnya Halijah apabila terlihat seorang gadis, Qistina bersama seorang anak perempuan sedang membaca yassin di kubur Engku Imran.

Siapakah gerangan gadis bersama anak kecil yang menziarahi kubur suami mereka itu? Lalu bagaimanakah Halijah menerima kebenaran yang sememangnya amat menyakitkan? Balasan apa pula diterima Fadillah di atas kesabarannya?

Untuk mengetahui kesudahannya usah ketinggalan meluangkan masa malam menjelang raya ini menyaksikan Serpihan Laungan Takbir (20 September 2009, jam 12.30 tengah malam) di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Menarik Sempena Aidilfitri TV9

I’m Not Single, Impak Maksima, Cuci, Chermin, Sumolah Dan Congkak di TV2