in

Drama Kisah Lailatul Qadar di RTM

RTM Siar Dua Drama Kisah Lailatul Qadar : Memintas Seribu Bulan dan Cahaya Lailatul Qadar

Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang ertinya, “Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu.” – Hadis riwayat Imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somit.

Keluarga bahagia pelakon-pelakon Cahaya Lailatul Qadar

Justeru minggu-minggu terakhir dihidupkan seluruh ummah Islam dengan amal ibadah yang berterusan kerana masing-masing mahu bertemu dengan malam lailatul qadar yang dijanjikan. Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut sama mengajak penonton menghayati pengertian malam yang juga disebut malam seribu bulan ini dengan menyiarkan dua telemovie menarik mengambil situasi detik menantikan lailatul Qadar.

Memintas Seribu Bulan yang bakal menemui penonton pada 18 Ogos 2011, jam 1.30 petang di TV2 menyaksikan lakonan berkesan Jalil Hamid, Munir (PhyneBallerz), Acong (SweetChild), Airis Yasmin, Hisham Ahmad Tajuddin dan Yeo Eng Hee ini menceritakan tentang perubahan sikap Pak Meon, dari seorang yang selamba dan tidak begitu mengambil tahu tentang persoalan agama dan amalan-amalannya, kepada seorang yang alim dan rajin menjengah ke surau menjelang bulan Ramadhan.
Hal ini mendatangkan kehairanan kepada rakan-rakan nakalnya, Ayob dan Lepat yang sering membuang masa dengan bersidai di warung kopi, dan tidak pernah berpuasa semasa bulan Ramadhan.

Sejak Pak Meon meninggalkan mereka, mereka menjadi terlalu hairan dan berhasrat untuk bertanyakan hal tersebut sendiri kepada Pak Meon. Setelah jenuh diasak dengan pelbagai persoalan, Pak Meon kemudiannya menerangkan kepada Lepat dan Ayob tentang niat sebenarnya. Ini menjadikan Ayob dan Lepat juga ingin turut sama dalam misi Pak Meon itu. Berbekalkan semangat ingin melihat keadaan malam “Lailatul Qadar”, mereka lalu berjaga pada setiap malam-malam terakhir terutamanya malam-malam ganjil bulan Ramadhan, namun kehampaan melanda kerana mereka tidak dapat bertemu dengan malam Qadar tersebut.

Ironisnya, pada Malam Qadar yang sebenar, iaitu malam ke-29, mereka keletihan dan tertidur, sementara tanda tanda Qadar dapat disaksikan oleh mereka yang benar-benar ikhlas beriman dan beribadah kepada Allah pada malam itu.

Menyusul kemudiannya drama Cahaya Lailatul Qadar pada 27 Ogos 2011, jam 3.05 petang di TV1 berkongsi kisah kesedihan Zaleha di atas kematian anak sulungnya bernama Amru di luar negara, menyebabkan beliau ‘mengharamkan’ sambutan Ramadhan & Aidilfitri, namun kemunculan Aqil, pemuda yang menyerupai sikap Amru pada malam 27 Ramadhan merubah situasi itu.

Hubungan mesra yang wujud antara Aqil dan keluarga Hassan dan Zaleha seolah-olah rahmat yang diturunkan oleh Allah pada Malam Lailatulqadar. Mereka seolah-olah satu keluarga yang bahagia. Zaleha seolah-olah telah mendapat kembali semangat dan dirinya.

Namun kedatangan rakan-rakan Amru pada hari raya Aidilfitri telah membuka satu misteri, apabila mereka menyatakan sememangnya Aqil adalah rakan Amru, namun Aqil juga seperti Amru meninggal dunia ketika mengalami kemalangan di Sydney.

Apakah hikmah yang tersembunyi di sebalik pertemuan itu? Siapakah Aqil dan apa yang menyebabkan Zaleha berubah? Adakah Zaleha kembali membuka hatinya redha menerima takdir Allah? Untuk mengetahui kesudahannya pastikan anda menyaksikan Cahaya Lailatulqadar di TV1.

Cahaya Lailatul Qadar lakonan Iqbal Mazalan, Kartina Aziz dan Fathil Dani.

babak dalam Memintas Seribu Bulan

Drama Cahaya Lailatul Qadar

Memintas Seribu Bulan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Razali Hussin, Yasmin Haniff dalam E-Mail Dari Ankara

Almy Nadia Niat Bertudung Dalam Telemovie Niat Hawa