in , ,

Drama GELORA DI HATI SARA Lakonan Rosyam Nor, Fauziah Latiff

Hati Sara Kembali Bergelora Mulai 12 Mei Ini Di Tv2

Jika episod siri pertama berakhir dengan kebahagian menjadi milik Asrul bersama Sara meskipun Sara dibayangi serba salah dengan keikhlasan dipamirkan madunya, Tengku Marina, mulai 12 Mei ini kesinambungan drama yang pernah mencetus fenomena di kalangan peminat setia drama bersiri kekeluargaan ini kembali menerusi Gelora Di Hati Sara 2, setiap Rabu, jam 9.30 malam di TV2.

Mengekalkan gandingan pelakon handalan Rosyam Nor bersama penyanyi bersuara gemersik Fauziah Latiff dibantu Watie Sadali, Dato’ Rahim Razali, Aida Radzwil selain Norman Hakim drama 26 episod ini berkembang dengan lebih konflik yang lebih merumitkan lagi apabila watak Sara berkeras mahu meneruskan penceraiannya dengan Asrul. Segalanya dilakukan semata-mata kerana mahu melihat kebahagian menjadi milik Tengku Marina yang dipercayai ikhlas menyintai Asrul meskipun Iskandar ingin kembali kepadanya.

Kebaikan Sara membuatkan Marina setuju untuk diceraikan. Datin Maria sangat sedih dengan keputusan Tg Marina kerana dia adalah menantu pilihannya. Seboleh-bolehnya Datin Maria mahu mengekalkan perkahwinan itu. Datin Maria berada dalam keadaan dilema kerana menantu-menantunya mahu berkorban di antara satu sama lain.

Bagaimanapun Asrul tetap memilih Sara dan mahu menceraikan Tg Marina seperti kehendak Tengku Malik. Tengku Malik memutuskan hubungan persahabatan dengan Datuk Taufik dan menganggap Asrul mengkhianati Tg Marina. Dia juga menarik semua saham dalam syarikat Datuk Taufik dan membatalkan semua perjanjian perniagaannya.

Sara meneruskan proses perceraian Diana dengan Zaidi. Zaidi yang dikenakan tuduhan pecah amanah dan menipu syarikat bapa mertuanya dibebaskan dengan jaminan RM500 000 serta dilarang meninggalkan Malaysia sementara menunggu tarikh perbicaraan. Zaidi enggan menceraikan Diana. Dia merayu kepada Diana untuk menerimanya semula dan kononnya insaf perbuatannya. Zaidi mencari jalan supaya Datuk Taufik bersimpati kepadanya dan menggugurkan dakwaan.

Pada mulanya Zaidi pura-pura menjadi baik dan pura-pura bertaubat serta menyesali perbuatannya. Zaidi cuba memenangi hati keluarga Datuk Taufik. Bagaimanapun Datuk Taufik tetap enggan melepaskan Zaidi. Walaupun sedang menunggu hari perbicaraan, Zaidi masih mempunyai niat untuk menghancurkan keluarga Datuk Taufik. Dia ingin membalas dendam kepada Sara. Bagi Zaidi, alang alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Zaidi mahu balas dendam kepada Sara yang dianggap orang paling bertanggungjawab menghancurkan hidupnya. Zaidi sengaja melanggar Sara dengan niat untuk membunuhnya. Sara cedera parah dan dalam keadaan kritikal. Tetapi nasibnya baik dia sembuh dan memulakan tugasnya semula.

Dalam kesibukan Sara menjalankan tugas-tugas di Syarikat Frontline Group, Sara tiba-tiba pengsan di pejabatnya. Doktor mengesahkan rahim Sara mengalami kecederaan yang teruk akibat kemalangan. Rahimnya terpaksa dibuang dan Sara tidak boleh melahirkan anak.

Asrul terkejut apabila Sara melarang dia menceraikan Tg Marina. Sara meminta Asrul supaya tidak menceraikan Tg Marina sebaliknya menceraikannya. Asrul terkejut dengan permintaan itu dan terpaksa akur kerana dia memang mahukan anak. Bagiamanpun dia tidak mahu menceraikan Sara. Tengku Marina yang sedang bermuram menunggu hari perceraiannya begitu gembira dengan keputusan Asrul untuk tidak menceraikannya.

Tengku Marina mendapati dia mengandung. Tetapi dia tidak mahukan anak kerana tidak bersedia. Dalam senyap-senyap Tg Marina mahu menggugurkan kandungannya. Bagaimanapun Tg Marina tidak dapat melakukannya kerana Asrul mengetahui kandungannya. Tg Marina tidak menyukai anak dalam kandungannya dan menganggap ia satu beban.

Akhirnya anak itu selamat dilahirkan. Tg Marina yang sedari awal lagi tidak mahukan kehadiran anaknya itu mengabaikan tanggungjawabnya terhadap bayi itu. Mujur ada Sara yang begitu menunjukkan rasa kasih dan sayang mendalam terhadap anak itu.

Namun masihkan ada peluang untuk Sara terus menyayangi anak itu setelah Tg Marina mahu merebut haknya mahu memisahkan keduanya kerana semata-mata dia cemburukan perhatian diberikan Asrul kepada Sara dan anak itu? Dan masihkan ada rasa keinsafan di hati wanita bernama Tg Marina itu?

Justeru usah ketinggalan menyaksikan kesudahan drama bersiri penuh konflik kekeluargaan ini dengan meluangkan masa menonton Gelora Di Hati Sara 2, setiap Rabu, jam 9.30 malam di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Da Bomba & Shah Jihan

Stylistika Siti Singkap Evolusi Fesyen