in

Drama Dendam Adam Lakonan Iera Syazira

DRAMA PENUH KONFLIK DALAM DENDAM ADAM KHAS SEMPENA LEBARAN DI RTM

Bulan Syawal yang sedang diraikan seluruh umat Islam ketika ini menggalakan kita saling bermaafan sekaligus melupuskan perasaan dendam yang terbuku di hati. Malah amalan saling bermaaf-maafan sesama insan seharusnya diteruskan sentiasa kerana ianya menimbulkan keharmonian dan kesejahteraan di kalangan masyarakat.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang sememangnya sentiasa menjanjikan drama-drama bagi memenuhi citarasa segenap lapisan penonton terutama ketika meraikan lebaran ini menjanjikan drama penuh konflik, Dendam Adam yang bakal disiarkan pada 9 Oktober 2009 (Jumaat), jam 3.00 petang menerusi saluran Dunia Ria TV2.

Dendam Adam mempertaruhkan kisah hidup pemuda bernama Adam yang menyimpan perasaan dendam terhadap saudaranya Farok. Dendam akibat sikap khianat seorang saudara dan sifat tamak seorang manusia menjadi isu utama dendam Adam. Farok yang bersekongkol dengan ibunya, telah melarikan geran tanah milik ibu Adam sehingga menyebabkan Adam membuat keputusan untuk mencari Farok di Kuala Lumpur sambil di bantu Hawa, rakan yang mencintainya dalam diam.

Semasa mencari Farok, Adam telah bertemu semula dengan Wardah iaitu rakan sekuliahnya yang merupakan saudara baru Islam. Pertemuan semula itu melahirkan kembali bibit-bibit cinta Adam terhadap Wardah sehingga menimbulkan perasaan cemburu Hawa.
 
Usaha pencarian Farok di Kuala Lumpur turut dibantu oleh bapa Hawa iaitu Hadi yang secara kebetulan telah ditipu oleh kekasih Farok bernama Eli dalam satu pelaburan skim. Secara kebetulan juga Wardah yang amat meminati seni Islam dan ingin mendalaminya telah turut ditipu oleh Eli dalam skim yang sama.
 
Setelah berlaku perselisihan faham antara Adam dan Hawa, Adam mengambil keputusan untuk  pulang ke kampung dan terus melupakan misi pencarian Farok. Namun begitu Wardah dan Basri telah menawarkan diri untuk membantu mencari Farok dan berjaya menjejakinya setelah mereka tahu Farok merupakan kekasih kepada Eli. Adakah Adam berjaya mendapatkan semula geran tanah milik ibunya? Adakah Adam dan Farok masih berdendam atau mereka berbaik semula? Jangan lupa untuk saksikan drama Dendam Adam terbitan JD Production yang akan diterajui oleh pelakon yang bakal melonjak namanya di persada antaranya Razali Hussain, Eira Syazira, Izaac Jefri serta Maimun Mutalib dan Zaibo.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Pendek Hari Raya

Peraduan Jom Menonton Filem WHITEOUT