in , ,

Drama Cinta Buat Emelda Lakonan Fizo Omar & Almy Nadia

PENGORBANAN SEORANG WANITA DEMI KASIH & CINTA

Berita baik buat semua peminat pelakon tampan Fizo Omar dan aktres lincah, Almy Nadia, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti “CINTA BUAT EMELDA”, drama terbaru di slot Aksia bermula 26 Mac 2012, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam. Drama bersiri 24 episod terbitan MIG Production Sdn. Bhd. ini juga menampilkan pelakon cilik popular, adik Mia Sara Nasuha sebagai Dania di bawah arahan Ismail Bob Hashim.

Diadaptasi dari novel ‘Kasih Antara Kita’, drama ini berkisar mengenai kehidupan Emelda yang mula berubah sejurus kehadiran Dania. Sejak Dania di sisi Emelda, hubungan Emelda dengan adik lelakinya, Emeriz mulai renggang. Walaupun tiada lagi persefahaman di antara Emeriz dan Emelda, namun Emeriz begitu menyayangi Dania.

Bekas Kekasih Emelda, Maliki Bersama Keluarganya

Tanpa diduga, Emelda bertemu Aeril Fatah yang merupakan seorang doktor yang memberi ceramah di tadika Dania. Sejak pertemuan itu, Aeril sering termenung sambil mengimbas kembali waktu lalunya. Rupa paras Emelda menyerupai seseorang yang dikenalinya. Di benak fikiran Aeril, siapakah Emelda? Namun bagi Emelda, dia sangat mengenali Aeril dan masih menyimpan gambar lelaki itu sejak 7 tahun yang lalu.

Aeril begitu berminat untuk mendekati dan menyelami sisi kisah hidup wanita bernama Emelda. Pada masa yang sama, Emelda gusar jika ia berlaku dan Aeril mahu merampas Dania daripadanya. Namun Emelda terpaksa akur apabila Aeril meminta penjelasan daripada Emelda mengenai Dania. Emelda mengaku bahawa Dania adalah anak Aeril.

Meskipun pada mulanya Aeril menjadi serba salah setelah mendapati Dania adalah anaknya, namun lama-kelamaan hubungan Aeril dan Dania menjadi semakin rapat sehinggakan Dania mula memanggil Aeril, ‘Papa’. Lantas Aeril mengambil keputusan untuk mengahwini Emelda walaupun Emelda tidak bersetuju.

Emelda telah menolak hasrat Aeril untuk mengahwininya, namun Aeril masih tetap dengan pendiriannya. Aeril menghantar rombongan meminang ke rumah Emelda tanpa pengetahuan keluarga Emelda. Aeril juga memberanikan diri memberitahu keluarga Emelda bahawa dia merupakan ayah kandung kepada Dania.

Emelda akhirnya terpaksa akur dengan hasrat Aeril dan sanggup memperjudikan nasibnya bersama lelaki yang bernama Aeril Fatah. Meskipun hatinya tidak pernah terbuka untuk insan yang bernama Aeril Fatah, namun demi Dania dia tetap mencuba sedaya upaya yang boleh. Bahagiakah perkahwinan yang dibina bukan atas dasar cinta? Mampukah Aeril Fatah menawan hati Emelda? Apakah rahsia yang disimpan oleh Aeril Fatah mengenai kehidupan silamnya 7 tahun lalu? Ingin mengetahui apakah yang berlaku seterusnya?

Saksikan “Cinta Buat Emelda” menerusi slot Akasia, yang akan menayangkan pelakon hebat, Almy Nadia, Fizo Omar, adik Mia Sara Nasuha, Erry Putra, Rabecca Nur Al-Islam, Mustapha Kamal, Amran Ismail, Aida Khalida, Diana Amir, Rykal Iskandar dan ramai, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam di TV3. Penonton yang terlepas menyaksikannya boleh menonton melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Dania Yang Dahagakan Kasih Sayang Seorang Ayah

Anak Aeril Fatah, Dania

Adakah Kebahagiaan Keluarga Aeril Fatah Dan Emelda Akan Berakhir

Dania Dan Ibunya, Emelda

Keluarga Emelda Mendapat Tahu Emelda Mempunyai Anak Luar Nikah

Emelda Terkenang Kisah Silam

Emeriz Dan Rakan Baiknya, Faiz

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yuna Samsung GALAXY Note The Sparkle Project

Program Majalah Fesyen Labuci di TVi