in

Drama Bersiri Sirah Cinta Raih Kutipan Tinggi

Sirah Cinta Raih Kutipan 630,000 Penonton di TV1

Kejayaan mencecah kutipan sehingga 630,000 orang penonton menerusi episod pertama siarannya, 11 April lalu membuktikan drama bersiri Sirah Cinta yang bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak kurang hebatnya berbanding drama bersiri mengisi slot Arca yang pernah mencetus fenomena sebelum ini, Trilogi Cinta.

Seiring dengan perkembangan plot cerita yang bakal memasuki episod seterusnya pada 1 Mei ini, drama yang menemui penonton setiap Ahad dan Isnin, jam 10.00 malam di TV1 pastinya mampu menarik lebih lagi jumlah penonton apabila konflik yang berlaku dalam diri watak utamanya Fikri lakonan Ezany Nizariff semakin bergolak dan mula berdepan dengan situasi yang mencabar.

Kesinambungan episod enam bersambung dengan babak Senah terkilan dengan pendirian ayahnya yang mahu menjodohkan Fikri dengan Nurain apabila Nurain tamat pengajian. Ini menyebabkan Senah bertambah yakin yang Tok Ayah memang ada perasaan terhadap Kalsom. Senah turut memberi amaran kepada Fikri supaya tidak berkawan dengan Fikri dengan mengungkit yang Fikri adalah anak hubungan terlarang Kalsom ketika bekerja di kota. Tindakan Senah amat mengecewakan Fikri dan atas janji Che Putih yang akan menjaga Kalsom, akhirnya Fikri nekad melarikan diri dari pulau tersebut.

Kalsom amat risau dan kecewa dengan tindakan Fikri yang meninggalkan kampung dan berjanji tidak akan pulang sekiranya dia tidak berjaya. Tok Ayah menasihati Kalsom supaya bertenang kerana dia yakin Fikri mampu menjaga diri sendiri. Akhirnya Kalsom menceritakan rahsia silam kenapa dia tidak benarkan Fikri keluar dari pulau berkenaan kerana bimbang Bakhtiar masih lagi mencari Fikri. Tok Ayah terkilan selepas 19 tahun baru Kalsom menceritakan perkara sebenarnya. Bagi Tok Ayah, sepatutnya dari awal lagi Kalsom mendedahkan perkara tersebut ke pihak polis.

Kehadiran Fikri di kota benar-benar membawa dimensi baru dalam kehidupannya. Dia bagaikan rusa masuk kampung dan terlalu jahil dengan pelbagai kecanggihan peralatan moden seperti telefon bimbit, komputer dan sebagainya. Dalam keadaan terpinga-pinga, ketika hendak melintas jalan, Fikri nyaris dilanggar oleh Rahim. Mulanya Rahim kurang senang dengan sikap Fikri yang melintas jalan tanpa menggunakan jejantas. Bagaimanapun apabila melihat Fikri terkebil-kebil, timbul rasa simpati dalam diri Rahim. Setelah mengetahui Fikri baru datang dari pulau dan tidak mempunyai arah tujuan, Rahim membawa Fikri pulang ke rumahnya.

Sepanjang berada di rumah Rahim, Fikri berasa serba kekok apabila terpaksa membantu Rahim di dapur dengan menggunakan pelbagai peralatan elektrik. Rahim mula berasa curiga dengan Fikri tetapi setelah Fikri menceritakan sejarah hidupnya yang serba terasing dengan kehidupan moden, Rahim makin bersimpati dan berjanji untuk mencari pekerjaan untuk Fikri, bagaimanapun Rahim terkasima apabila Fikri memberitahu dia hanya bersekolah sehingga Tahun Enam.

Nurain yang pulang bercuti, terkedu apabila mengetahui Fikri telah meninggalkan pulau yang banyak mencatat kenangan buat mereka. Jikapun Senah membenci Fikri kenapa harus melukakan hati Fikri dengan gelaran anak tidak ketahuan bapa? Ketiadaan Fikri benar-benar memberi kesan kepada Nurain. Ketiadaan Fikri juga memberi ruang kepada Razali untuk mendekati Nurain. Razali cuba meyakinkan Nurain yang dia memang benar-benar cintakan Nurain. Bagaimanapun Nurain tetap memberi pelbagai alasan.

Atas sokongan Rahim, akhirnya Fikri diterima bekerja sebagai pencuci pejabat di syarikat tempat Rahim bekerja iaitu Menara Impian Holdings, milik Bakhtiar. Kehadiran Fikri telah menarik perhatian anak angkat Bakhtiar iaitu Qistina. Satu hari, Fikri secara tidak sengaja menyebabkan pakaian Janet, setiausaha kepada Bakhtiar basah. Insiden yang menimpa ke atas Jenet menyebabkan rasa kurang senang Bakhtiar, sementelahan pula ketika itu Janet terpaksa menghadiri mesyuarat dengan pakaian basah. Bakhtiar mengarahkan Pengurus Perjawatan, Vello memecat Fikri serta merta. Bagaimanapun atas rayuan Qistina, akhirnya Fikri diterima semula bekerja di situ. Ini menyebabkan Fikri makin terhutang budi dengan Qistina.

Namun apakah yang berlaku seterusnya? Saksikan kesinambungan drama rantaian 24 episod ini yang turut dibintangi oleh Nasir Bilal Khan, Aida Khalida, Ammar Alfian Aziz, Puteri Sarah, Norman Hakim, Liza Abdullah dan Zaris ini hingga ke penghujungnya.

DRAMA BERSIRI SIRAH CINTA DI TV1

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fairly Legal Exclusively on DIVA Universal

Drama Agensi Abadi di Hari Pekerja