in

Astro Lancar Drama Bersiri SELUDUP

Astro Prima (Saluran 105) dan Mastermind Group Sdn Bhd memperkenalkan drama bersiri tiga belas episod, Seludup, yang dijangka akan ditayangkan menjelang hujung tahun ini. Tayangan serentak HD juga boleh ditonton di Astro Maya HD (Saluran 135).

Drama penuh aksi yang bakal memulakan penggambaran pada pertengahan Julai ini mendalami isu perdagangan haram barangan seludup di negara ini. Siri ini adalah hasil idea seorang ikon serba boleh industri televisyen, Jehan Miskin, yang merupakan Penerbit Eksekutif Mastermind Group Sdn Bhd.

Seludup diilhamkan daripada kesedaran yang semakin meningkat di kalangan masyarakat mengenai perdagangan haram barangan seludup, tiruan dan cetak rompak yang telah menjadi isu sosio-ekonomi di negara ini dan menjejaskan pendapatan, keselamatan dan kualiti hidup masyarakat. Drama ini berlatar belakangkan situasi ekonomi semasa di mana naratifnya menceritakan tentang kesungguhan seorang lelaki biasa dalam mencegah jenayah daripada mengancam keamanan kampungnya. Skripnya berkisar tentang protagonis iaitu Amran – seorang lelaki muda daripada sebuah perkampungan nelayan kecil dan usahanya menentang sindiket penyeludupan yang menggunakan nelayan di kampung tersebut untuk menyeludup barangan melalui perairannya.

Produksi ini dibarisi para pelakon terkenal dengan peneraju utamanya, Pekin Ibrahim dan Tiz Zaqyah memegang peranan sebagai Amran dan Yasmin, menghidupkan watak-watak yang mencabar tersebut. Pelakon-pelakon lain yang diumumkan pada hari Rabu termasuklah Namron, Raja Ilya dan Syafie Naswip. Jehan Miskin yang merupakan penerbit drama ini turut memainkan peranan sebagai pelakon pembantu.

“Saya berterima kasih kepada Astro kerana bersetuju membawakan konsep baru ini ke dalam produksi TV tempatan. Di Mastermind Group, kami komited dalam membawakan kandungan berkualiti yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mempunyai mesej-mesej sosial yang berguna buat para penonton. Dengan penerbitan Seludup, kami lebih bersungguh-sungguh dalam menyampaikan hiburan di samping menjalankan tanggungjawab sosial dengan membangkitkan isu-isu sosio-ekonomi serius yang telah menjadi kebimbangan di negara ini,” kata Jehan Miskin.

Laporan-laporan terbaru di media menunjukkan bahawa peningkatan dalam permintaan pengguna terhadap barangan tiruan telah menjadikan perniagaan ini sangat menguntungkan. Walaupun ramai pengguna yang menyatakan mereka membeli barangan haram kerana kurang kemampuan, kebanyakannya tidak menyedari bahawa mereka turut terlibat di dalam aktiviti jenayah yang boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat dan ekonomi.

Gambaran yang lebih besar biasanya tidak disedari pengguna yang membeli barangan tersebut di pasaran. Permulaan siri ini merupakan usaha yang serius dalam menekankan keburukan pasaran perdagangan haram di semua peringkat supaya pengguna boleh membuat keputusan yang lebih baik bagi diri masing-masing.

Turut mengulas mengenai usahasama tersebut, Pengurus Saluran Astro Prima; Namanzee Harris berkata:

“Kami gembira bekerjasama dengan Jehan Miskin yang bukan asing buat kami kerana syarikat ini telah menerbitkan beberapa drama lain seperti ‘Buta Warna’, ‘Suka Benci Kamu’ dan ‘Sengal TV’ yang telah disiarkan di Astro. Seludup mempunyai jalan cerita yang menarik dengan mesej sosial yang kuat dan barisan pelakon terkenal yang akan menarik minat penonton kami. Dengan lebih aktiviti mendekati penonton dan promosi di media sosial, kami yakin Seludup akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton.”

seludup

Peraduan Masuk Drama Seludup

Untuk mendekati dan mewujudkan rasa teruja di kalangan penonton bagi siri drama akan datang ini, Mastermind Production turut mengumumkan pelancaran peraduan #masukdramaseludup untuk memberikan peluang sekali seumur hidup kepada seorang pemenang lelaki dan seorang pemenang wanita untuk tampil di dalam sebuah drama, di samping beberapa hadiah menarik lain bernilai hingga RM6,000 setiap satu.

Peraduan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia, dari 18 hingga 35 tahun. “Disebabkan drama ini menampilkan konsep yang baru kepada penonton, kami ingin membawakan cara yang berlainan untuk berhubung dengan penonton sebelum ia ditayangkan lagi.

Peraduan ini sangat mudah – peserta hanya perlu menekan ‘like’ pada laman Facebook kami, muat naik video terbaik mereka membaca skrip pendek, kongsi video tersebut bersama rakan-rakan mereka untuk mengumpul ‘like’. Lebih banyak ‘like’ yang mereka dapatkan, lebih tinggi peluang mereka untuk memenangi pengalaman ini,” jelas Jehan.

Untuk maklumat lanjut mengenai peraduan #masukdramaseludup, sila layari dan daftar penyertaan di laman FB Seludup: www.facebook.com/seludup

Seludup

Seludup

Seludup

Seludup

Seludup

Seludup

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ariana Grande Bakal Perform di MTV Video Music Awards 2014

Spot The Celebrities dalam Muzik Video DANCE Melissa Indot