in

Drama Bersiri Sakti Delima Ditunda Buat Sementara

SIARAN DRAMA BERSIRI ‘SAKTI DELIMA’ DITUNDA SEMENTARA

Drama bersiri ’Sakti Delima’ yang sudahpun mula bersiaran di TV3 menerusi slot Lagenda jam 4.30 petang hingga 5.30 petang pada minggu lalu (3 Januari 2011) terpaksa diberhentikan untuk sementara waktu berkuat kuasa Isnin, 10 Januari 2011 berikutan arahan yang diterima daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Pihak TV3 akur dengan arahan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan telah menarik balik tayangan drama bersiri daripada slot Lagenda dengan serta-merta dan akan menyerahkan kesemua 20 episod pita rakaman drama ’Sakti Delima’ untuk proses pemantauan kepada pihak LPF demi memastikan yang jalan cerita dan elemen yang dipaparkan tidak mengandungi sebarang unsur syirik dan tahyul ketara yang boleh memesongkan akidah Islam.

Baru sahaja bersiaran sebanyak empat episod, epik klasik yang telah diadaptasi dari filem asal ”Pancha Delima” lakonan seniman veteran Tan Sri Jins Shamsuddin dan seniwati Saadiah yang mengisahkan tentang kesaktian seutas kalung yang menjadi rebutan ramai, kini diberikan nafas baru serta menampilkan barisan pelakon berbakat di bawah sentuhan kreatif pengarah Jinggo dan penulis skrip Sofia J Rhyland.

Uniknya, drama ’Sakti Delima’ diterbitkan oleh JS Pictures Sdn. Bhd. dan menampilkan barisan pelakon wanita popular tanahair yang kebanyakannya bertudung seperti Bienda, Sheila Rusly, Safura, Aida Khalida, Catriona Ross, Liza Hanim serta turut dibantu oleh Iqram Dizzly, Ungku Ismail dan Yazal Jalal.

Untuk makluman, pihak TV3 bercadang untuk menyiarkan semula drama bersiri ini menerusi slot Lagenda jam 4.30 petang hingga 5.30 petang setiap Isnin hingga Khamis pada awal bulan April 2011 apabila ’Sakti Delima’ mendapat kelulusan tapisan LPF.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Astro First Movie On Demand dari Pawagam ke Rumah Anda

Di Sebalik Anugerah Juara Lagu 25 di TV3 Malam Ini