in ,

Drama Bersiri Geng Bas Sekolah Lakonan Mia Sara Nasuha

DRAMA BERSIRI POPULAR GBS KINI KEMBALI DI ASTRO CERIA
Saksikan pengembaraan Abang Reza bersama Jay, Chempaka, Bobby, DJ dan Orked dalam musim serba baru istimewa Mac ini!

Nilai teladan yang diselitkan dalam penceritaan yang menyeronokkan di sebalik kisah-kisah penyiasatan yang menarik membuatkan drama Geng Bas Sekolah atau GBS semakin diminati dan menjadi bualan orang ramai dari segenap lapisan umur terutamanya kanak-kanak. Oleh kerana itu, atas permintaan ramai Astro Ceria yang sinonim dengan penerbitan program-program hiburan untuk kanak-kanak dengan berbesar hati membawakan drama bersiri kegemaran ramai Geng Bas Sekolah untuk musim yang kelima. Drama menarik ini bakal bersiaran pada setiap Sabtu, jam 11.00 pagi bermula 9 Mac 2013 secara eksklusif menerusi saluran 611.

Watak Utama GBS Musim 5

Sebagai kelainan, drama bersiri komedi 13 episod ini dibintangi oleh barisan pelakon cilik yang berbakat besar seperti adik Harris Alif yang memegang watak Jay, Jasmine Jessica Cross sebagai Chempaka, Brendan Gabriel Lai sebagai Bobby, Muhammad Shahzuan Aiman sebagai DJ. Istimewanya lagi, musim ini juga turut menyaksikan lakonan mantap pelakon kanak-kanak yang semakin meningkat naik dan diminati ramai iaitu Mia Sara Nasuha yang turut memegang watak sebagai Orked. Selain itu, musim kali ini turut mengekalkan Azrul Zaidi yang mendukung watak Abang Reza selaku pemandu bas.

Berbeza dengan musim-musim yang sebelumnya, drama bersiri GBS musim ini menampilkan plot penceritaan dan watak-watak baru sebagai penyambung legasi yang pastinya menjanjikan pengisian yang padat dengan hiburan dan pengajaran.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria; Hadzelynda Khairuddin berkata,

“Atas maklum balas yang kami terima dan sambutan yang sangat menggalakkan daripada para penonton setia Astro Ceria, kami dengan berbesar hati meneruskan program Geng Bas Sekolah untuk musim yang kelima kali ini.”

Geng Bas Sekolah sudah menjadi salah satu daripada program yang sinonim dengan Astro Ceria. Drama yang disajikan khas buat kanak-kanak ini bukan sahaja memberikan hiburan malah akan terus mendidik generasi ini dengan nilai-nilai teladan yang positif melalui mesej pengajaran yang diterapkan di dalam drama ini. Kita dapat saksikan sendiri bagaimana watak-watak yang di fokuskan memaparkan sifat saling bekerjasama, kebijaksanaan, saling menghormati di dalam persahabatan dan berbagai lagi nilai positif diselitkan di dalam setiap episod.

Kami sangat meggalakkan para ibu bapa terutamanya untuk membuka minda anda dengan kaedah penyampaian ilmu melalui tontonan televisyen kerana kami percaya drama yang sarat dengan pengajaran ini mampu untuk membentuk keperibadian anak-anak. Kali ini, kami juga menjanjikan Geng Bas Sekolah Musim Kelima akan menampilkan jalan penceritaan yang lebih segar serta menarik dan pasti akan memberikan kepuasan kepada penonton yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur,” katanya lagi.

Drama yang akan bersiaran selama 30 minit setiap episod ini mengisarkan tentang pengembaraan yang dilalui oleh Jay (lakonan Harris Alif), Chempaka (lakonan Jasmine Jessica Cross), Bobby (lakonan Brendan Gabriel Lai), DJ (lakonan Muhammad Shahzuan Aiman) dan Orked (lakonan Mia Sara Nasuha). Jay yang berusia 12 tahun merupakan seorang yang berkeyakinan tinggi dan bijak mengatur kata-kata serta berhujah. Orked pula berusia 7 tahun dan berpewatakan sangat aktif. Manakala kakaknya, Chempaka merupakan seorang gadis yang cantik tetapi handal di dalam seni mempertahankan diri. Bobby adalah seorang yang bijak dan digelar kamus bergerak oleh kawan-kawannya. Sahabatnya DJ pula adalah seorang pakar IT dan bijak berfesyen semasa.

Persahabatan mereka terjalin apabila Jay bertembung dengan Chempaka dan hampir menyebabkan pergaduhan. Namun, mujurlah dengan kehadiran DJ, pertelingkahan itu dapat diselesaikan malah mereka berkawan baik. Semenjak daripada peristiwa itu Jay, Chempaka, Orked, Bobby dan DJ semakin rapat dan mereka telah bekerjasama dalam melakukan penyiasatan kes-kes yang berlaku di sekolah dan kawasan kejiranan mereka.

Semasa membuat siasatan, Bobby menyedari akan persamaan yang mereka miliki dengan sebuah pasukan penyiasatan sekolah yang dikenali dengan nama GBS. Kemudian mereka berlima bercadang untuk meneruskan legasi kumpulan GBS ini dan tertubuhlah satu pasukan GBS baru yang segar dan lebih hebat daripada sebelumnya. Pelbagai pengalaman dan pengembaraan yang menyeronokkan menanti mereka di dalam setiap episod.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan cabaran dan pengembaraan kumpulan Geng Bas Sekolah Musim Kelima setiap Sabtu jam 11.00 pagi bermula 9 Mac 2013 ini hanya di Astro Ceria saluran 611. Selamat menonton!

Orked

MIA SARA NASUHA ORKED Dia adalah seorang yang sangat berani dan hebat dalam seni mempertahankan diri. Bak kata pepatah, ‘kecil-kecil cili padi’. Orked juga mampu berlari dengan pantas dan pandai membantu menyelesaikan masalah. Dia sangat rapat dengan kakaknya, Chempaka (Jasmine Jessica Cross).

DJ

MUHAMMAD SHAHZUAN AIMAN DJ DJ adalah seorang yang mengikuti aliran fesyen dan bukan sahaja dari segi pemakaian, tetapi cara perbualannya juga. Dia adalah seorang B-Boy yang hebat, sukakan muzik dan terkenal di sekolah. DJ bercita-cita untuk menjadi seorang deejay yang terkenal suatu hari nanti dan dia juga sangat mahir di dalam hal komputer.

Bobby

BRENDAN GABRIEL LAI BOBBY Bobby adalah seorang yang kelakar dan mudah keliru. Walaupun begitu, dia adalah seorang yang bijak dan boleh digelar sebagai ‘kamus manusia’. Kebolehan Bobby yang paling hebat adalah tahap memorinya yang tinggi. Walaupun begitu, dia seorang yang kuat tidur.

Jay

HARRIS ALIF JAY Kepandaiannya berkata-kata dan bijak menarik perhatian adalah contoh kepada para pelajar lain kerana keyakinannya. Dia boleh menyesuaikan diri di dalam semua keadaan, itu lah sebabnya dia boleh membawa pelbagai watak sewaktu penyiasatan GBS. Jay ialah ketua GBS yang tidak mudah cemas ketika menghadapi masalah.

Chempaka

JASMINE JESSICA CROSS CHEMPAKA Chempaka adalah seorang yang mahir di dalam seni pertahanan diri. Dia mempunyai stamina yang hebat, dan mahir juga di dalam pelbagai sukan. Dia ialah seorang gadis yang berpewatakan lasak dan mempunyai raut wajah yang cantik. Adiknya ialah Orked (Mia Sara).

Azrul (Abg Reza)

AZRUL ZAIDI ABANG REZA Abang Reza adalah seorang pemandu bas yang cemerkap. Dia kadang-kadang bernasib baik dan dapat menyelamatkan keadaan dengan tidak sengaja. Ada kalanya dia seorang yang pengecut tetapi ada kalanya berani dan efisien.

 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV2 Siar Telemovie Khas Hari Wanita Antarabangsa

Dato Siti Nurhaliza Jayakan Konsert Nusantara di Istana Budaya