in ,

Drama Bersiri Andaiku Tahu Bongkar Dilema Seorang Lelaki

13 Episod “Andaiku Tahu” Bongkar Dilema Seorang Lelaki Di TV2

Kisah bagaimana seorang lelaki bergelar anak, suami dan ayah berdepan dengan wanita-wanita yang berada di sekelilingnya termasuklah isteri, anak dan ibu diangkat melatari drama terbaharu mengisi slot Selekta Prima di TV2.

Mengetengahkan pelakon Julia Ziegler, Shahrolnizam, Lisdawati, Puteri Fateen Nasuha dan Norman Hakim, 13 episod drama bertajuk Andaiku Tahu disiarkan mulai 21 Jun 2012, setiap Khamis, jam 9.00 malam.

Menggantikan drama bersiri Makbul, ia mengisahkan Rohim, seorang lelaki yang bergelar suami, ayah dan anak kepada seorang ibu tunggal. Rohim memiliki seorang adik perempuan yang langsung tidak memahami hati seorang wanita walaupun kehidupannya dikelilingi oleh golongan wanita. Dia merasakan dirinya telah cukup memahami keperluan wanita.

Rohim berasakan dirinya cukup sempurna dan berjaya jika dibandingkan dengan rakan seusianya. Pada usia yang muda, dia telah memiliki empayar perniagaan yang hebat atas usahanya sendiri, keluarga yang bahagia serta anak perempuan yang cemerlang dalam pelajarannya bernama Norita.

Merasakan dirinya cukup sempurna, Rohim menjalinkan hubungan dengan Bella, setiausaha peribadinya yang lebih urban berbanding isterinya, Intan yang dirasakan kekampungan. Demi menjaga hati keluarga, anak dan suami yang dicintainya, Intan melakukan pengorbanan besar meminang Bella untuk suaminya.


Sayangnya pengorbanan Intan itu tidak dihargai oleh Rohim. Setelah berkahwin dengan Bella, dia mula mengabaikan Intan dan keluarganya. Ketika itu juga, Norita menyalahkan ibunya kerana mengizinkan ayahnya berkahwin lain.

Intan mengharapkan ‘payung syurga’ tetapi sebaliknya Bella bukanlah wanita seperti yang disangkakannya. Bella mahu merebut sepenuhnya kasih sayang dan kebahagiaan daripada Rohim yang sebelum ini menjadi milik Intan dan Norita. Dia mahu Rohim menceraikan Intan.

Campur tangan keluarga Rohim yang sedar Intan dipergunakan sebaliknya menimbulkan rasa marah dalam diri lelaki itu. Dia memarahi Intan yang tidak tahu menahu rancangan keluarga Rohim mahu mengembalikan Rohim ke pangkal jalan.

Intan kemudiannya membawa diri mencari ketenangan. Norita juga menumpang tinggal di rumah kawannya. Sangkaan Rohim Bella akan terus setia kepadanya meleset. Satu hari rahsia Bella menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain terbongkar. Rohim mula terfikir kekurangan dirinya hingga membuatkan Bella sanggup bermain kayu tiga, rumah tangganya porak peranda dan hubungan dengan keluarganya makin renggang.

Dalam usaha mencari semula jawapan itu, Rohim bertemu Norisah, seorang isteri teraniaya, Ika, seorang anak yang terabai dan Rohani, seorang ibu yang dahagakan kasih sayang seorang anak. Setelah pertemuan dengan ketiga-tiga wanita itu, Rohim mula sedar tentang isi hati seorang wanita. Namun adakah semuanya telah terlambat?

Lisdawati muncul dalam Andaiku Tahu

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Aaron Aziz Dihentam Parti Pembangkan Kerana Puji Menteri

Sinopsis Drama Dejavu Di Kinabalu