in ,

Drama Bermutu RTM Bersaing Sengit di Anugerah Skrin 2014

Penyertaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam anugerah yang dinanti-nantikan penggiat dan karyawan seni tanah air, Anugerah Skrin (ASK) 2014 berlangsung pada 7 November depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bukanlah untuk yang pertama kali.

Tahun ini turut menyaksikan RTM menyenaraikan pencalonan dalam Kategori Drama iaitu tiga (3) Telemovie Terbaik, dua (2) Drama Bersiri dan satu (1) Komedi. Begitu juga Kategori Bukan Drama, Bual Bicara Terbaik dan Kategori Teknikal.

Menerusi Telemovie Terbaik, tiga drama dicalonkan iaitu “Mengejar Neraka” dan “Kata Samseng” siaran di TV2 juga “Walau Siapa Pun Aku” menerusi saluran TV1. Drama “Mengejar Neraka” menggandingkan pelakon utama Pekin Ibrahim dan Lisdawati sebagai pasangan suami isteri berdasar kisah sifat cemburu dan tidak mahu Fakhri menyebelahi keluarga, membuatkan Ainun bertindak menggunakan sihir untuk membuatkan suami tunduk kepadanya.

Mengejar Neraka

Manakala “Kata Samseng” lakonan Rosyam Nor, Eman Manan dan Nasir Bilal Khan pula mengisahkan tiga orang samseng kampung Seman, Jalil dan Mokhsin yang saling bermusuhan tetapi akhirnya sedar dan saling sepakat apabila berdepan dengan saat-saat kematian. Ketika bertelagah dan apabila ada di antara mereka beralah, di antara mereka saling menyindir dan mencebik dengan kata-kata “Kata Samseng!”.

“Walau Siapa Pun Aku” berkongsi cerita Maisara menyintai Iqbal tetapi terpaksa berkahwin dengan Suffian setelah diperangkap oleh Kalsom. Akibat terpaksa berkahwin dengan Suffian, Maisara tidak dapat menerima kelahiran Aisyah. Justeru, Aisyah sering menjadi mangsa penderaan Maisara dan kebencian Suffian.

Menerusi kategori Drama Bersiri pula RTM mempertaruhkan “Evolusi Kl Drift The Series” (TV2) dan “Lara Ameena” (TV1).

Drama bersiri “Evolusi Kl Drift The Series” sebanyak 26 episod berjaya mencatat kutipan penonton 591,000 penonton memaparkan kisah kehidupan remaja yang mencari hala tuju identiti yang membawa kepada asimilasi rasa yang berupaya menjerumuskan mereka ke dalam perubahan yang ketara. Jalan ceritanya berpaksi kepada perjalanan hidup Zek yang lahir dalam sebuah keluarga berada. Akan tetapi jiwanya yang memberontak menyebabkan dirinya enggan memenuhi permintaan bappanya yang menginginkannya sebagai anak sulung antara dua beradik untuk mengendalikan syarikat menjual kereta-kereta mewah milik bapanya. Berlainan pula dengan adik Zek, iaitu Daniel yang masih menuntut di kolej, lebih menurut kata kedua orang tuanya. Dibintangi oleh Syamsul Yusof, Aaron Aziz, Norman Hakim, Puteri Sarah dan Zain Saidin ini bakal memberi saingan hangat.

babak dalam Nasi Ayam Duda

Begitu juga penyertaan “Lara Ameena”, kisah perjalanan hidup seorang eksekutif, Amena (lakonan Zarina Zainoordin) yang menuntut fasakh terhadap suaminya Fauzan. Amena sudah tidak sanggup lagi hidup bersama Fauzan yang suka mendera fizikal dan mental. Fauzan bukan saja tidak mahu insaf dari hidup yang terkeluar dari landasan Islam malah menghalang niat Ameena untuk menjadi pengamal Islam yang ikhlas. Menyedari haknya dari segi syarak, Amena membuat tuntutan fasakh. Turut berlakon Zamarul Hisham dan Iqram Dinzly.

Evolusi KL Drift The Series image poster

Seterusnya drama “Nasi Ayam Duda” disiarkan saluran TV2 dipilih tercalon memenuhi kategori Komedi yang dipertandingkan. Ia mengisahkan kehidupan seharian seorang duda bernama Sani (Eman Manan). Dia mengusahakan restoran nasi ayam yang popular di ibu kota. Restorannya yang maju membuatkan Sani tak menang tangan melayan pelanggan setiap hari. Kemunculan Timah (Adibah Noor) iaitu janda yang membekalkan ayam mentah ke restorannya, mereka kerap bertengkar walaupun disebabkan hal kecil. Sementara itu anak Sani dan Timah iaitu Jimi (Azrel Ismail) dan Elly (Ayu Ruhaizah) belajar di kolej sama dan mereka pening memikirkan gelagat orang tua mereka.

Sementara itu tiga (3) rancangan terbitan RTM turut terpilih bagi kategori Dokumentari @ Majalah Terbaik untuk Kategori Bukan Drama Anugerah Skrin 2014.

Rancangan tersebut iaitu “Simfoni Alam” dengan tajuk Pejuang Temalian, penerbit Izwan Mohd Mokhtar dan “Xplorasi” tajuk Misi Dakota, penerbit Jabir Shafie terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM. Selain itu turut dicalonkan program “Jom Ke Panggung 18” (musim ke-5), penerbit Adillah Abu Samah.

Turut tersenarai Kategori Bual Bicara Terbaik yang mempertaruhkan program “Wacana Nasional”; penerbit Noor Hishamullah Omar, “Pembentangan Bajet”; penerbit Noor Hishamullah Omar dan Muhammad Shahzil Abu Bakar juga “Kanta Prof Muhaya” dalam tajuk Mengapa Aku disisihkan; penerbit Muzaffar Mohd Salleh.

Kategori Teknikal menerusi Montaj Terbaik pula tampil menerusi rancangan “Pembentangan Bajet 2014” dengan tajuk Bajet 2014 terbitan Zunaidah Razali dan program “Wacana Nasional” juga diterbitkan Zunaidah Razali.

Kata Samseng Telemovie

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Adib Khalid Anggap Hubungan Dengan Izara Aishah Terlalu Peribadi

Penyanyi West End’s Les Miserables Bakal Perform di Istana Budaya