in

Dokumentari Keringat Senja Kongsi Kerjaya Unik Yang Diwarisi

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan sebuah dokumentari menarik yang memaparkan kehidupan warga tua yang masih bekerja dan melakukan kerja-kerja yang semakin dilupai atau sudah tidak digemari oleh generasi muda.

Pendekatan diambil RTM menyiarkan dokumentari ini dilihat mampu mengangkat usaha golongan ini yang telah melakukan pekerjaan yang sama sejak usia muda lagi. Namun atas faktor kecintaan terhadap ‘warisan lama’ ianya dilakukan agar terus dikenali oleh generasi baru dan tidak terkubur oleh arus kemodenan.

Melewati musim ke-4 siarannya, dokumentari bertajuk “Keringat Senja” ini menemui penonton mulai 8 Januari depan, setiap Rabu, pukul 12.30 tengah hari menerusi saluran TV1.

Episod pengenalannya, Nilai Sehelai Mengkuang membawa penonton mendekati Pak Cu yang menjalani rutin hariannya sebagai pencari daun mengkuang liar untuk dijadikan bekas acuan gula nisan. Perusahaan gula nisan miliknya sejak 30 tahun lalu kini telah diambil alih oleh anaknya. Begitu pun pada usia yang semakin senja, Pak Cu gigih menurunkan ilmu bagi meneruskan kelangsungan perusahaan tradisi kepada anaknya.

Menerusi episod Tukang Mahir Kereta Lembu, dekati Wak Dol yang mengabadikan diri terhadap seni pembuatan kereta lembu yang menjadi symbol sejarah negeri Melaka. Kehidupan lelaki Bugis ini dihabiskan di bengkel dan juga memberi makan lembu-lembu peliharaannya. Namun Wak Dol boleh tersenyum bangga kerana minatnya terhadap seni pembuatan kereta lembu turut diminati anak-anaknya.

Kemudiannya kongsikan kesungguhan wanita berusia bernama Kamsiah yang mengusahakan perniagaan daging salai dalam episod Rezeki Daging Salai yang cukup terkenal di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Begitu juga kesungguhan penternak lembu bernama Pak Rashid yang berjiwa kental yang menternak 80 ekor lembu secara sendirian.

Episod Pencinta Sejarah Bugis pula penonton berkongsi kecekalan Wak Dol yang kini memiliki Muzium Bugis yang mendapat kerjasama Jabatan Muzium dan Antikuiti Negara dengan terbinanya bangunan baru serba lengkap. Hampir sepanjang hidupnya lelaki ini menumpukan perhatian mengumpulkan barangan serta artifak berkaitan masyarakat Bugis.

Berkenalan juga dengan Pak Long yang menjadikan buah kelapa sebagai punca pendapatannya. Kerjanya sebagai pemetik kelapa sejak 30 tahun lalu diusahakan hingga kini. Menariknya Pak Long memiliki seekor beruk sejak 25 tahun lalu yang membantunya memetik buah kelapa. Turut dipaparkan dalam episod Beruk Beko ini masakan kuih tradisi masyarakat pantai timur iaitu kuih beko yang gigih diusahakan sehingga kini oleh mak cik Mah.

Dekati juga kehidupan Mak Su, antara pengusaha ikan pekasam yang masih menggunakan cara tradisional dalam membuat pekasam dan asam keeping yang diwarisi daripada arwah ibunya. Cuma bezanya kini dia terpaksa bersaing dengan pengusaha pekasam lain yang telah pun menggunakan kaedah komersial dan pembuatan menerusi teknologi moden.

Dalam episod Urat Besi Tok Esah pula ikuti paparan menarik kerjaya bidan kampung yang berfungsi sebagai tukang urut dan menjaga ibu lepas bersalin dari segi amalan berpantang atau sebagainya. Tok Esah bukan setakat berkemahiran mengurut malahan berkemahiran membuat minyak urut berasaskan tumbuhan semulajadi seperti daun tongkat ali, kayu muni, kunyit hitam dan serai wangi.

Suatu yang menarik pastinya dalam episod Usia Emas Jiwa Ekstrem berkenalan dengan Pak Awang yang mempunyai minat yang mendalam terhadap aktiviti motorsikal lasak atau motor cross. Pak Awang kreatif dalam mengubahsuai motorsikal jenis cub untuk dijadikan motosikal cross. Uniknya bahan-bahan terbuang seperti bekas penyimpan air, bekas plastik dan sebagainya dijadikan aksesori pada motorsikal yang diubahsuai. Pak Awang turut menubuhkan Kelab Motorsikal Lenggong dengan melibatkan golongan remaja kampung tersebut. Ia sekaligus dapat menghindarkan remaja-remaja daripada terjebak dengan gejala lumba haram.

Saksikan juga tajuk-tajuk menarik seperti Pewaris Sangkar Burung, Jari Emas Pak Bako iaitu kisah tukang gunting rambut yang sudah berusia dan Waris Pujanggan Melayu, kisah kesungguhan pembat gambus dalam mengekalkan kelangsungan tradisi masyarakat Melayu mengisi 13 episod berbeza dalam dokumentari ini hanya di TV1.

dokumentari keringat senja

episod Beruk Beko ... cara pembuatan kuih beko

episod Jari Emas Pak Bao ... kisah penggunting rambut

episod Urat Besi Tok Esah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yusry Abdul Halim & Lisa Surihani Duet Dalam Lagu Kekasih Abadi

Nisha Dirr Bakal Bertunang Dengan Edi Khushairy Esok