in

DiGi Anjur Siri Konsert Jelajah Desa

DiGi Anjur Siri Konsert Jelajah Desa

DiGi Telecommunications Sdn Bhd (“DiGi”) akan bekerjasama dengan ERA fm dan Giant Ants Talent Hub untuk membawa satu acara siri Konsert Jelajah Desa yang pasti menggegarkan ke beberapa bandar di sekitar Semenanjung Malaysia. Sebagai permulaaan, konsert Jelajah Desa yang akan bermula dari 18 November hingga 10 Disember 2011, akan diadakan di empat lokasi yang telah dipilih sendiri oleh pendengar stesen radio ERA fm, salah sebuah stesen radio di bawah naungan AMP Radio Networks (AMP).

Konsert yang akan menampilkan artis muda berbakat, Aizat serta kumpulan popular, Sixth Sense dan pelawak yang tidak asing lagi, Zizan akan diadakan di Kuantan, Pahang (18 November); Alor Setar, Kedah (3 Disember); Kerian, Perak (4 Disember) dan Tanjung Karang, Selangor (10 Disember). Rakan selebriti DiGi, Lisa Surihani, Shaheizy Sam dan juga pendatang baru dalam industri muzik, Reza Salleh dan Amir Jahari akan turut memeriahkan Konsert Jelajah Desa di lokasi terpilih.

Menurut Ketua Acara dan Penajaan DiGi, Pearly Lim, “Muzik merupakan salah satu saluran utama bagi DiGi untuk mendekati dan berinteraksi dengan pelanggan kami. Kami sentiasa prihatin akan setiap maklumbalas yang diterima daripada pelanggan yang seringkali mengeluh kerana konsert-konsert hanya diadakan di bandar-bandar besar. Kali ini DiGi akur dengan permintaan mereka dan membuat keputusan untuk mengadakan Konsert Jelajah Desa di bandar-bandar yang mereka pilih sendiri melalui ERA fm. Bergantung kepada sambutan yang diterima dari konsert kali ini, kami juga mempunyai rancangan untuk membawa siri Konsert Jelajah Desa ini ke bandar –bandar yang lain.”

Pengurus Rancangan ERA fm, Nazri Noran, berkata respons pendengar yang diterima setakat ini amat menggalakkan, “Mereka tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan penyampai ERA fm yang selama ini hanya mereka kenali melalui corong radio. Walaupun AMP dan ERA fm berpusat di Lembah Klang, pendengar yang berada berjauhan daripada kami tidak pernah kami lupakan. Sebab itulah kami sentiasa mengadakan program-program untuk membawa krew ERA fm dan muzik hit terbaik kepada mereka. Terima kasih diucapkan kepada DiGi kerana sedia bekerjasama dengan kami dan memberi peluang kepada ERA fm mengeratkan hubungan dengan pendengar kita di serata Semenanjung Malaysia.”

Menurut Pengurus Bakat Giant Ants Talent Hub, Hafizuddin Jamaluddin, “DiGi sentiasa menyediakan ruang bagi para remaja untuk menonjolkan bakat-bakat mereka menerusi program-program yang pernah dianjurkan bersama. Konsert Jelajah Desa ini akan memberi peluang yang lebih baik untuk mendekatkan artis-artis tempatan kepada pelanggan DiG yang juga pendengar ERA fm. Industri tanahair memerlukan lebih banyak syarikat korporat seperti DiGi untuk mewarnai industri muzik tanahair.”

Untuk memeriahkan lagi acara Konsert Jelajah Desa ini, DiGi akan menganjurkan peraduan khas yang menawarkan hadiah berupa telefon pintar serta pas eksklusif untuk bertemu artis jemputan, untuk semua pelanggan DiGi.

Pelanggan DiGi hanya perlu melanggan pakej CallerTunes DJ Jelajah Desa dengan hanya RM1 seminggu dengan menghantar JD ke 2016 untuk melayakkan diri dalam peraduan ini. Lapan (8) pelanggan yang membuat tambah nilai tertinggi dalam tempoh promosi, 28 Oktober hinga 10 November, akan masing-masing memenangi sebuah telefon pintar. Disamping itu, DiGi juga akan memberi 10 pasang pas eksklusif ramah mesra bersama artis untuk 10 pelanggan yang tinggal berdekatan dengan setiap lokasi. Pemenang hanya perlu menjadi 10 pelanggan pertama yang mempunyai jumlah tambah nilai tertinggi dalam tempoh yang sama.

DiGi juga akan memberi pas percuma ke Zon Rock DiGi untuk 200 pelanggan pertama yang boleh menunjukkan SMS pengesahan untuk langganan CallerTunes JD mereka. Bagi pelanggan DiGi yang ingin bersama-sama memeriahkan Konsert Jelajah Desa mereka hanya perlu membeli cenderahati khas Konsert Jelajah Desa dari wakil-wakil DiGi yang terpilih untuk mendapatkan pas ke konsert.

Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Konsert Jelajah Desa, layari www.digi.com.my/jelajahdesa

digi

Mengenai DiGi
DiGi Telecommunications Sdn Bhd menyediakan suara mudah alih, internet dan perkhidmatan jalur lebar. Ia komited untuk memacukan pertumbuhan Malaysia dengan membangunkan satu internet mudah alih dan persekitaran jalur lebar yang membolehkan perhubungan yang sebenar, mewujudkan pembangunan sosio- ekonomi, dan membantu perniagaan bertumbuh. DiGi terus menjadi berperanan sebagai pemain yang mengubah industri telekomunikasi Malaysia, dengan sejarah kukuh bagi inovasi produk dan perkhidmatan, dan adalah peneraju dalam memacukan amalan perniagaan yang progresif dan bertanggungjawab. Disenaraikan pada Bursa Malaysia, ia adalah sebahagian daripada penyedia telekomunikasi global Kumpulan Telenor.

Tentang ERA fm
ERA fm adalah radio Bahasa Malaysia berformat terulung di Malaysia, mula bersiaran pada tahun 1998. ‘Kini Hanya Memainkan Muzik Hit Yang Terbaik’, ERA fm mempunyai khalayak mencecah 4 juta dan merupakan stesen No. 1 bagi pendengar berusia di bawah 40 tahun. Lagu-lagu yang diputarkan di ERA fm merangkumi muzik semasa paling popular, sama ada tempatan mahupun antarabangsa. Sentiasa menyahut cabaran untuk meletakkan tanda aras dalam industri radio tanahair, ERA fm menyajikan bukan sahaja hiburan, tetapi juga informasi dan perkembangan terkini sambil pendengar ditemani celoteh penyampai-penyampai ‘berjiwa rakyat’ yang mampu mewarnai hari sesiapa sahaja. Setiap detik pasti riuh bersama ERA fm!

Untuk maklumat lanjut tentang ERA fm, layari www.era.fm atau ikuti fb.era.fm dan twitter.era.fm.

Mengenai Giant Ants
Giant Ants Talent Hub, ditubuhkan pada tahun 2009 dengan hasrat dan tujuan untuk memberikan platform kepada para remaja tempatan untuk mencungkil bakat mereka menerusi pelbagai aktiviti dan progam online. Program-program yang pernah dianjurkan termasuklah MyBand Rocks, Pertandingan mencipta Lagu, Open Dance Challenge dan juga terlibat di dalam pengurusan bakat untuk program-program DiGi seperti DiGi CelebriTeen, DiGi Live Sekolahku Berbakat dan sebagainya. Artis-artis Residen Giant Ants Talent Hub termasuklah Baki Zainal (8TV), Zenny Salihuddin (Biggest Loser Asia), Azizi Zakaria dan Ray Ng.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Menarik TV3 Sempena AidilAdha 2011

Drama Siri Antarabangsa di ntv7 Tahun 2012