in

Destiny in Her Hands di ntv7

Destiny in Her Hands: Drama Cina Tempatan Terbaru Akan keudara di ntv7 mulai Jun ini

Kisah seorang wanita era 60-an yang tabah mengawal takdir hidupnya

Berikutan daripada kejayaan drama “Footprints in The Sand” yang berjaya mendapat maklum balas positif, ntv7 bakal menyiarkan drama bersiri Cina tempatan terkini – “Destiny in Her Hands”. Drama 30-episod yang sarat dengan kisah cinta, perhubungan dan konflik keluarga ini akan keudara mulai 9hb Jun 2011, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Dengan keyakinan dan ketabahan, setiap insan seharusnya berupaya melakar masa depan mereka sendiri, dan bukannya bergantung kepada ramalan tangan semata-mata. “Destiny in Her Hands” mengisahkan seorang wanita yang mempunyai garisan tangan di kedua-dua telapak tangannya yang menandakan nasib buruk. Namun, dia tetap percaya bahawa dia boleh mengawal nasibnya sendiri. Walaupun dia terpaksa menghadapi pelbagai kesulitan dan dugaan hidup, dia tidak pernah berputus asa. Menerusi drama ini, penonton berpeluang menyaksikan keberanian seorang wanita dalam menghadapi kesengsaraan hidup.

Drama ini menjangkau beberapa era, iaitu dari 60-an hinggalah kini. Pelakon popular Singapura, Jeanette Aw yang mencipta namanya dalam drama bersiri “The Little Nyonya”, kini kembali sebagai watak utama drama ini, Luo Jin Yu. Dari gadis berumur 20 tahun hinggalah wanita 46 tahun yang didera, terpaksa kahwin lari, keguguran anak, serta dijangkiti penyakit jangkitan seksual, gabungan peranan yang dibawa Jeanette berjaya menyerlahkan bakat lakonannya dalam drama ini.

Barisan pelakon lain yang turut menjayakan drama ini termasuklah Steve Yap, Jess Teong, Ernest Chong (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk Golden Awards), Joey Leong, Goh Wee Ping, Monday Kang, Moo Yan Yee, Mers Sia, Tate Chan, Soo Wincci dan ramai lagi. Drama ini merupakan gandingan pertama Steve Yap dan Jeanette Aw sebagai suami dan isteri dalam cerita ini. Steve Yap membawa watak Wang De Cheng, seorang lelaki yang tegas, angkuh dan ganas yang sering memukul isterinya, Luo Jin Yu. Ernest Chong pula berlakon sebagai anak lelaki kepada Luo Jin Yu yang cacat akal akibat kerosakan otak yang dialaminya.

Merupakan anak kepada Luo Jin Hua dan Li Xiu Zhi (Jess Teong), Jin Yu dikatakan bernasib malang sejak dilahirkan. Disebabkan kebakaran yang melanda rumah ibunya ketika bersalin, dia terpaksa dilahirkan di sebuah teater.

Apabila ibunya mendapati suatu garisan di kedua-dua telapak tangan Jin Yu putus, menandakan nasib buruk, dia menyalahkan segala keperitan hidup mereka ke atas Jin Yu. Disebabkan mereka miskin, dia terpaksa berhenti dari sekolah menengah dan bekerja di sebuah kilang untuk mencari nafkah hidup. Dia juga dipaksa memberi kebanyakkan hasil titik peluhnya kepada ibunya.

Jin Yu membesar bersama dengan rakan baiknya, Wen Qi Bing dan dia berharap dapat mengahwininya kelak. Namun, salah seorang pekerja dalam kilang tersebut, Wang De Cheng suka akan Jin Yu dan mula memikatnya. Bapanya pula bersetuju untuk mengahwinkan Jin Yu kepada De Cheng supaya dia dapat menggunakan mas kahwin tersebut untuk membayar hutang. Jin Yu cuba untuk membangkang keputusan ayahnya dan mencadangkan kepada Qi Bing supaya melarikan diri bersamanya. Tetapi, Qi Bing pula membawa ibu bapanya untuk memujuknya. Disebabkan oleh kekecewaan Jin Yu terhadap tindakan Qi Bing, dia akhirnya bersetuju untuk mengahwini De Cheng tanpa menyedari bahawa inilah permulaan takdir hidupnya yang menyedihkan.

Selepas berkahwin, Jin Yu cuba sedaya upaya untuk menjadi seorang isteri yang baik walaupun ibu mertua dan adik iparnya melayannya dengan buruk. Selepas De Cheng membuka sebuah kilang membaiki kereta, dia mula berubah menjadi seorang yang angkuh dan mementingkan diri sendiri. Dia juga mula berlaku curang sehingga menjangkitkan Jin Yu dengan penyakit jangkitan seksual (STD) ketika Jin Yu sedang mengandungkan anak pertamanya. Jin Yu ingin menggugurkan anak tersebut kerana dia bimbang akan kesan penyakit tersebut terhadap perkembangan anaknya. Ibu mertuanya cuba untuk memperbaiki perhubungan antara suami dan isteri tersebut untuk memujuk Jin Yu supaya tidak menggugurkan anak mereka itu. Akhirnya, Jin Yu telah melahirkan seorang anak lelaki, Jie Ming (Ernest Chong).

Malang tidak berbau, Jie Ming menjadi cacat akal selepas mengalami demam panas yang teruk. De Cheng cuba untuk meninggalkan Jie Ming apabila kilang yang menyimpan bunga api berdekatan dengan rumah mereka meletup, Sejak peristiwa inilah, Jin Yu berjanji kepada dirinya sendiri bahawa dia tidak akan menderita dan dilayan dengan buruk lagi. Dia memutuskan untuk berjuang dan bersumpah tidak akan berputus asa terhadap Jie Ming.

Selepas itu, dia mula menggunakan bakat penulisan yang ada pada dirinya dan mula bekerja di sebuah akhbar harian tempatan. Di situ, penolong editornya, Pan Li Hua sering mendorong Jin Yu agar dapat menguatkan semangatnya untuk menjadi wanita yang mampu berdikari. Tidak lama kemudian, Jin Yu mula berkenalan dengan seorang penulis skrip dari Hong Kong. Dengan bimbingannya, Jin Yu berjaya menjadi penulis skrip.

Episode 24 _ 240

Kemudiannya, Jin Yu berpeluang menyertai sebuah kumpulan Opera Cina dan berkenalan dengan seorang lelaki berumur pertengahan, Cheng Ru Hai (Goh Wee Ping). Mereka amat serasi kerana kedua-duannya mempunyai minat yang sama. Ketika itu juga, De Cheng mula menjalin hubungan sulit dengan seorang tukang urut, Mo Ding Xiang (Brenda Chiah) dan hal ini diketahui oleh Jin Yu. Jin Yu telah berputus asa terhadap suaminya yang masih tidak mahu berubah sikap dan memutuskan untuk menceraikannya. Selepas beberapa tahun, Jin Yu mengambil keputusan untuk menerima cinta Cheng Ru Hai. Malangnya, tidak lama kemudian, Ru Hai mendapati bahawa dia menghidap kanser paru-paru. Denga pilunya, Jin Yu mula percaya bahawa garisan yang putus pada kedua-dua telapak tangannyalah yang membawa kepada takdir yang menyedihkan ini. Adakah dia akan putus asa atau terus tabah menghadapi cabaran untuk membina kehidupan yang lebih baik?

Pengurus Besar Kumpulan untuk ntv7 dan 8TV, Airin Zainul, berkata, “Destiny in Her Hands merupakan satu lagi program terbaru yang berkualiti daripada ntv7 yang berlatarbelakangkan sekitar tahun 60-an hingga masa kini. Drama ini menggambarkan bagaimana watak utama tersebut memilih untuk mempercayai diri sendiri dan menentukan takdirnnya sendiri tanpa pengaruh pihak lain.”

Tambahnya lagi, “Para penonton bolehlah menantikan banyak babak menarik dalam drama ini seperti semua drama tempatan kita yang lain. Konflik antara dua generasi, kerumitan perhubungan dan yang penting sekali, kepercayaan diri untuk mengharungi segala keperitan hidup, merupakan antara ramuan utama dalam Destiny in Her Hands yang penonton tidak seharusnya lepaskan.”

Episode 07 _ 038

Pensonic, salah satu pengilang dan pengedar peralatan elektrik rumah yang terbesar di Malaysia, kini bekerjasama dengan ntv7 dalam drama ini dan menaja beberapa papan iklan di empat lokasi yang berbeza – Lembah Klang (Jalan Kewajipan dan LDP-SS2), Pulau Pinang (Sekolah Wellesley), dan Johor Bahru (Jalan Tebrau/ Jalan Kuning/ Kompleks Membeli-belah Pelangi) dalam usaha bagi mempromosi rancangan ini.

Sebagai sebuah jenama media yang utama bagi penonton Cina yang berumur 4 tahun ke atas, ntv7 terus menyajikan rancangan-rancangan yang menarik buat para penontonnya. “Footprints in the Sand”, rancangan yang kini bersiaran di stesen ini, berjaya mencapai rating 11 TVR, mengikut kajian AC Nielsen. Dalam kata lain, terdapat kira-kira 583,000 penonton yang menyaksikan rancangan tersebut. Salah satu rating tertinggi rancangan ini adalah ketika episod keempatnya keudara dengan kira-kira 13 TVR, iaitu lebih kurang 687,000 orang yang menontonnya ketika itu. Drama tersebut dianggarkan akan memperoleh rating yang lebih tinggi lagi apabila menghampiri episod terakhir.

Mampukah seorang wanita menguasai masa depannya sendiri ketika berdepan dengan pelbagai dugaan hidup? Saksikan drama bersiri Cina tempatan Destiny In Her Hands, mulai 9hb Jun 2011, Isnin hingga Khamis, jam 10 hingga 11 malam di ntv7, Saluran Ceria Anda. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ntv7.com.my atau www.tonton.com.my, atau ikuti kami melalui Twitter dan Facebook.

Episode 02 _ 097

Episode 24 _ 218

Episode 11 _ 015

Episode 08 _ 002

Episode 02 _ 050

Episode 26 _ 123

Episode 16 _ 055

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Live Music & Musicals with AirAsiaRedTix.com This June

Enjoy U-KISS Showcase at KL Pavilion Main Entrance