in ,

Pengalaman Budiey di SEA Premiere X-Men: Days of Future Past

Esok, tanggal 22 Mei 2014 adalah hari yang ditunggu-tunggu di mana sekalian peminat filem X-Men bakal menyerang pawagam seawal malam ini. Maka demam X-Men pun bermula. Saat ketika anda mula terkena jangkitan mutant X-Men ini, Budiey dah kebah dari demam setelah terkena tempias demam itu semasa mengunjungi Singapura untuk menghadiri South East Asia Premiere X-Men: Days of Future Past yang berlangsung pada 14 dan 15 Mei yang lalu. Cukup havoc sambutannya!

Jika anda pengikut setia Budiey di Instagram pastinya sudah sedia maklum ada tiga orang pelakon yang diterbangkan khas ke negara Temasik itu. Mereka adalah pelakon utama Hugh Jackman yang membawa watak Logan dan Wolverine, Fan Bingbing yang membawa watak Blink, mutan yang mempunyai kuasa teleport dan seorang lagi pelakon terkenal berbadan kenit, Peter Dinklage yang memegang watak Dr. Bolivar Trask. Budiey respek betul dengan komitmen, kegigihan dan kecekalan mereka bertiga kerana setiap hari jadual mereka padat dengan rangka promosi filem ini.

Bayangkan mereka terpaksa terbang ke beberapa buah negara, semata untuk menjayakan rangka promosi filem ini. Anda sendiri boleh melihat gambar menarik dengan hashtag #xmenlive di Instagram. Sehari sebelum bertemu peminat di Singapura, terlebih dulu mereka diterbangkan ke Beijing, China dan selepas mendarat di Singapura, mereka akan ke destinasi terakhir iaitu di Melbourne, Australia.

X-Men: Days of Future Past

Berbeza dengan Media Jungket Spider-man, kali ini Budiey diberi peluang untuk menemubual tiga orang pelakon ini secara ’round table’. Budiey hanya dibekalkan tempoh 10 minit sahaja untuk beramah mesra dan bertanyakan soalan tentang filem ini. Ternyata, terus terang cakap, masa yang diberikan tidak cukup. Malah, Budiey kira sebagai seorang Youtuber, Budiey mengharapkan sangat dapat menemubual ketiga pelakon ini secara eksklusif seperti mana semasa filem Spider-Man yang lalu. Peluang itu rupanya datang sekali. Mungkin pada masa akan datang, Budiey dapat melakukan temubual one-to-one dengan pelakon. Itu lebih baik.

Apa-apa pun, Budiey seronok melihat sambutan orang Singapura dengan kehadiran tiga orang pelakon ini. Semasa berlangsungnya acara karpet biru di perkarangan luar Shaw House, Urban Plaza yang terletak di Orchard Road itu, ratusan peminat sanggup berdiri lama menunggu kedatangan pelakon X-Men menjejakkan kaki di sana.

Yang seronok bila tengok beberapa peminat yang sanggup mengenakan kostum dan memakai topeng watak kegemaran masing-masing. Ada yang pakai topeng Beast yang berwajah biru ketika marah, ada yang pakai kostum Wolverine siap dengan claws berkuku besi keluli, ada yang perasan kononnya dialah Charles Xavier dan tak kurang ada yang mengenakan helmet besi Erik Lehnsherr. Nasib baiklah ada yang tak pakai kostum betul-betul sebijik macam Raven aka Mystique tu. Kalaulah ada, pasti mendapat perhatian ramai sebab bulan calang-calang orang nak pakai baju biru body-fit macam tu. Haa, bukan senang!

X-Men: Days of Future Past

Demam Selfie Melanda SEA Premiere X-Men: Days of Future Past

Seawal jam 5.30 petang, Budiey dah bertolak dari hotel penginapan yang mewah di Ritz Carlton Millenia ke acara Blue Carpet yang very the Mistique Blue itu dengan berbekalkan kamera untuk merakam acara besar-besaran ini. Nasib baik dapat menemubual ketiga-tiga pelakon dan Budiey akan uploadkan video ini di Youtube Channel Budiey.com. Kepada anda yang belum subscriba, sila subscribe sekarang sebab banyak lagi video-video menarik akan dimuatnaik kat saluran Budiey.com.

Seperti biasa, jika acara laluan karpet seperti ini, sudah tentu peminat X-Men semua tak mahu melepaskan peluang melihat pelakon pujaan mereka dari jarak yang dekat. Juga pastinya ada peminat sanggup menunggu lebih lama semata-mata mahu bersalaman, berselfie dan meminta sign autograf. Jam 6 petang, keadaan di perkarangan Shaw House riuh rendah dengan sorakan apabila pelakon Hugh Jackman sampai. Walaupun ada peluang untuk berselfie, namun entah macamana Budiey takde mood nak berselfie dengan ketiga bintang X-Men.

Budiey cukup respek dengan pelakon kelahiran Australia ini sebab walaupun disahkan menghidap penyakit kanser kulit (Basel Cell Carsinoma), beliau begitu nekad, dengan gagah dan cekal sekali untuk menyertai promosi filem lakonannya di beberapa buah negara antaranya, Beijing, Melbourne dan London. Hugh Jackman kelihatan begitu sihat.

Sebelum ke acara karpet biru, sebenarnya, Budiey telah menemubual Hugh Jackman di sesi temubual round table. Ternyata, dia masih bertenaga malah melayan kami dengan cukup mesra. Meskipun beliau sangat profesional dan cukup tegas berbicara, dia melayan kami seolah sudah lama mengenali kami.

Beliau juga bersikap terbuka dan mengakui jiwanya sudah sebati dengan watak Wolverine yang mana telah mula menjalani pengambaran 14 tahun lalu ketika mana beliau mendapat anak dan anaknya kini sudah besar. Pengalaman berlakon dalam filem ini ada sentimental value dan kenangan tersendiri. Cukup fantastik, katanya. Beliau cukup seronok dan filem terbaru ini menjadi filem ke-7 dalam siri filem X-Men dalam tempoh 14 tahun.

Selesai acara karpet biru, semua media dan jemputan masuk ke pawagam terbesar itu untuk menonton filem X-Men: Days of Future Past. Masuk ni dah dua kali Budiey tonton filem ni. Jadi, kali ini Budiey tengok beberapa babak yang sudah pasti Budiey nak tonton lagi sekali. Rata-rata media yang hadir mengakui filem sekuel kali ini memang hebat dan gempak serta babak pertarungan juga tidak membosankan malah ada yang mengandaikan filem ini menjadi filem terbaik X-Men.

X-Men: Days of Future Past

X-Men: Days of Future Past

X-Men: Days of Future Past

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

More Free Seats Until 8 June

Hafiz Suip & Adira Buat Persembahan di Konsert Kilauan Emas