in

Datuk Sharifah Aini & Bob Yusof di Malam Amal Melodi Kasih

MALAM AMAL MELODI KASIH PERTEMU ORKESTRA RTM BERSAMA DUA BIDUANITA ASIA

Memegang Gelaran ‘Orkestra Paling Lama di Malaysia’ oleh Malaysia Book Of Records merupakan tanggungjawab terbesar buat sebuah organisasi muzik di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia, Orkestra RTM bukan sahaja membawa muzik mereka untuk tujuan hiburan semata-mata malah muzik turut membawa mereka untuk beramal kepada masyarakat.

Kali ini Orkestra RTM bekerjasama dengan Persatuan Pandu Puteri Cawangan Negeri Perlis sekaligus diundang khas bagi mengiringi persembahan dua biduanita terkenal dari dua buah negara iaitu Biduanita Datuk Sharifah Aini dan lagenda popular Indonesia, Ernie Djohan dalam sebuah majlis makan malam amal.

Majlis Makan Malam Amal ‘Malam Melodi Kasih’ anjuran Persatuan Pandu Puteri ini bakal berlangsung pada 15 September 2012 jam 8.00 malam bertempat di Dewan 2020, Persiaran Wawasan, Kangar Perlis.

Majlis amal ini bertujuan mengumpul dana bagi membiayai aktiviti persatuan Pandu Puteri dalam menjalankan aktiviti riadah, keilmuan dan kemasyarakatan selain memberi peluang kepada ahli-ahli Pandu Puteri untuk menyertai kursus dan persidangan di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa seterusnya menyumbang ilmu kepada para belia di Malaysia.

Persembahan selama 2 jam yang akan diacarakan oleh pengacara dan pelawak popular Dee, bakal diiringi oleh hampir 30 pemuzik Orkestra RTM di bawah pimpinan Dato’ Mokhzani Ismail. Datuk Sharifah Aini akan menyampaikan lagu-lagu popular antaranya Burung Pungguk, Bunga Tanjung, Sayang Musalmah dan beberapa lagi lagu popularnya yang lain. Manakala Ernie Djohan yang terkenal di era 70-an itu bakal akan mempersembahkan lagunya, Teluk Bayur, Kau Selalu di Hatiku dan banyak lagi. Selain itu, hadirin juga turut dihiburkan oleh penyanyi lelaki bersuara lunak, Bob Yusof sebagai penyanyi jemputan.

Bagi syarikat-syarikat yang berminat untuk membeli meja sekaligus memberi sumbangan dan membantu Persatuan Pandu Puteri boleh menyediakan cek atas nama Persatuan Pandu Puteri Perlis dan dihantar kepada Pengerusi Majlis Makan Malam Amal Persatuan Pandu Puteri Negeri Perlis 2012.

Bagi mereka yang berminat untuk menonton persembahan hebat pada ‘Malam Amal Melodi Kasih’, dapatkan meja yang berharga RM 3,000, RM 2,000 dan RM 1,000 bagi satu meja selain tiket-tiket secara individu juga turut dijual bagi orang perseorangan.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan meja, hubungi talian urus setia di 013-4888255 (Cik Marina), 012-4004442 (Pn.Harlina) 010-3808612.

Sharifah Aini

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ujibakat VOKAL Bukan Sekadar Rupa Musim Ke-2

Konsert Gemilang Singapore