in

Dato Siti Nurhaliza Lancar Album FRAGMEN

Pada jam 5 petang semalam, Budiey telah menghadiri Majlis Pelancaran Album FRAGMEN, album terbaru milik Dato’ Siti Nurhaliza yang diadakan di Le Meridien Hotel, KL Sentral, Kuala Lumpur. Album Fragmen telah pun berada di pasaran dan kesemua sembilan lagu yang didendangkan mempunyai cerita tersendiri buat penyanyi nombor satu negara ini. Sebelum menerima album ini, Budiey dah pun mendengarnya melalui Spotify & KKBOX ternyata, kesemua lagu ini ada keunikan tersendiri. Ada dua buah lagu yang Budiey suka dengar dan duk ulang lagu ni berkali-kali iaitu lagu Kau Sangat Bererti dan Terbaik Bagimu. Best! Siapa setuju sila LIKE entry ini ya.

Di majlis pelancaran ini, Dato’ Siti Nurhaliza sempat menghiburkan yang hadir dengan dua buah lagu baru iaitu Jaga Dia Untukku dan Mula & Akhir. Turut dijemput komposer dan penulis lirik serta semua yang menjayakan album Fragmen termasuklah penyanyi Awi Rafael dan Faizal Tahir.

Menurut Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin, lagu terbarunya berjudul Jaga Dia Untukku merupakan perkongsian tentang perasaannya melalui waktu-waktu sukar ketika suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau dikenali sebagai Datuk K terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.

Siti, 35, berkata, ia bercerita tentang pelbagai perasaan yang dipendam dan sukar untuk digambarkan ketika kejadian itu yang hanya dirasai oleh dirinya seorang.

“Lagu ini adalah tentang pengalaman setahun lalu ketika suami saya terlibat dengan kemalangan jalan raya, ia berkongsi tentang perasaan hiba, sedih dan berkecamuk ketika itu sehingga saya membuat untuk berhenti menyanyi selama empat bulan bagi menumpukan perhatian sepenuhnya mengaja dia. Ketika itu orang ramai tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi, jadi saya minta Aubrey Suwito (komposer) dan kakak ipar saya, Rozi yang tahu tentang keadaan itu mencipta sebuah lagu dan lirik tentang kejadian itu.”

Album yang memuatkan sebanyak lapan buah lagu itu turut menerima Anugerah Platinum apabila jualan album mencecah 5,000 unit dalam masa seminggu dikeluarkan.

Sementara itu, Siti turut mengakui agak kecewa dan geram apabila masyarakat memberi pelbagai spekulasi terhadap keadaan suaminya selepas kemalangan tersebut. Bagaimanapun, dia enggan mengambil peduli tentang perkara itu dan menganggap ia sebagai satu cabaran sebagai seorang isteri yang perlu ditempuhinya.

“Memang geramlah bila macam-macam cerita keluar tentang Datuk K ketika itu, tetapi saya sabar dan faham ia adalah kerana mereka tidak tahu keadaan sebenar suami saya. Kami tidak benarkan ramai orang datang melawat kerana Datuk K perlukan rehat dan menjalani rawatan fisioterapi setiap hari, mungkin disebabkan itu banyak spekulasi tidak betul timbul.”

Dalam pada itu, Siti berkata, kejadian tersebut mempunyai hikmah tersendiri yang menguji kesabarannya sebagai seorang isteri.

Sementara itu, bercerita tentang album Fragmen ini, Siti berkata ia sarat dengan nilai kasih sayang, semangat dan juga rasa kecintaan dalam perspektif yang lebih meluas.

Tambahnya, dia mahu menerapkan nilai-nilai positif supaya album ini bukan sahaja boleh didengar muzik dan lagunya tetapi turut menghayati lirik-lirik yang ditampilkan.

Fragmen turut memuatkan lagu seperti Aku, Mula dan Akhir, Kau Sangat Bererti, Sanubari, Terbaik Bagimu, Warna Dunia dan Membunuh Benci. – Mstar Online

1.IMG_6504

2.IMG_6534

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lagu Raya Jadi Carian Paling Top di Search Google Malaysia

Tonton Trailer Pertama Filem Annabelle The Conjuring