in

CIPTA EKSPRES 2012

CIPTA EKSPRES 2012

KUALA LUMPUR: Badan Perlindungan Hakcipta Muzik (MACP) Berhad sekali lagi meneruskan kesinambungan program tahunannya, Cipta Ekspres dalam usaha menghasil dan menambahkan khazanah lagu-lagu di kalangan ahlinya.

Penganjuran kali kelapan ini, Cipta Ekspres 2012 masih mengekal objektif utamanya itu di samping mengeratkan hubungan sesama ahli yang terdiri daripada pencipta lagu dan penulis lirik yang akan berlangsung dari 11 hingga 14 Jun ini di Residence Desa Lagoon Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun menurut Pengerusi MACP, Puan Habsah Hassan, konsep Cipta Ekspres 2012 sedikit berbeza daripada penganjuran-penganjuran sebelum ini di mana kali ini, kedua-dua komposer dan penulis yang bakal bekerjasama harus membawa sebuah melodi dan lirik dari rumah untuk dipersembahkan di sana nanti.

“Seperti dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Cipta Ekspres mempertemukan pencipta lagu dan penulis lirik di mana mereka akan digandingkan melalui undian. Cara ini dilakukan supaya kedua-dua pengkarya ini tidak memilih, sebaliknya mereka dicabar supaya bekerja dengan sesiapa sahaja.

“Cuma untuk Cipta Ekspres 2012 tahun ini, 10 komposer dan 10 penulis lirik yang terpilih serta menyatakan persetujuan, mereka perlu menyediakan sebuah karya dari rumah masing-masing dan setibanya di Port Dickson nanti mereka akan diundi untuk menentukan gandingan mereka.

“Melodi yang dibawa dari rumah itu akan diserahkan kepada pasangan penulis liriknya yang akan membuat lirik baru bagi melodi tersebut, manakala lirik yang sudah disiapkan lebih awal itu pula akan diberikan kepada komposer untuk mencipta melodi baru.

“Proses ini nampaknya lebih adil kerana kedua-dua mereka akan bekerja. Kerana sebelum ini, kami dapati ada komposer yang sudah menyiapkan beberapa melodi lebih awal dan yang bekerja hanyalah penulis lirik,” kata Habsah yang juga penulis lirik disegani.

Menerusi Cipta Ekspres 2012, dijangkakan 20 lagu dapat dihasilkan sepanjang berkampung di Port Dickson itu.

Mengenai pemilihan peserta, Habsah memberitahu Cipta Ekspres 2012 seperti juga Cipta Ekspres sebelum ini yang membuka peluang kepada ahli yang belum pernah menyertainya lagi. Seboleh-bolehnya, pihak penganjur menggalakkan karyawan muda untuk menyertai Cipta Ekspres yang dijadualkan diadakan setiap tahun.

Seperti biasa juga, 20 atau lebih lagu yang dihasilkan sepanjang bengkel Cipta Ekspres 2012 akan dipertandingkan untuk memilih yang terbaik.

“Bagaimanapun pertandingan ini lebih bersifat ‘perlawanan persahabatan’ kerana ia sebagai tanda kemuncak bengkel Cipta Ekspres. Lagu-lagu ini bakal dipersembahkan sama ada penyanyi undangan atau peserta sendiri.

“Pada malam kemuncak ini juga pihak kami menjemput syarikat-syarikat rakaman, individu perseorangan yang sedang mencari lagu atau sebagainya. Mereka yang berminat untuk mencari lagu baru di Cipta Ekspres 2012, bolehlah menghubungi MACP di talian 03-62078638.

Selain penciptaan lagu dan lirik serta pembikinan muzik sepanjang 4 hari 3 malam itu, Cipta Ekspres mengadakan aktiviti sukan di kalangan peserta kali ini yang diketuai oleh penulis lirik prolifik negara, Ad Samad.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

2012 MTV Movie Awards Winners

#TwtUpKami Perjumpaan Twitter Terbesar di Malaysia