in , , ,

Biodata & Profile Pelakon Yang Membintangi Filem DIVA

Sudah menonton filem DIVA di pawagam? Mungkin korang nak kenal siapakah pelakon yang membintangi filem ini kan? Di bawah ini biodata pelakonnya!

Ning Baizura (Kartika)
Ning Baizura Sheikh Hamzah (lahir pada 28 Jun 1975) lebih dikenali sebagai Ning dan sering dirujuk sebagai “Ratu Soul” di Malaysia. Ning merupakan gadis berdarah kacukan Arab Melayu dan Belanda, Jawa memulakan karier menyanyi secara profesional pada usia enam tahun untuk jingle tv dan radio. Beliau memulakan pembelajaran kelas vokal pada usia sembilan tahun di bawah tunjuk ajar penyanyi opera dan soprano dari Indonesia, Siti Chairani selama lima tahun. Pada waktu itu, beliau juga menyanyi bersama Koir Kebangsaan di Akademi Seni Kebangsaan dan telah ditawarkan biasiswa penuh untuk belajar dalam bidang muzik di Vienna Conservatoire tetapi terpaksa ditolak atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ning kemudian mula menceburi arena nyanyian secara komersial sejak tahun 1992 dan menjadi artis rakaman di bawah label antarabangsa seperti Sony, BMG, AMS Records Japan. Kini Ning bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music label dan memiliki sembilan album penuh dan beberapa album kompilasi. Ning juga sering memenangi beberapa anugerah dan hadiah berprestij dalam industri tanahair dan pernah membuat persembahan di United Kingdom, Italy, France, China, Indonesia, Korea, Japan, Singapore, Hong Kong and Monaco.

Ning terkenal dengan persembahan pentasnya yang bertenaga dan kebolehan vokalnya yang versatil dan unik. Beliau juga merupakan seorang pelakon yang aktif untuk lakonan berkonsep muzikal, filem, filem pendek dan beberapa telemovie. Di samping bidang nyanyian dan lakonan, Ning juga merupakan seorang pemain biola dan pemain biola pertama di Okestra Remaja Kebangsaan. Untuk filem Diva, Ning memainkan watak utama iaitu Kartika dan ini merupakan filem ketiga sebagai pelakon utama selepas Malaikat Di Jendela  pada 2001 dan Lady Boss pada 2005. ” Saya menerima tawaran untuk filem Diva ini kerana skripnya yang melodramatik dan penuh dengan konflik, humor, aksi dan juga babak yang mencabar,” Ning menjelaskan.

Beliau menyatakan apa yang membuatkannya ingin lebih berlakon dalam Diva kerana filem ini akan ditayangkan di persada Nusantara iaitu di Indonesia, India, Singapura dan Brunei. “Saya harap, filem ini akan menjadi platform untuk saya meningkatkan prestasi dan lebih mematangkan saya sebagai pelakon bukan sahaja untuk peminat tempatan tetapi juga pasaran serantau, walaupun menyanyi merupakan minat saya yang utama,” kata Ning lagi. Ning memulakan karier lakonannya dalam filem Gemilang, Bara dan Layar Lara, hanya akan terus berlakon jika filem itu dapat meningkatkan mutunya sebagai artis. “Kerana itu saya tidak terlampau aktif dalam filem. Walaubagaimanapun jika saya ditawarkan watak yang bagus, walau filem seram sekalipun, saya akan rebut peluang tersebut demi kebaikan karier saya dalam bidang yang mencabar ini,” Ning menambah.

Jeremy Thomas (Arman)
Jejaka Indonesia, Jeremy Thomas, 37 terkenal dengan lakonan drama TV dan filem Diva adalah percubaan pertama beliau di layar perak. Thomas cukup bangga digandingkan dengan Ning kerana dia mengakui Ning sebagai salah seorang bakat besar Malaysia. “Kami ada chemistry dan saya selesa bekerja dengan beliau. Saya cukup gembira bekerjasama dengan pelakon dan krew dari Malaysia kerana mereka semua ramah dan baik,” kata Thomas.

“Penglibatan saya dalam Diva bermula apabila ditanya oleh teman saya bernama Sharad yang juga pernah mengarah drama untuk saya sebelum ini,” kata Thomas. “Sharad memberitahu bahawa ada sebuah filem yang akan diterbitkan olehnya dan hanya saya yang paling sesuai untuk watak Arman. Apabila saya membaca sinopsisnya saya dapati watak Arman sangat menarik dan sesuai dengan watak yang saya sentiasa lakonkan dalam drama TV sebelum ini.”

Watak saya cukup istimewa bagi saya kerana setelah 10 tahun penglibatan saya sebagai pelakon drama TV, peluang berlakon filem adalah perkara yang memang saya nanti-nantikan selama ini. Apatah lagi filem ini juga untuk tayangan persada antarabangsa,” tambah Thomas. Bagi Thomas ini adalah satu peluang yang mencabar kerana penampilan pertama beliau dia harus bekerjasama dengan pelakon luar iaitu dari Malaysia. “Ianya merupakan sesuatu yang unik dan menarik kerana terlibat dalam filem ini ianya memerlukan usaha yang lebih bukan hanya dalam lakonan tetapi juga dalam kesabaran,” tambah beliau.

Bekerjasama dengan pengarah dari India juga membuatkan beliau bangga kerana India terkenal dengan industri mereka yang hebat selepas kehebatan Hollywood. Siti Nurhaliza pernah ditemuramah dan mengakui minat dengan lakonan Jeremy dan kekacakannya. Ketika ditanya adakah Siti akan terima tawaran berlakon jika digandingkan dengan Jeremy, Siti menjawab: “Adakah beliau sudah berkahwin?” Thomas telah dikurniakan dua orang cahayamata iaitu Axel Matthew, 9, dan Valerie Teresa, 7 hasil perkahwinan dengan model Indonesia, Ina Indayanti. Thomas adalah pemegang Ijazah dalam Pentadbiran Perniagaan.

Awal Ashari (Jay)
Awal Ashari graduan Sarjana Seni Filem dan Televisyen dari Universiti Curtin/ Kolej Lim Kok Wing berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau memulakan kariernya di agensi pengiklanan Leo Burnett sebagai eksekutif akaun di bawah naungan Pengarah Eksekutif Kreatif, Yasmin Ahmad tetapi tidak lama kerana merasakan itu bukan bidangnya.
Lahir pada 6 Ogos 1981, beliau kemudiannya menjadi pembaca berita di 8TV Twenty Hundred News selama lapan bulan pada tahun 2003. Beliau juga merupakan 30 finalis untuk pertandingan nyanyian Malaysian Idol. Pada tahun 2004 pula, Awal telah terpilih sebagai pemenang dalam pencarian model FCUK. Awal sekarang merupakan hos untuk rancangan Sensasi, yang merupakan rancangan bual bicara yang ke udara setiap Selasa jam 11 malam di TV3. Awal juga turut berlakon dalam drama bersiri Impian Illyana 2 pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 3.30 petang di TV3 dan 10.00 malam di TV9. Awal juga aktif dalam bidang peragaan dan model untuk majalah fesyen. Beliau juga pernah mengacarakan rancangan Beat TV di Astro Ria. Awal juga terlibat dengan beberapa buah drama seperti Dalam Hati Ada Cinta 2, Haryati 2 dan Janji Pulang. Jejaka 5 kaki 11″ yang cukup berbakat ini terkenal dengan sikapnya yang bijak, peramah dan rendah diri pernah diundi sebagai Cleo Most Eligible Bachelor untuk tahun 2005. Penampilan ceria, keyakinan dan personalitinya telah menarik perhatian penerbit untuk memilihnya sebagai calon yang sesuai untuk sesuatu rancangan. Persembahan dan karisma beliau juga menjadi faktor beliau sentiasa diminati. Tarikan Awal pada media massa terletak pada personalitinya yang menyerlah dan keserasian beliau di hadapan kamera dan secara live.

Untuk filem Diva, Awal memainkan watak Jay yang pada mulanya produser memilih Mawi. Awal yang mahir menyanyi dan berhadapan dengan kamera cuma berhadapan dengan masalah mengingati koreografi tarian. “Selepas berlatih selama dua hari, kami kena persembahkan tarian kami. Tapi saya tetap gembira melakukan pengambaran tersebut,” kata Awal.

“Seramai 20 penari professional di bawa dari India dan kami harus menyelaraskan tarian kami di mana setiap tarian harus di ulang-ulang sehingga ke 10 lokasi yang berlainan hanya untuk satu lagu. Lokasinya seperti Tasik Putrajaya, Putrajaya Square, Taman Botanic dan Sunway Lagoon,” Awal berkata. Awal percaya filem Diva ada tarikannya tersendiri terutama kualiti produksi, pengarahan, lagu dan kombinasi pelakon dari Indonesia dan Malaysia. “Rakyat Malaysia hari ini suka dengan filem berkaitan dengan Indonesia,” kata Awal. “Walaupun jalan cerita Diva agak simple, tetapi Sharad sebagai pengarah berjaya menggambarkan watak kompleks pelakon terutama babak nyanyian dan tarian.” “Saya percaya Diva menyerapkan trend baru kepada penonton remaja apabila babak nyanyian dan lirik yang mudah dan berulang-ulang.”

Awal juga terlibat dalam rakaman soundtrack untuk filem Diva di mana ianya akan diedarkan bersamaan dengan tarikh penayangan filem tersebut. Awal kini terlibat dengan filem terbitan Tayangan Unggul bertajuk Malaikat Maut di mana beliau memainkan watak Fendi yang merupakan teman rapat Jay Jay (Que Haidar). Untuk filem ini mereka berdua adalah ahli kumpulan Black Metal yang terlibat dengan dadah dan lumba haram. Awal juga terkenal sebagai pengacara sebuah rancangan realiti nyanyian One In A Million besama dengan pengacara wanita Marion Caunter.

Adam AF2  (Idit)
Dilahirkan pada 19 September 1983. Ketika layak sebagai 3 finalis Akademi Fantasia 2 Adam pernah menuntut di Institut Bandaraya Utama di Kota Kinabalu dalam jurusan Sistem Informasi. Beliau tampil sebagai watak jemputan dalam filem Cinta Fotokopi dan sebagai dirinya sendiri dalam filem Main-main Cinta. Adam masih berasa malu ketika berlakon buat pertama kali walaupun telah belajar dari A. Razak Mohaideen. “Untuk filem Diva, selain dari babak muzik dan tarian, watak Idit yang saya lakonkan memerlukan saya banyak menangis dan sentiasa sedih,” Idit merupakan anak kepada orang kaya dan begitu taksub kepada diva Kartika. Suatu hari, Idit membawa ibu dan bapanya menonton konsert Kartika tetapi telah mengalami kemalangan menyebabkan kematian ibu bapanya.

Bercakap sebagai seorang penyanyi, Adam berkata lagu di dalam filem Diva sangat menarik dan mempunyai lirik yang mendalam. Liriknya ditulis oleh Loloq dan lagu lagu dalam filem tersebut dikompos oleh Mithoon, seorang pengarah muzik dari India. Adam menambah lagi: “Bila saya mula-mula mendengarnya, saya terus dapat mengikut melodi dan dapat mengagak yang lagu ini akan menjadi lagu hit.” Adam juga merasakan filem Diva akan mengangkat standard filem Malaysia ke tahap yang berbeza. Usahasama yang diadakan antara India, Indonesia dan Malaysia dalam budaya pembikinan filem adalah begitu serasi.

Jessisca Iskandar (Mera)
Jessisca Iskandar atau lebih dikenali sebagai Chika dilahirkan di Jakarta pada 29 January 1988. Beliau perlu melalui ujibakat sebanyak empat kali sebelum berjaya meyakinkan pengarah untuk beliau memegang watak Mera. Beliau juga masih berlakon dalam sinetron Indonesia berjudul Cewek-Cewek Bandung. Anak bongsu kepada pasangan Hardi Iskandar dan Wulandari kali terakhir belakon di layar untuk filem Dealova. Beliau perlu melakonkan babak bercium dengan Benjamin Joshua lebih sebanyak 26 kali. “Itu adalah babak bercium yang pertama, dan yang kedua adalah lebih lagi,” ujar beliau. Beliau memulakan karier dengan bidang peragaan dan kini sedang menumpukan dalam pengajian Hiasan Dalaman di Universiti Trisakti di Jakarta. Bagi Jessisca, kesungguhan beliau dalam bidang lakonan bukan bererti mengabaikan pelajaran malah selalu menolak tawaran berlakon demi pembelajaran. “Belajar adalah untuk masa depan dan ianya adalah suatu peluang yang tidak boleh dipersia-siakan.” Model sambilan yang berdarah kacukan ini juga bermain bola keranjang dan biola pada waktu lapang.

Balkisyh (Eja)
Balkisyh Semunburkhan, 20 dilahirkan di Lahad Datu dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Bapanya seorang pegawai kelasi bersama Tentera Laut Di Raja Malaysia. Beliau tekad untuk berlakon selepas tamat tingkatan lima. “Ibu bapa saya tidak menggalakkan saya berlakon dan menyuruh saya menyambung pelajaran tetapi saya tetap berlakon kerana minat dan cinta pada lakonan.” Beliau juga pernah membuat persembahan bersama kugiran Tentera Laut Gelombang Biru semenjak beliau berumur 12. Pada tahun 2003, dia mula berlakon dalam drama TV pertama bertajuk Ada Apa Dengan Pontianak dan mula berkawan dengan krew penerbitan. Kemudian pada tahun 2005, beliau berlakon dalam siri TV Gila-gila Pengantin.

Balkisyh banyak berlakon dan memainkan watak pelakon sokongan selepas beliau menjadi 3 finalis Gadis Metro 2005. “Kelebihan saya ialah berkomunikasi dengan peminat dan penonton,” tambah gadis petah ini. Kemudian beliau juga menyedari yang beliau mempunyai bakat mengacara selepas mengacara rancangan Hello Minda tetapi mahu menumpukan kepada bidang lakonan sahaja: “Saya mahu mencari kelebihan saya untuk melakonkan berbagai watak.”

Diva merupakan filem pertama beliau sebagai watak utama dan beliau juga pernah menjadi artis jemputan untuk filem Cinta Fotokopi, Tak Ori Tapi Ok dan Dukun. Bercakap tentang bagaimana beliau mendapat watak Eja, Balkisyh berkata pengarah iaitu Sharad Sharan telah melihat gambarnya di majalah dan menjemputnya datang untuk ujibakat. “Masa ujibakat saya kena buat lima watak, sedih, gembira, takut, benci dan kecewa.” Sharad juga menyuruh beliau membaca dialog Eja yang perlu memujuk watak Arman dengan nada lembut dan tiba-tiba bertukar marah. “Selepas selesai, Sharad tersenyum lebar dan saya terus dapat watak Eja,” tambah beliau.

AC Mizal (Rudy)
AC Mizal merupakan nama yang tidak asing lagi dalam TV, Filem, teater dan industri muzik. Karier beliau bermula pada 1991 sebagai ahli kumpulan rap 4U2C dan juga telah berlakon sebanyak 13 filem termasuk Gerak Khas. Beliau sekarang merupakan pengacara rancangan bual bicara di Astro Ria berjudul AC Di Sini setiap Jumaat 9.30 malam. Terbaru, beliau baru saja berlakon dalam filem Cicak-Man.

Shenny Andrea (Siska)
Lahir pada 9 Januari 1979, Shenny ialah seorang pelakon televisyen wanita di Indonesia. Sinetron televisyen yang pernah dibintangi Shenny ialah sinetron Dia dan filem agama, Hidayah. Beliau mempunyai kegemaran menonton TV dan mendengar radio serta takut pada Cicak. Ketakutan terbesarnya ialah takut pada kegelapan dan makanan kegemaran beliau ialah Dim Sum. Kelemahan beliau ialah kepada teman dan kekuatannya ialah keluarga. Pahlawan beliau ialah ibunya dan muzik kegemaran beliau ialah R&B dan Pop.

Fauziah Nawi (Ibu Niken)
Mula berlakon semenjak usia 19 tahun, pelakon veteran kelahiran Ipoh ini telah berlakon dalam filem pertama terbitan Syed Kechik Film Production berjudul Bintang Pujaan pada tahun 1979. Kini beliau pada usia 54 tahun sentiasa dikagumi oleh industri sebagai orang seni yang berpengalaman. Fauziah pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun 1996 di Festival Filem Malaysia ke 12 dalam filem Sayang Salmah. Beliau juga telah berlakon dalam banyak drama TV dan pementasan. Mustapha Noor, Ahmad Yatim dan Joe Hafsham adalah sentiasa dianggap mentor oleh beliau. Kini beliau sedang menyiapkan skrip sebuah filem berjudul Orang Kota Bharu. Beliau juga pernah menerbitkan dua album berjudul Hitam Manis Berseri (1974) dan Kasihku Kasihmu (1975)

Pushpa Narayan (Sasha)
Pushpa pernah berlakon dalam beberapa filem berjudul Ah Lok Café, Gangster dan Sembilu 2005. Beliau juga merupakan seorang model dan telah banyak bertanding dalam pertandingan ratu cantik. Beliau pernah menyandang beberapa anugerah seperti Miss Tourism World 2005 (subsidiary) ,Miss Tourism World Asia 2005 dan Miss Malaysia Universe 2004 competition (tempat kedua). Beliau juga pernah mengacara beberapa rancangan TV seperti Simpu Bollywood dan Sensasi Bollywood juga beberapa drama seperti drama siri TV Pakistani Masuri, Sutra Bintang Yang Seribu, Gerak Khas, Kama Sutra, Skuad Elit, Thuruvangal dan Iruvar.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Corat Coret Nota Daripada Team Produksi Filem DIVA

Chat Shawal & Heliza Helmi: Antara Teruja & Teruji