in , , , , , , , ,

Ulasan Filem SYAITAN Arahan Bade Hj Azmi

Filem Syaitan adalah filem ke-17 terbitan Tayangan Unggul. Menelan belanja 1.4 juta akan menemui penonton pada 25 Januari 2007. Cerita asal ditulis oleh Khir Rahman Hassan dan diarahkan oleh Bade Haji Azmi.

Sebelum memulakan carutan, Budiey ingin mengucapkan terima kasih kepada Tayangan Unggul kerana tidak jemu untuk menjemput saya ke majlis tayangan media di GSC Mid Valley pada 17 Januari yang lalu.

Jamuan makan petang di Amarin Restoran memang lazat dengan menu ala Thainya. Jadi, kami pulang dengan perut yang kenyang dan suka hati dengan T-shirt & topi Syaitan percuma. Walaupun fikiran berkecamuk dengan santapan filem Syaitan yang penuh misteri, namun saya rasa bertuah kerana menjadi antara penulis blog yang dijemput.

Makan sambil berbual dengan pengarah Osman Ali

Antara blogger yang turut hadir, Mama Zam, Fiebie,  Fadz, dan Klubkidd. 

Klubkidd sibuk menemubual

Sebelum tayangan, kelihatan ada orang media yang berjambang ni sibuk menemubual ‘Muslim’.

Awal Shaari

Turut hadir, hos program TV3 Sensasi (Awal Ashaari) yang bakal muncul dalam filem Diva & Malaikat Maut; filem pasal budaya black metal?

INTRO: REALITI SEBENAR SYAITAN?

Melihat kepada tajuk, SYAITAN dan juga taglinenya (“Sesungguhnya Dia adalah Musuh”) perspektif serta ekspektasi awal saya pada filem arahan Bade Hj Azmi ini ialah ianya mesti sebuah filem yang berunsurkan alam ghaib dan menyeramkan. Namun, bak kata orang, anda ternganga dan terpesona dengan wajah yang disolek 2 inci tebalnya sedangkan kulit dalamnya sebenarnya anda tidak tahu lagi bagaimana rupa sebenar.

Atau jangan pandang pada kulit buku yang cantik atau senang cerita… jangan mengadili sesuatu pada luarannya sehinggalah kita menemui jawapan sebenar setelah menyelongkar rahsia di sebalik rahsia. Betul atau tidak saya cakap ini bergantung pada anda. Anda yang bakal menilai setelah menonton filem ini.

Keseluruhan filem ini sebenarnya adalah filem yang punya mutu. Anda perlu ke pawagam dan tonton dengan mata anda sendiri filem ini kerana ianya sesuai untuk santapan minda dan cubalah mengaktifkan minda untuk sedikit berfikir! Kita banyak disogokkan dengan filem yang ringan dan tidak memerlukan kita berfikir langsung.

Itu tujuannya filem ini dibikin dengan pakej yang agak berat. Dan maafkan saya sekiranya begitu teruk sekali tanggapan awal saya. Filem ini tidaklah seteruk yang disangka. Dihujungnya ada persoalan yang timbul, dihujungnya ada diskusi yang boleh dipersoalkan. Jadi, pembelajaran penting kita pada hari ini ialah jangan mudah membuat satu kesimpulan dari tajuk filem ini!

Mahmud & Saad

REALITI SYAITAN

Filem SYAITAN pada realitinya adalah sebuah filem misteri. Apabila kita bercakap tentang misteri, sudah tentu terkandung banyak sekali rahsia yang perlu kita rungkaikan, yang perlu kita bongkarkan dalam filem ini. Penonton turut diajak untuk mengkaji peranan syaitan dalam menggoda manusia. Dalam diri manusia, ada nafsu yang bermaharajelala.

Nafsu sebenarnya musuh utama manusia dari kelahiran Nabi Adam lagi. Kronologinya, anda semua sudah tahu bagaimana syaitan memperdaya Nabi Adam supaya memakan buah khuldi sehingga misi itu berjaya dan ironinya, Nabi Adam terdampar di bumi.

Apa yang biasa kita dengar, syaitan sinonim dengan kuasa jahat dan rakus. Namun, dalam filem ini memberitahu kepada kita orang yang warak dan beriman serta bertakwa pun tidak akan terlepas dari genggaman syaitan. Malah, rasa saya orang yang beriman LAGI mudah dihasut oleh syaitan.

Bukankah orang yang warak menjadi tumpuan dan target utama syaitan? Selagi tidak berjaya, selagi itu syaitan ini kan menggoda dengan menggunakan pelbagai medium dan cara. Bagaimana dan kenapa? Anda perlu tonton sendiri filem ini.

Aksi Amuk dari Que Haidar

AMARAH DAN DENDAM

Intro filem ini dibuka dengan sifat amarah yang dipamerkan oleh Saad (lakonan Que Haidar) yang berkupiah dalam satu kejadian amuk di tengah bandar. Penonton tidak diberikan titik dan puncanya kejadian sebenar. Saya keliru kerana babak ini tiada jawapan mahupun kesinambungan atau lanjutannya ketika penamat. Ianya seolah tergantung dan pengarah membiarkan penonton mencari sendiri persoalan dengan akal dan minda. Tidak semua dari kita yang faham dengan filem sebegini. Lebih parah lagi apabila penonton tidak membaca sinopsis atau ulasan bagi persediaan sebelum menonton. Apatah lagi kepada yang suka menonton filem yang lebih santai… pasti ada yang tidak faham kerana ketinggalan fakta.

Filem ini mengajak penonton untuk berfikir apakah kaitan plot dengan sub plot. Sub plot dalam cerita ini ialah kisah Mahmud (lakonan Kusyairy) yang sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan anak yang sedang sakit.  Jamilah, isteri Mahmud (lakonan Nurkhairiah) yang setia telah sedar dengan perbuatan suaminya. Dan juga cerita tentang seorang gadis istimewa bernama Ana yang didera oleh ayahnya.

Di tengah-tengahnya, anda akan dikejutkan dengan beberapa babak yang mengelirukan. Ya, memang keliru andainya anda tidak tahu yang mana satu realiti dan yang mana mmpi yang dialami oleh Muslim ketika koma. Ini merujuk kepada tragedi Muslim dilanggar oleh lori.

Suntingan filem ini begitu bercelaru, tidak sekata dan disajikan secara rawak (random). Ia disengajakan untuk menjadikannya lebih unik dan menguji minda penonton. Jadi, seandainya anda merasa bosan dengan dialog dan skrip yang membuat anda tertidur atau ingin keluar ke tandas, simpan sahaja niat anda.

Kalau anda terasa pundi kencing anda penuh sekali pun, jangan alihkan pandangan anda dari skrin… ini memungkin anda akan menjadi lebih keliru dan tidak faham langsung dengan cerita ini. Lainlah dengan orang sebelah saya yang tidur dengan lena hingga berdengkur… dalam kes ni, tak dapatlah saya nak tolong!

Sampai sekarang, saya dihantui oleh beberapa soalan yang mungkin terselindung dan sukar untuk mencari jawapannya. Apakah kaitan watak Fatimah (yang dipegang oleh Ellie Suriati) dengan Muslim? Adakah betul watak itu adalah isteri pertama Muslim? Mengapa cerita tentang gadis istimewa yang bernama Ana itu tidak dikembangkan?

Dalila disamping Muslim

PENGARUH SYAITAN

Saya akui, saya hampir tertidur pada 30 minit yang pertama. Intro yang meleret-leret dengan suntingan yang tidak berapa kemas menjemukan penonton. Saya tahu pengarah mahu menonjolkan plot yang samar dan perlahan pada peringkat awalnya dan penamatnya tanpa kita sedar, apa sebenarnya yang berlaku. Kekurangan dialog dan kalau ada pun dialog-dialog yang biasa yang tidak penting sama sekali.

Saya kira dialog-dialog dalam filem ini tidak banyak membantu saya pun. Ini peranannya penyuntingan semula dalam skrip agar berada di tahap yang lebih kemas dan boleh diterima ramai. Namun, berhati-hati dengan beberapa adegan yang ada rahsia dan makna tersirat.

Namun, apa yang saya kira boleh dipuji ialah gerakan kamera yang banyak bermain dengan unsur-unsur imej. Sinematografi memang baik. Syabas kepada Raja Mukhriz selaku pengarah fotografi. Serasi dengan filem misteri, sorotan kamera yang berseni banyak memainkan peranan penting. Memang mengkagumkan! Syabas!

Adegan Dalila dilanggar

MUTU LAKONAN

Tidak banyak yang dinaiktaraf oleh hero-hero Malaysia dalam filem ini. Lakonan Rosyam Nor memang berkesan walaupun ianya statik dan tidak banyak berkembang dengan baik. Sebelum tontonan pun saya sudah dapat menjangka bagaimana watak Muslim yang sudah beristeri dan seorang anak ini dimainkan oleh Rosyam.

Apa yang saya lihat, tidak ubah dengan filem-filem lakonan Rosyam sebelum ini. Begitu juga dengan lakonan Lisdawati yang memegang watak Dalila, seorang gadis yang tertekan dan memberontak secara batiniahnya ekoran daripada kahwin paksa.

Pada saya, karakter stress atau tertekan tidak ditonjolkan dengan jelas malah dibayangi oleh sifat lemah lembut, naif, jiwa yang goyah dan sopan santun Dalila. Perancangan yang teliti oleh Saad menghasut Dalila untuk membunuh Muslim mengelabui mata penonton pada awalnya. Selebihnya, watak Dalila tidak banyak mengkagumkan saya kecuali keupayaan Lisdawati melakukan adegan lasak dan stunt ketika mana Dalila dilanggar oleh sebuah kereta.

Oh ya, ada 3 babak stunt dalam filem ini iaitu ketika perlanggaran kereta yang dinaiki Muslim dengan lori dan babak Muslim (Rosyam) terjun dari balkoni rumah setinggi 20 meter? Memang agak sukar untuk bikin aksi lasak sebegini.  Saya suka dengan lakonan Que Haidar sebagai orang alim yang penuh konflik. Mungkinkah filem ini bakal menaik taraf sebagai pelakon yang serba boleh… saya sekadar berharap!

Mungkin kita tidak biasa melihat Que Haidar membawa watak seorang pemuda yang warak dan pada masa yang sama berhati jahat dan hilang pendirian. Saya juga ingin memuji lakonan Liyana Jasmay, seorang pelakon baru yang boleh diasah bakatnya. Bukan senang untuk membawa watak seorang budak remaja terbiar yang cacat mental dan pada masa yang sama memiliki keistimewaan dalam membaca niat seseorang.

Lakonan Norkhiriah yang kita kenali dalam filem GUBRA pada mencetuskan konflik dalam cerita ini. Watak yang penuh melankolik, suram dan cemas ditampilkan dengan begitu sederhana namun memang berkesan sekali. Memang sesuai dan matching dengan pelakon yang berbakat ini. Watak Doktor Helmi lakonan Azri Iskandar hanya sekadar tempelan dan penghias ruang yang kosong.

Namun, yang mengelikan hati saya ketika babak di hujung cerita ini di mana, perbualan Ellie Suriati dengan anaknya dalam kereta. Kedengaran jelas di telinga saya, seperti Ellie menghafal skrip dengan menyebut satu persatu patah kata. Seolah mahu mengajar penonton tentang peranan syaitan. (Dialog itu bukan ditujukan kepada anaknya tetapi kepada penonton!)

Ana didera

5 sudut mengapa anda mesti tonton filem Syaitan:

1. Sinematografinya yang superb! Ada seni dan punya mutu dan standard yang tersendiri.

2. Walaupun teknik suntingan secara rawak, namun itulah uniknya filem ini. Mengajar kita untuk membaca dan berfikir melalui gambaran yang penuh rahsia tersirat.

3. Aksi stunt yang begitu lasak dan penuh teliti. Ini merujuk kepada adegan ketika mana Dalila dilanggar kereta dalam gerakan perlahan. Juga aksi terjunan Muslim dari balkoni apartment yang tinggi.

4. Misterinya akan terbawa-bawa ke luar pawagam dimana anda akan terus berbincang dan berkongsi pendapat dengan rakan anda tentang jawapan kepada misteri. Anda selesaikanlah sendiri misteri dengan mengumpulkan bukti-bukti yang boelh dipercayai. Ini merujuk kepada mengapa Muslim ingin mengambil foto untuk diberikan kepada Dalila.

5. Peranan filem ini dalam mendidik jiwa manusia agar berhati-hati dengan hasutan syaitan. Bukan sekadar tonton dan pulang, anda perlu juga mengaitkan filem ini dengan dunia realiti yang sedang anda lalui.

6. Pengarahan Bade Hj Azmi untuk filem ini membuktikan beliau seorang yang versatile kerana berani mencuba untuk merealisasikan filem berbentuk thriller ini. Kelainan dan keunikan filem ini terletak pada garapan, mutu lakonan, pembikinan yang totally berbeza dengan apa yang diarahkan oleh Bade sebelum ini. Dan ini merupakan aset yang dapat menjadi tarikan utama penonton.

MORAL:

1. Hargailah apa yang kita ada dan segala nikmat perlu disyukuri. Kalau silap kemudi, tidak perlu untuk menambah bini sorang lagi. Seperti Muslimlah anda akan jadi. Sudah beristeri dan seorang anak, ada hati nak kahwin lagi. Nah! Ambik! Rupanya bini baru yang disayangi, yang pijak semut tak mati adalah dalang yang tersembungi.

2. Jangan jadi seperti Saad. Walaupun warak dan alim serta lebai, tapi menemui jalan buntu.

3. Intipati filem ini berkisar pada syaitan yang sebenarnya wujud dalam diri manusia. Bak kata Bade, walaupun kita tidak menyedari akan syaitan, namun syaitan akan tetap berada di sekeliling kita dan sentiasa berusaha menyesatkan manusia.

4. Jangan mendera anak dan memaksa anak berkahwin dengan suami orang! Hehehe!

Selebihnya saya menjemput anda untuk menambah di ruangan komen.

BACA ULASAN LAIN:

1. Klubbkid

2. Fiebie

ARTIKEL BERKAITAN:-

1. Filem Syaitan?

2. Rasukan Filem Seram

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rasukan Filem Seram KUNTILANAK VS SYAITAN Yang Makin Trending di Pawagam

Betul Ke Ella Akan Berkahwin?