in ,

Betul Ke Ahli Seniman Boikot Perjumpaan Lima Artis Veteran?

[dropcap]A[/dropcap]hli-ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dijangka akan memboikot satu majlis perjumpaan dan sidang media yang akan diaturkan oleh artis veteran Abu Bakar Omar dan empat yang lain pada Ahad ini.

Presidennya, Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata langkah itu bertujuan untuk mengelakkan ahli –ahli persatuan itu terpengaruh dengan agenda tidak baik kumpulan veteran tersebut.

“Saya dan ahli-ahli Seniman ada mendapat jemputan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan dari mulut ke mulut semalam (Rabu) mengenai majlis itu. Bagaimanapun, saya sudah maklumkan kepada semua ahli agar tidak datang pada perjumpaan itu kerana ia bukan atas urusan persatuan, sebaliknya diaturkan atas kehendak peribadi.”

Zed Zaidi berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat lima orang artis veteran iaitu Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran, Mior Ahmad Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang untuk menganjurkan satu perjumpaan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada Ahad ini.

Pertemuan itu juga dikatakan untuk menamatkan kemelut kumpulan veteran itu dengan persatuan berkenaan selepas kelima-lima mereka berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Tahunan Seniman yang ke 15 diadakan pada 1 Jun lalu.

Dalam Zed berkata, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Finas agar tidak membenarkan perjumpaan tersebut atas alasan ia adalah permohonan yang dilakukan secara individu dan bukan atas kapasiti persatuan.

“Pagi tadi (Khamis) saya sudah hantar surat kepada Finas agar tidak membenarkan sebarang perjumpaan yang menggunakan nama Seniman. Mereka sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah ini kerana bagi saya ia adalah masalah dalaman persatuan dan mereka perlu bertemu dengan persatuan secara peribadi, bukannya mengadakan perjumpaan beramai-ramai serta melakukan sidang media.”

Tambah Zed, sebelum ini pihaknya sudah beberapa kali cuba memanggil kumpulan veteran tersebut bagi menyelesaikan kemelut ini namun tidak dilayan.

“Saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang lima artis veteran ini inginkan. Jika mereka mahu membuat pemilihan semula dan calonkan diri sendiri untuk memegang jawatan saya tidak ada masalah tapi mereka pula tidak mahu. Saya tidak faham apa yang cuba diperjuangkan.”

Zed berkata, dia percaya kumpulan veteran tersebut mempunyai motif tertentu dan telah menjadikan Seniman sebagai misi mereka.

Katanya lagi, jika perkara ini berterusan, dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis demi melindungi kepentingan persatuan tersebut. Sumber: Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Suria FM Jadi Radio Rasmi Chelsea VS Harimau Malaya

Program Menarik TV3 Sepanjang Ramadan 2013