in

BANG BANG BOOM MUSIM KETIGA LEBIH MERIAH

MUSIM KE-3 BANG BANG BOOM
LEBIH MERIAH & “BERANI”

Siapa sangka, pejam celik begitu cepat masa berlalu, kini program komedi jenaka Bang Bang Boom bersiap-sedia untuk menemui para penonton dan peminat untuk musim ke-3! Kembali dengan nafas baru, Bang Bang Boom 3 (BBB 3) akan mula bersiaran pada 20 Jun 2008, setiap hari Jumaat, jam 9.30 malam.

Sejak mula muncul di TV3 hingga sekarang, BBB 3 tetap mengekalkan 3 segmen sebagai format rancangan, namun musim ketiga pastinya menjanjikan tema dan kandungan yang lebih menarik melalui segmen ”Ada Berani?” (Ade Beran?), ”Mwahaha” dan ”Bang”.  Antara kelainan yang ditonjolkan, kru-kru BBB 3 dengan ditemani tetamu undangan yang terdiri daripada artis dan personaliti TV3 akan menjelajah di luar kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang seperti Taiping dan Gopeng (Perak) termasuklah Kuala Lipis (Pahang) buat pertama kalinya bagi mencari ’target-target’ terbaru di dalam segmen ”Ada Berani?” (Ade Beran?)”.

Tagline ’Takde Pasal Cari Pasal’ bagi segmen ”Ada Berani?” (Ade Beran?) menguji sejauh mana individu itu mampu melakukan aksi yang diminta dengan menawarkan sejumlah wang. Tetapi, uniknya, mereka yang terlibat tidak tahu berapa jumlah wang yang bakal dimenangi kerana nasib mereka bergantung di dalam sebuah ’kotak misteri’ yang digelar ”magic box” mengandungi 5 bahagian berisi tiket-tiket berupa jumlah wang bernilai serendah RM1 hinggalah RM100. Antara aksi-aksi yang bakal dicabar ialah seperti mengambil duit syiling dalam ratusan ulat roti, minum telur burung unta secara mentah, menangkap ikan menggunakan mulut, minum air yang berperisa pahit, makan sosej yang digantung, minum 30 gelas air oren masam dalam masa yang telah ditetapkan dan banyak lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan bagaimana artis popular seperti Fouziah Gous, penyanyi genit Amylia AF dan pelakon sensasi ”Remp-it” Julia Hana membuat lawatan mengejut di kawasan perumahan dan sejauh mana kepakaran mereka memujuk orang ramai untuk menyahut cabaran BBB 3 di dalam segmen ”Ada Berani?” (Ade Beran?). Siapakah yang kurang bernasib baik dan bakal menerima tiket RM1 di dalam salah satu daripada lima bahagian ”magic box”?

Manakala segmen “Mwahaha” pula, menggunakan konsep kamera tersembunyi di mana mereka yang ‘terkena’ tidak menyedari aksi mereka sedang dirakamkan. Berbeza dengan musim lalu, cetusan idea merakamkan babak lucu ini lebih menyeluruh dan melibatkan 20-30 orang untuk sesuatu senario. Antara gimmick yang dirancangkan termasuklah “rusuhan” olok-olok BBB 3 yang berjaya mencetuskan rasa panik dan pelik orang ramai yang tidak menyedari kehadiran kru-kru BBB 3. Malah, bukan setakat menampilkan elemen hiburan dan komedi, pendekatan yang digunakan juga sesuai dengan budaya Malaysia tanpa menyentuh sensitiviti perkauman mahupun agama.

Segmen yang terakhir “Bang” ialah di mana selebriti mahupun orang ramai akan ‘Bang’ rakan-rakan mereka ataupun orang awam dengan pelbagai helah jenaka. Jika musim lalu, hanya selebriti yang memainkan peranan di dalam segmen Bang, tetapi kali ini orang ramai boleh menyertai BBB 3 untuk mengenakan rakan-rakan mereka. Jangan lepaskan peluang untuk menonton aksi-aksi lucu Danny X-Factor, Ainul Aishah, Fizow dan kumpulan motor berkuasa tinggi Harley Davidson yang terlibat di dalam segmen ini. Bagi sesiapa yang berminat untuk turut serta boleh layari www.tv3.com.my untuk berkolabrasi bersama pasukan BBB 3.

Menurut penerbit BBB 3, Tengku Muhammad Ismail Tengku Ibrahim,

“Secara keseluruhan, prestasi Bang Bang Boom dari hari pertama bersiaran amat menggalakkan dari segi rating mahupun penerbitan. Sejak berubah siaran ke waktu perdana, BBB 2 berjaya meraih sebanyak  2.2 juta dan sehingga kini mempunyai peminat dan pengikut setianya yang tersendiri. Kami berharap Bang Bang Boom musim ke-3 juga akan berjaya meraih sokongan daripada orang ramai bukan sahaja melalui siaran televisyen, malah merangkumi peminat yang juga boleh mendapatkan perkembangan terbaru dan cerita di sebalik tabir BBB 3 dan ulangan episod-episod menarik BBB 2 melalui laman web rasmi dan portal gaya hidup TV3.”

Budiey: Alahai, dah nak jadi macam program Fear Factor la pulak.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

FESTIVAL MUZIK KUALA LUMPUR 2008

Fahrin Ahmad Setelah Putus Cinta dengan Linda Onn