in

Bang Bang Boom Musim Baru Banyak Kejutan

TAMPIL DENGAN MUSIM BARU YANG LEBIH KELAKAR!

BANG BANG BOOM ! Sebuah program komedi jenaka yang pasti tidak kering gusi kembali bersiaran dengan musim terbarunya mulai 26 Oktober 2010, setiap hari Selasa jam 10.00malam di TV3. Sejak diperkenalkan pada tahun 2007, BANG BANG BOOM! (BBB) sering melakukan pembaharuan dalam memberikan kejutan kepada para peminat setianya.

Diterbitkan oleh Primeworks Studio, BANG BANG BOOM ! (BBB) mempertengahkan konsep yang santai dan lawak jenaka dengan perwatakan dua pengacara, Amat (Reezman Esa) dan Azahari (Ahmad Azahari Mohd Ali) yang spontan dan ‘gila-gila’. BBB musim ke-6 ini mempersembahkan empat segmen iaitu Amekaw (segmen baru), Mwahaha, Terima Kasih dan Bang.

DSC_3175-1

Amekaw, segmen terbaru dalam BBB merupakan pengubahsuaian daripada segmen ‘Ada berani’ dan ‘ Tak de Pasal Cari Pasal’. Jika dalam musim yang lepas, krew BBB hanya tertumpu di rumah-rumah peminat BBB, kali ini, krew produksi mengambil langkah yang lebih besar dengan meredah kampung.

Yang menarik dalam segmen ‘Amekaw’, temasya sukan yang diadakan memaparkan pelbagai aksi permainan kampung yang telah diolah menjadi ‘gila-gila’ dan lebih mencabar! Amat dan Azahari akan mengenakan kostum mengikuti tema di setiap lokasi bersama selebriti jemputan yang turut menjayakan segmen tersebut seperti Sarah Raisuddin, Wan Sharmila, Yasmin Hani, Asry Azizan (Kapten Kit), Gambit dan ramai lagi.

Perarakan orang kampung akan diadakan dengan riuh rendah sebelum memulakan temasya sukan tersebut. Peserta yang berjaya dalam mengharungi pelbagai cabaran bakal memenangi hadiah wang tunai yang menarik.

P1010047-1

Segmen – segmen yang sudah sebati dalam program BBB seperti ‘Mwahaha’ iaitu gurauan jalanan bersama orang awam yang dirakam secara kandid dengan reaksi spontan samada melatah, marah ataupun gelak ketawa pasti tidak ketinggalan dengan elemen-elemen baru yang menarik.

Selain itu, BBB juga menampilkan segmen ‘Terima Kasih’ yang memaparkan keperihatinan orang ramai terhadap mereka yang memerlukan serta segmen yang paling diminati iaitu ‘Bang’. Dalam segmen Bang pula, peserta boleh menjadi ‘Tok Dalang’ untuk memerangkap rakan karib iaitu ‘Target’ ataupun mangsa. Segmen ini bukan sahaja mendapat sambutan daripada golongan selebriti malah para penonton BBB yang berminat dan mempunyai idea yang unik juga dialu-alukan.

DSC_0535-1

Menurut penerbit BANG BANG BOOM, Tengku Mohd Ismail Tengku Ibrahim, “BANG BANG BOOM merupakan sebuah program komedi yang sudah popular di kalangan penonton TV3. Gurauan dan cabaran yang dipersembahkan dalam BBB bertujuan untuk memberikan hiburan secara santai. Walaupun BBB dilihat sebagai program yang ‘gila-gila’, krew penerbitan tetap mengambil kira batasan agama dan sensiviti masyarakat supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.”

BANG BANG BOOM musim ke-6 bakal menemui para penonton TV3 pada 26 Oktober 2010. Jangan lupa janji temu anda setiap hari Selasa jam 10.00malam, pasti tidak kering gusi dan terhibur bersama BANG BANG BOOM, hanya di TV3!

DSC_2550-1

DSC_2893-1

DSC_1217-1

DSC_0246-1

DSC_0337-1

Amat & Azahari bersedia untuk segmen Amekaw!-1

Amat & Azahari-1

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Vokalis Fotograf Shamrin Join Alibi Music

Jehan Miskin Terbit Drama Buta Warna